DARI sumber Friends of BN yang tular dalam media sosial.

MENTERI Besar Selangor, Azmin Ali boleh mencari 100 helah untuk lepas  tangan berhubung kegagalan kerajaan  negeri menguruskan air namun rakyat tahu menilai.
      Awang nasihatkan Azmin supaya jangan mencari salah pihak lain kerana ia hanya akan memburukkan lagi imej beliau. 
Hakikatnya beliau adalah punca masalah sebagaimana kenyataan bekas Menteri Besar, Khalid Ibrahim. 
Sepatutnya Azmin meminta maaf sepenuh hati kepada rakyat Selangor dan penduduk Lembah Klang sambil mengakui kelemahan pentadbiran beliau.
Sikap tidak mahu mengambil tanggungjawab secara budiman mencerminkan Azmin seorang pemimpin yang tidak boleh diharap. 
Lebih mengecewakan beliau dan exco kerajaan negeri pimpinan PKR itu tidak turun padang menjenguk kesengsaraan  dihadapi rakyat. Sedangkan  ketiadaan bekalan air kali ini lebih buruk dan menjejaskan lebih dua juta penduduk yang tidak sepatutnya berlaku. Apalah salahnya meninjau sendiri beberapa kawasan bagi menunjukkan beliau ambil berat. 
Maka segala slogan pada iklan dan poster bahawa beliau pedulikan rakyat hanya retorik jijik. Sebab itu Awang boleh faham mengapa rakyat begitu meluat dan marahkan Azmin. Akhirnya keangkuhan makan diri.


Ketika para pemimpin Pakatan Harapan membentangkan manifesto di Shah Alam pada Khamis lalu, kebanyakan kawasan di Selangor tiada air. Meskipun ucapan mereka berdegar-degar menjanjikan bulan dan matahari, realitinya rakyat merana kerana ketiadaan air. 
    Masalah air yang serius di bawah kerajaan Pakatan Harapan di Selangor adalah antara sekian banyak manifesto pilihan raya lalu yang gagal diurus dan dilaksana dengan baik.
Begitu juga keadaan di Pulau Pinang pimpinan DAP yang dibelenggu pelbagai isu serius termasuk rasuah Ketua Menteri, Lim Guan Eng, kontroversi projek terowong, kegagalan tangani banjir, masalah perumahan rakyat dan ancaman alam sekitar. 
Hanya dua negeri Pakatan Harapan mentadbir tetapi terlalu banyak masalah kronik selain mengkhianati janji-janji kepada rakyat. 
Rata-rata kandungan manifesto kali ini meniru apa yang telah dilaksanakan kerajaan Barisan Nasional (BN), banyak yang tidak realistik malah sebahagiannya berisiko kepada masa depan rakyat. Berbanding manifesto PRU-13, manifesto PRU-14 lebih diwarnai reaksi negatif masyarakat umum terutama dalam media sosial. 
Menyedari situasi tersebut, pemimpin Pakatan Harapan antaranya Rafizi  Ramli yang reputasinya merudum kini terpaksa mengalihkan perhatian dengan mencipta dan menjaja isu lain. 
Awang melihat kegagalan manifesto tersebut sebagai satu lagi petanda buruk buat Pakatan Harapan menjelang PRU-14. Sembang besar tetapi harapan kelam.

Di hujung tanduk 

SEPERTI yang Awang tulis minggu lalu, Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) berdepan risiko dibatalkan pendaftaran dan dibubarkan. 
Awang membuat telahan tersebut memandangkan ketegangan dan permasalahan yang melanda  parti itu semakin serius. 
Ini ekoran lebih 400 aduan ahli dan pemimpin akar umbi kepada Jabatan Pendaftaran Pertubuhan (ROS) atas kegagalan pimpinan tertingginya mematuhi perlembagaan parti berkenaan.
Kelmarin, Ketua Pengarah ROS, Surayati Ibrahim tampil membuat kenyataan bahawa PPBM berisiko dibubarkan. Satu notis mengikut Seksyen 14 (2) Akta Pertubuhan 1966 berkuat kuasa 28 Februari lalu telah dikemukakan kepada PPBM agar menjawab dan menyerahkan semua maklumat bagi melengkapkan siasatan ROS.
Ia meliputi minit-minit mesyuarat cawangan, bahagian dan pusat serta perihal penyata kewangan. Perkembangan baharu ini menjadikan PPBM berada dalam situasi genting bagai telur di hujung tanduk. 
Awang tidak fikir PPBM mampu  menyerah semua maklumat itu kerana terlalu banyak kelemahan dan perlanggaran peraturan, yang memerlukan proses pembetulan bermula daripada sifar. 
Implikasinya besar termasuk calon-calonnya tidak boleh bertanding atas tiket PPBM. Pimpinan parti itu sendiri yang menjadi punca permasalahan, bukannya pihak lain. Dalam keghairahan untuk berpolitik, perkara paling asas tidak diberi perhatian. Siapa dalam PPBM yang harus bertanggungjawab terhadap kegagalan ini?

Kisah Rafidah 

ISU integriti bekas Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Rafidah Aziz kembali diperkatakan terutama dalam media sosial. Banyak dakwaan berkisar kepada kekayaan beliau melalui isu permit import kereta (AP) sehingga digelar Ratu AP. 
Malah Rafidah didakwa oleh penganalisis politik Raja Petra Kamarudin mempunyai kekayaan berbilion ringgit. Beliau adalah menteri paling lama dalam sejarah negara menyandang portfolio perdagangan dan industri iaitu 21 tahun.
Rafidah dalam reaksinya menyatakan beliau pernah menjawab isu tersebut pada sidang Dewan Rakyat pada 2005. Namun hakikatnya DAP dan PKR sampai hari ini tidak pernah berpuas hati dengan penjelasan Rafidah, yang dilihat tidak meyakinkan. Dengan kata lain isu itu tergantung dan belum ada kesudahannya bagai fail X belum ditutup.
Memandangkan dakwaan itu serius dan menjadi kepentingan awam, Awang mencadangkan Rafidah memanggil sidang akhbar khas bagi menjawab apa sahaja soalan wartawan. 
Malah beliau boleh menawarkan diri untuk mengisytiharkan harta selain disiasat oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan menyaman pihak yang membuat dakwaan. Peluang untuk mempertahankan diri sentiasa ada jika beliau mahu.

Siapa musang?

FIRASAT Awang sejak awal lagi  terhadap Maria Chin Abdullah yang sememangnya penyokong  Pakatan Harapan tetapi berselindung atas nama Bersih, benar belaka. Langkah beliau melepaskan jawatan sebagai Pengerusi Bersih bagi membolehkannya bertanding atas tiket PKR atau DAP pada PRU-14  baru-baru ini menyerlahkan hakikat.
Maria yang ‘berbulu ayam’ sudah kembali  menjadi dirinya - ‘musang’  pembangkang. Beliau menggunakan Bersih bagi menjayakan agenda politik Pakatan Harapan diketuai DAP dan dirinya sendiri.
Ternyata Maria mengkhianati rakyat Malaysia kerana selama ini mendakwa beliau benar-benar bersih, berintegriti dan tiada motif politik. Rupa-rupanya beliau kotor. 

Teruja berita palsu

SATU kajian oleh para penyelidik di Institut Teknologi Massachusetts (MIT), Amerika Syarikat (AS) merumuskan berita palsu lebih cepat tersebar di internet berbanding berita sahih. 
Kajian yang diterbitkan dalam jurnal Science menarik perhatian Awang. Daripada 126,000 berita palsu dalam Twitter pada tahun 2016 dan 2017, kesemua berita palsu itu telah di tweet oleh tiga juta hingga 4.5 juta kali sepanjang tempoh berkenaan.
Kajian itu mendapati kira-kira 70 peratus maklumat palsu telah disebarkan lebih banyak berbanding berita benar terutama pada peristiwa besar seperti kempen pemilihan Presiden AS. Bukan itu sahaja, berita benar mengambil masa enam kali lebih lama untuk disampaikan. Para penyelidik merumuskan berita palsu  cepat tersebar kerana ia mengujakan berbanding maklumat sebenar. 
Awang sekadar berkongsi laporan tersebut untuk renungan kita bersama. Maka langkah banyak negara termasuk Malaysia  mahu menangani ancaman berita palsu secara tegas antaranya  melalui undang-undang, amat wajar. Pada Awang, tabiat dahagakan berita palsu kini penyakit sejagat yang lebih bahaya daripada ancaman keganasan. Itulah realitinya. 

Suu Kyi terhina

SATU demi satu perkembangan tidak memihak kepada pemimpin Myanmar, Aung San Suu Kyi.  Penerima Anugerah Nobel Keamanan itu semakin menerima tekanan dunia ekoran isu kekejaman tentera Myanmar dan puak ekstremis Buddha ke atas etnik Rohingya.
Terbaru,  Muzium Peringatan Holocaust AS menarik balik anugerah berprestij hak asasi Elie Wiesel yang diberikan kepada Suu Kyi. Ini satu lagi tamparan kepada beliau yang bukan sahaja gagal menghentikan  kekejaman bahkan mengelak untuk mengutuk perbuatan itu. 
Awang lihat Suu Kyi lebih banyak bersandiwara kepada masyarakat antarabangsa. Sebab itu majalah Time pernah meletakkan kesalahan itu kepada beliau atas kegagalannya. Sebelum ini, Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) mendapati kerajaan Myanmar bersalah atas banyak bukti kekejaman yang dahsyat namun Suu Kyi tetap mengambil sikap mengecewakan.
Rohingya terus ditindas sementara ratusan ribu pelarian masih menghadapi masalah untuk kembali ke tanah air. Ini adalah pengiktirafan antarabangsa kedua ditarik balik daripada Suu Kyi selepas Anugerah Freedom of Oxford dari London pada November 2017. 
Selain itu, potretnya pernah dibuang di St. Hugh College, tempatnya belajar ijazah falsafah, politik dan ekonomi di antara 1964 dan 1967.  Beliau yang  pernah dikenakan tahanan di rumah selama 15 tahun kerana menentang pemerintahan kuku besi junta tentera Myanmar sehingga  dipuja sebagai ikon kebebasan kini berubah nasib - dihina.
Apabila berada di puncak kuasa, Suu Kyi ternyata bersubahat kepada kekejaman dan merobek hak asasi. Beliau tidak boleh lepas tangan atas penghapusan etnik terburuk dalam sejarah moden. 
Selagi tiada tindakan drastik diambil untuk membetulkan keadaan di Myanmar, beliau tidak ubah seperti penjenayah kemanusiaan. Darah etnik Rohingya berbau di tangannya. 

Kilauan Sanusi

AWANG ingin mengucap takziah kepada keluarga Allahyarham Sanusi Junid atas kembalinya ke rahmatullah bekas menteri itu. 
Ia kehilangan besar buat negara. Jasa dan bakti tidak tergambar dengan kata-kata dan ungkapan. Memperkatakan Sanusi bukan sekadar perihal tokoh yang cintakan buku, hebat mengolah fikiran dan bijak berpidato.
Lebih daripada itu Sanusi adalah pemimpin yang mampu menjayakan transformasi sebagaimana dibuktikan ketika menjadi Menteri Pertanian. Sampai hari ini Allahyarham dikenali sebagai seorang menteri yang membuat impak besar. 
Itu belum menyentuh  jati dirinya yang teguh dan sentiasa menjadi tanda aras. Tokoh seperti Sanusi sukar dicari ganti. Sejarah akan merakamkan Allahyarham sebagai mutiara bangsa, yang kilauannya tidak akan  malap. - Al-fatihah.