Dzulkifli Ahmad
Dzulkifli Ahmad

Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Dzulkifli Ahmad dengan lantangnya menolak hasrat Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Senator Paul Low menubuhkan JITN. Pertentangan Dzulkifli dan Paul Low dalam isu itu makin panas. 

Dzulkifli mempunyai hujah yang konkrit, begitu juga pelbagai pihak termasuk tokoh-tokoh, badan bukan kerajaan dan orang ramai.  Rumusannya JITN tidak relevan dan tiada keperluan, hanya bertindih skop peranan dan suatu pembaziran. Sedangkan kerajaan sepatutnya memperkasakan lagi SPRM dengan pertambahan peruntukan kewangan dan tenaga kerja yang sewajarnya memandangkan beban tanggungjawab yang besar. 

Awang berpendapat jika Kabinet meneruskan juga penubuhan JITN ia memberi mesej yang salah kepada rakyat. Setakat ini penjelasan  Paul Low  tidak menyakinkan walaupun JITN  dikatakan tidak mengganggu kuasa SPRM dan institusi bebas yang lain. Awang setuju dengan Dzulkifli  adalah lebih baik segala tumpuan diberikan bagi penambahbaikkan kebajikan anggota-anggota penguatkuasa terutama Polis Diraja Malaysia (PDRM) yang perlukan perhatian dan tindakan.

Masalahnya kita di Malaysia ghairah mahu mewujudkan pelbagai institusi tetapi tidak ghairah dalam memastikan keberkesanan peranannya. 

Apapun yang pasti Dzulkifli mendapat gelombang sokongan yang besar bagi menolak JITN. Lebih-lebih lagi SPRM telah memberi impak yang tinggi sejak diterajui beliau, dengan banyak pembongkaran rasuah dan salah guna kuasa meliputi banyak kes berprofil tinggi. Walaupun SPRM adalah institusi bebas, ia turut memberi kesan positif dalam melonjakkan imej kerajaan dan keyakinan rakyat. 

Maka Awang mengucapkan tahniah kepada Dzulkifli dan seluruh warga kerjanya atas kecemerlangan dan keberanian. Lebih istimewa lagi, hari ini adalah hari ulang tahun ke- 50 SPRM/ BPR. Biar apa pun dugaan dan cabarannya, rakyat  bersama anda semua.


Kit Siang dan monyet

Lim Kit Siang
Lim Kit Siang

Perumpamaan monyet yang dibuat oleh  pemimpin  DAP, Lim Kit Siang terhadap Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Dzulkifli Ahmad menyerlahkan hakikat yang mana intan, yang mana arang. 

Awang melihat kenyataan Kit Siang tidak berbudi bahasa dan angkuh. Sebagai pemimpin pula, beliau tiada kelas. 

Mengkritik SPRM dan Dzulkifli dengan sentimen liar hanyalah mekanisme mengalihkan isu sebenar yang dihadapi oleh DAP di bawah Dinasti Lim. 

Kit Siang patut mencermin diri betapa kerajaan DAP Pulau Pinang pimpinan anaknya, Lim Guan Eng banyak kepincangan termasuk dihadapkan ke mahkamah kerana rasuah. Bukan rahsia lagi beliau mengangkat anaknya yang berasal dari Melaka menjadi Ketua Menteri sehingga menafikan peluang pemimpin DAP tempatan dan lihatlah kini apa akibatnya. 

Isu integriti yang serius turut melingkari parti dengan menyaksikan dua pemilihan Jawatankuasa Kerja Pusat (CEC) tidak sah berikutan aduan ahli-ahli terhadap penipuan undi. Sangat memalukan.  Ia cerminan DAP tidak tahu mengurus pemilihan parti sendiri tetapi riuh memburuk-buruk dan mentohmah pihak lain.  

Bagai ayam kokok berderai- derai, ekor bergelumang najis. Bahkan Kit Siang sendiri masih enggan menjawab persoalan yang dibangkitkan ramai iaitu di mana tempat lahirnya ekoran status maklumat dalam laman web Wikipedia yang telah diubahsuai. Perkara  asas seperti itu pun beliau cuba sorokkan, yang jika monyet mengerti, pasti tepuk dahi.


Selamatkan sepak takraw kita!

Ahmad Ismail
Ahmad Ismail

Langkah Persatuan Sepak Takraw Malaysia (PSM) mahu melakukan rombakan kecil pemain dan melaksanakan latihan ala komando seperti dinyatakan Presidennya, Ahmad Ismail,  menarik perhatian. 

Awang hargai apa sahaja usaha penambahbaikkan namun isu yang lebih besar adalah perlunya rombakan kepemimpinan PSM itu sendiri. Banyak persatuan lain telah bertukar teraju tetapi PSM masih kepemimpinan yang sama sejak 2002 sedangkan pencapaian terus merudum menuju nazak. 

Ketika  prestasi negara seperti Myanmar, Indonesia, Vietnam malah Korea Selatan telah meningkat begitu ketara, Malaysia di takuk lama. Untuk bandingkan dengan Thailand, apatah lagi, makin jauh ditinggalkan.

Sepatutnya kepemimpinan PSM ambil tanggungjawab berundur untuk memberi laluan kepada tokoh lain. 

Pembesar negara termasuk  Sultan  dan Tengku Mahkota pun tiada  masalah untuk berundur dengan budiman daripada menerajui persatuan sukan, mengapa teraju PSM tidak tahu membaca isyarat rakyat Malaysia
yang mahukan perubahan. Pada Awang, tidak guna rombak pemain atau mempunyai pemain gagah seperti anggota komando tetapi penyakit utama dalam PSM tidak diatasi.  

Reputasi PSM juga makin buruk yang mempercepatkan proses kepupusan jenama Malaysia dalam sukan itu di arena antarabangsa walaupun suatu ketika diungguli kita. Yang lebih hebat di bawah peneraju PSM sekarang adalah kontroversi berbanding prestasi. Sejarah akan tercatat tentang kegagalan PSM selama bertahun-tahun untuk bangkit.  

Kegagalan yang panjang dilihat membunuh sukan itu sendiri di negara ini. Sudah sampai masanya kerajaan pusat  campurtangan membetulkan keadaan bagi menyelamatkan sukan tersebut. Hanya dua emas diperoleh  (daripada 12 acara) pada Sukan SEA KL 2017.

Itupun dalam acara yang tidak disertai pasukan kuat seperti Thailand, Indonesia dan Myanmar. Secara keseluruhan, pencapaian hambar dalam banyak kejohanan antarabangsa hanya memalukan negara di sebalik segala macam janji dan iltizam PSM. 

Dalam laman sosial, para peminat tidak jemu  membidas, mengkritik dan sinikal terhadap PSM. Malah ramai yang tidak pedulikan sukan itu lagi kerana tidak yakin PSM akan membawa peningkatan apatah lagi

kebangkitan. Untuk bangkit sebenarnya bukan mustahil, lihatlah prestasi pasukan ragbi dan bola jaring pada sukan Sea KL 2017. Yang nampak menonjol pada pengurusan PSM adalah politik berlebihan, terlalu menumpukan hal remeh temeh seperti soal mata, gagal dalam pembangunan bakat baharu dan cemburu kepada pihak yang membantu kemajuan sepak takraw seperti takut bayang-bayang sendiri. 

Contohnya ada penganjur kejohanan boleh menggunakan mata 15 untuk kejohanan dan ada yang dilarang mengikut sesuka hati, yang  ternyata tidak profesional. PSM terlupa bahawa sepak takraw bukan miliknya sahaja, ia milik rakyat Malaysia. Persoalannya, siapakah yang mahu memberi harapan baharu kepada sukan tersebut?


Diskriminasi...
Seperti dijangka akan ada pihak yang menangguk di air keruh dan mengambil kesempatan berikutan isu pengusaha dobi di Johor yang menggunakan konsep patuh syariah.

Dengan ghairahnya, pemimpin DAP, Teo Nie Ching menggesa diwujudkan undang-undang anti diskriminasi kononnya bagi mengelakkan larangan (berdasarkan konsep patuh Syariah) terhadap pelanggan bukan Islam, daripada berulang. 

Awang tidak mahu mengulas insiden terpencil itu yang sudah terlalu ramai komen sehingga perbincangan menjadi hangat di media sosial. 

Yang cuma Awang terkilan ada komen yang dibuat seperti Nie Ching yang menggambarkan seolah-olah umat Islam terutama dalam kalangan pengusaha Islam membudayakan diskriminasi. Jika mahu diperkatakan tentang diskriminasi, banyak yang boleh disentuh. Antaranya diskriminasi majikan-majikan swasta yang menafikan peluang pekerjaan  bumiputera dan beragama Islam.  Malah pemaju-pemaju besar yang mendapat kontrak berbilion ringgit daripada kerajaan, lebih mengutamakan kaum tertentu dengan memberi pelbagai alasan bagi mewajarkan diskriminasi. 

Begitu juga banyak syarikat besar yang tidak berminat memberi peluang kontrak dan perniagaan kepada pengusaha dan kontraktor bumiputera. Sama senario dalam industri halal di negara ini  yang ramai pemain besar syarikat bukan bumiputera mengutamakan kaum mereka walaupun sasaran pengguna adalah umat Islam. 

Banyak lagi petunjuk boleh disenaraikan panjang lebar sejak sebelum merdeka lagi yang membuktikan betapa diskriminasi bukan budaya dan mainan umat Islam. Contoh terbaik untuk mengetahui diskriminasi, usah pergi jauh, tinjaulah Pulau Pinang yang diperintah oleh kerajaan DAP. 

Umat Islam dan rakyat yang miskin menjadi mangsa secara langsung, mahupun tidak langsung. Itu belum lagi memerintah negara, pasti  lagi dahsyat  padahnya. Kuman seberang laut nampak, gajah depan mata tidak nampak.


Berhijrahlah Zaid 

Zaid Ibrahim
Zaid Ibrahim

Bukanlah mengejutkan apabila pemimpin DAP, Zaid Ibrahim menggesa umat Islam berhijrah ke United Kingdom (UK)  kerana mendakwa kehidupan di negara itu lebih baik berbanding Malaysia. 

Alasan utama beliau kononnya, Malaysia 'negara orang Islam yang tenat', selain mendakwa ulama di negara ini tidak suka golongan homoseksual dan liberal. Zaid memang terkenal dengan keceluparannya selain asyik lompat parti dan tabiat tertentu dalam gaya hidup liberalnya. 

Memandangkan ramai yang telah membidas dan menyanggah beliau maka Awang sekadar mahu bertanya mengapa beliau tidak berhijrah sahaja ke UK. 

Untuk apa sekadar berani membuat seruan tetapi masih mahu menikmati kehidupan di negara ini dan diperalatkan pula oleh parti yang sentiasa mencabar serta menggugat kepentingan Islam. 

Sebenarnya dalam perspektif Islam sebenar, orang seperti Zaid inilah yang 'tenat.' Beliau sepatutnya sudah lama berhijrah sikap demi Islam. Semoga dibuka pintu hatinya untuk kembali ke pangkal jalan agar terawat jiwanya sebelum segala-galanya terlewat.