Cabaran yang menanti UMNO yang kini diterajui Presidennya, Dr. Ahmad Zahid Hamidi sememangnya besar. Ia terserlah sejurus selepas pemilihan UMNO.
Antaranya seorang lagi Ahli Parlimen UMNO umum keluar parti menjadikannya tiga setakat ini. (Spekulasi bertiup kencang akan lebih ramai wakil rakyat UMNO keluar dan melompat parti apatah lagi ada usaha melobi dan ‘membeli’ yang giat dilakukan). Ini diikuti Zahid dipanggil dua kali oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) bagi memberi keterangan membantu siasatan kes 1MDB dan Yayasan Akal Budi.
Bekas Perdana Menteri yang juga bekas Presiden UMNO, Najib Tun Razak turut didakwa di mahkamah atas tuduhan salah guna kuasa dan pecah amanah minggu ini. Sebelum itu, akaun UMNO dibekukan, yang tidak pernah berlaku dalam sejarah. Kelmarin, Pengerusi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM), Dr. Mahathir Mohamad mengumumkan parti itu akan menggantikan peranan UMNO melindungi orang Melayu dan rakyat Malaysia. Pada Awang itu semboyan PPBM yang tidak boleh diambil mudah oleh UMNO. Ia menunjukkan betapa seriusnya PPBM mahu muncul parti yang unggul untuk orang Melayu pada pasca PRU-14. Namun di sebalik semua itu, Awang yakin Zahid, Timbalan Presiden, Mohamad Hassan dan barisan Majlis Tertinggi UMNO akan teguh hadapi dugaan.
Mesyuarat pertama Majlis Tertinggi UMNO telah menubuhkan tiga jawatankuasa khas dalam usaha memulakan kebangkitan kepada UMNO selepas hilang kuasa ekoran PRU-14.
Awang lihat semangat pemimpin UMNO kembali pulih sebagaimana kehadiran sebahagian mereka memberi sokongan kepada Najib di mahkamah Rabu lalu. Dengan mandat baharu, teraju baharu, barisan MT baharu dan semangat baharu, Barisan Nasional (BN) yang diketuai UMNO diharap akan lebih agresif menangani cabaran. BN mempunyai peluang terbaik untuk menguji kekuatannya pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Sungai Kandis tidak lama lagi. Dengan pelbagai kecelaruan dan isu yang melanda kerajaan Pakatan Harapan, Awang percaya UMNO mampu melangkah ke hadapan menarik sokongan rakyat. Zahid mengambil alih kepimpinan UMNO dalam situasi yang getir, bukan lagi atas hamparan permaidani.
Bersama-samalah beliau untuk membawa kebangkitan kepada parti. Beliau tentu ada formula dan langkah strategiknya. Awang ada keyakinan kepada Zahid dan masa akan membuktikannya.

 

Zakir Naik

Kenyataan Perdana Menteri, Dr. Mahathir Mohamad bahawa pendakwah antarabangsa Zakir Naik tidak akan dihantar pulang, melegakan banyak pihak.
Awang setuju 100 peratus. Selagi Zakir tidak menimbulkan masalah dan ancaman keselamatan, tiada sebab untuk beliau diusir. Penegasan Dr. Mahathir itu menamatkan sama sekali spekulasi kononnya Dr.
Zakir Naik, yang telah mendapat status penduduk tetap, akan dihantar pulang ke India. Setakat ini semua perkembangan termasuk berkaitan perundangan dan keselamatan memihak kepada beliau.
Ini termasuk keputusan mahkamah di India, Malaysia dan pembatalan arahan oleh Polis Antarabangsa ( Interpol ) untuk menangkap Zakir Naik kononnya atas dakwaan mempromosi aktiviti keganasan.
Ternyata beliau bukan penghasut apatah lagi pengganas sebagaimana ditohmah pihak tertentu terutama Hindraf. Zakir Naik yang pakar dalam perbandingan agama perlu dihadapi dengan keyakinan oleh sesiapa pun melalui pendekatan ilmiah seperti dialog, dan bukan sebaliknya.
Atas ketegasan Dr. Mahathir berhubung isu Zakir Naik, Awang ucapkan tahniah sambil berharap, ia menjadi mesej jelas kepada semua pihak - Zakir Naik bukan musuh.

 

Tabung <i>#FreeNajib</i>

Tabung bantuan untuk bekas Perdana Menteri, Najib Tun Razak dilancarkan Khamis lepas turut menjadi perhatian mahupun bualan ramai.
Walau apa pun tafsirannya, pelancaran tabung tersebut mendapat sambutan dengan kutipan lebih RM236,000 sehingga kelmarin. Tabung #FreeNajib yang dibuka sehingga Isnin ini menetapkan sasaran sebanyak RM500,000 bagi membayar baki wang ikat jamin terhadap Najib menjelang pukul 12 tengahari esok. Najib telah diperintahkan oleh Mahkamah Tinggi membayar wang jaminan sebanyak RM1 juta pada Rabu lepas dan dua anaknya kemudian telah membuat bayaran RM500,000.
Sentimen simpati kepada Najib dan keluarganya terutama selepas akaun anak dan cucunya turut dibekukan, dilihat signifikan kepada pelancaran tabung berkenaan.
Awang bukanlah jenis yang teruja dengan kewujudan tabung seperti itu mahupun Tabung Harapan Negara oleh kerajaan, yang mencetuskan kontroversi. Rakyat boleh menilai dan terpulang kepada sesiapa tanpa paksaan mahu menyumbang kepada tabung.
Pada Awang, ia bukan soal nilai kutipan tetapi lebih kepada soal kebersamaan dan menzahirkan sokongan. Biarlah, ini negara demokrasi.

 

Undian rakyat

Tinjauan pendapat rakyat yang dijalankan oleh beberapa netizen menerusi laman sosial menarik perhatian Awang.
Antara soalannya sejauh mana rakyat berpuas hati terhadap prestasi pentadbiran kerajaan Pakatan Harapan sejak memerintah selepas menang PRU-14. Dalam salah satu undian melibatkan 1,000 rakyat Malaysia mendapati, hanya 28 peratus berpuas hati sementara lebih 72 peratus tidak berpuas hati. Awang percaya semakin banyak kritikan terhadap kerajaan termasuk oleh pemimpin Pakatan Harapan seperti Rafizi Ramli turut menyumbang kepada maklum balas negatif rakyat.
Kini kerajaan mempunyai tugas berat untuk meningkatkan keyakinan dan popularitinya terutama menunaikan segala janji. Realitinya, bukan mudah menjadi kerajaan era sekarang!

 

Politik dendam

Awang setuju dengan langkah pihak tertentu mengambil inisiatif melancarkan kempen #antipolitikdendam. Memandangkan dakwaan dan persepsi kerajaan Pakatan Harapan kini ghairah melaksanakan dendam maka ia harus dihentikan segera. Menteri Belia dan Sukan, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman adalah contoh pemimpin muda dalam Pakatan Harapan yang komited tidak berdendam dan tidak mencari salah pemimpin terdahulu. Itulah sebaik-baiknya.
Awang tertanya-tanya apa kesudahannya politik dendam dan siapa yang mendapat untung? Pihak yang mempunyai kuasa dan bertindak atas motif dendam pasti akan dilawan dan dibalas juga atas dorongan dendam. Ia boleh merebak kepada keluarga, keturunan dan penyokong kerana sifat manusia yang mahu membalas dendam jika merasa teraniaya. Sekiranya berlaku pula putaran landskap politik, yang berkuasa jatuh dan mereka yang dikatakan teraniaya mempunyai ruang untuk membalas dendam, siapa pula sasarannya?
Dendam tidak punya tarikh lupus. Alangkah baiknya politik dendam ini tidak menjadi budaya politik Malaysia apatah lagi pemimpin Melayu. Akan ada pihak yang tersenyum puas melihat semua ini sambil menangguk di air keruh. Faham-fahamlah.

 

Tambang grab

Penyedia perkhidmatan e-hailing, Grab sebelum ini memberi jaminan penggabungan syarikat itu dengan Uber pada April lalu tidak akan memberi kesan kepada kenaikan tambang penumpang. Bagaimanapun berdasarkan maklum balas yang Awang terima daripada penumpang mahupun pemandu, berlaku kenaikan caj walaupun ia tidak diumumkan. Maka sudah ada kebimbangan bahawa Grab melakukan manipulasi tambang selepas ia kini muncul syarikat gergasi mengatasi pesaingnya. Awang berharap ini semua tidak benar kerana sekiranya benar, bermakna Grab mencabuli janjinya dalam masa yang singkat. Pihak berkuasa selain Grab sewajarnya melihat isu ini agar para penumpang tidak menjadi mangsa. Sebagai penyokong perkhidmatan Grab, Awang tidak mahu syarikat e- hailing itu terhakis wibawa dan tidak boleh dipercayai.

 

Siapa juara?

Setiap kali temasya bola sepak Piala Dunia pasti ada kejutan termasuklah kali ini di Rusia. Beberapa pasukan pilihan tersingkir antaranya Brazil yang tewas 1-2 kepada Belgium awal pagi semalam. Sebelum itu, Sepanyol, Argentina dan Portugal. Paling mengejutkan juara bertahan, Jerman terkandas lebih awal dengan prestasi terburuk termasuk ditewaskan Korea Selatan 2-0. Ramai penyokong pasukan kuasa-kuasa bola sepak ini termasuk di Malaysia, kecewa kerana ramalan, juga harapan tidak kesampaian. Seperti ungkapan yang selalu kedengaran, bola itu bulat, bermakna segala-galanya berkemungkinan.
Awang selalu percaya pasukan gred A yang mempunyai ramai bintang bukan jaminan kepada kejayaan hakiki walaupun faktor itu penting. Lihatlah bagaimana Korea Selatan boleh memalukan Jerman dan Jepun tewas tipis kepada Belgium selepas mendahului 2-0. Awang kagum dengan kedua-dua pasukan Asia itu yang bukan sahaja konsisten berjaya layak ke pusingan akhir Piala Dunia bahkan semakin meningkat prestasinya setanding pasukan gergasi.
Alangkah baiknya jika Malaysia dapat mengikut jejak Jepun dan Korea Selatan tetapi realitinya kita masih jauh ketinggalan. Jadi untuk Piala Dunia 2018 di Rusia, siapa akan muncul juara? Apakah Perancis atau Belgium yang diangkat menjadi pasukan pilihan utama? Kita tunggu.