Zahid membuktikan beliau menjadi sandaran utama meskipun berdepan dengan persepsi UMNO memerlukan perubahan menyeluruh dalam kepimpinannya. Zahid kini mendapat mandat bergelar Presiden UMNO yang kelapan tetapi realitinya  bukan lagi sebagai parti memerintah. 

Tahniah juga kepada Mohamad Hasan yang terpilih sebagai Timbalan Presiden, tiga Naib Presiden dan barisan Ahli Majlis Tertinggi yang baharu. Penentuan oleh para perwakilan ini harus dihormati oleh semua pihak walau apa pun analisis serta tafsirannya. 

Dengan selesainya pemilihan, inilah masa untuk UMNO terutama mereka yang bertanding kembali bertaut.
Yang menang bukan menang semua dan yang kalah tidak hilang segala-galanya. Awang berharap tokoh-tokoh yang bersaing terutama Tengku Razaleigh Hamzah dan Khairy Jamaluddin (calon presiden)  diberi peranan tertentu demi solidariti UMNO. 

Misi UMNO kini adalah untuk menjadi  parti pembangkang yang berkesan dan berwibawa. Selain itu, untuk kembali berkuasa pada PRU-15, yang bukan mudah tetapi bukan juga mustahil. 

Kini cabaran Zahid, Mohamad dan Majlis Tertinggi begitu besar untuk memulakan kebangkitan UMNO di sebalik segala dugaan pasca PRU-14. Dijangka banyak liku malah kejutan yang bakal menanti. Semoga dipermudahkan. 


Simpati dan UMNO

“Di era kerajaan Barisan Nasional, tidak pernah kerajaan sesuka hati membekukan akaun parti lawan, walaupun para pemimpin mereka berdepan atau disabitkan dengan pelbagai tuduhan di mahkamah. Apakah ini sebahagian daripada model ‘Malaysia Baharu’ yang dicanangkan?

Berikut antara komen Ketua Pergerakan Pemuda UMNO, Dr. Asyraf Wajdi Dusuki terhadap tindakan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) membekukan akaun UMNO. Ramai pemimpin UMNO menyifatkan pembekuan tersebut yang dikatakan bagi tujuan siasatan dana 1MDB, sebagai keterlaluan, bermotif politik dan bercanggah dengan demokrasi. 

Ia diburukkan dengan spekulasi kerajaan Pakatan Harapan mahu mengharamkan UMNO sebagai strategi mendorong ahli-ahlinya menyertai Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM). Dalam Awang berpendapat semua pihak perlu bekerjasama bagi membantu siasatan dan tidak ghairah membuat spekulasi, namun tidak dapat menghalang persepsi ramai bahawa ia adalah campur tangan kerajaan Pakatan Harapan sebagaimana ke atas institusi kehakiman. 

Pakatan Harapan yang sudah menang PRU-14 sepatutnya mempunyai keyakinan tinggi menghadapi persaingan UMNO yang telahpun kalah teruk. Perkembangan tersebut turut mengundang simpati banyak pihak dan orang ramai. 

Apatah lagi ia dimaklumkan tiga hari sebelum  pemilihan UMNO, yang akaun parti diperlukan bagi urusan biayai pentadbiran dan operasi parti. Disebalik dugaan ini, Awang percaya ahli-ahli dan penyokong UMNO  terus bersabar menanti perkembangan selanjutnya. Bertenanglah. 


Bagai ayam kokok...

Awang hairan dengan sikap Menteri Kewangan, Lim Guan Eng yang terus  mempolitikkan isu siasatan ke atas 1MDB terutama rampasan barangan di rumah bekas Perdana Menteri, Mohd. Najib Tun Razak. Beberapa kenyataan beliau bersifat subjudis yang boleh menjejaskan siasatan mahupun ketika perbicaraan di mahkamah. 

(Najib dalam reaksinya berkata, kebanyakan barangan adalah hadiah daripada kawan-kawan, pegawai asing, kerabat diraja termasuk lawatan rasmi dan sambutan hari lahir selama berdekad-dekad. Anggaran nilai barangan yang dirampas juga sengaja diperbesarkan untuk membalas dendam dan serangan peribadi.)

Apa yang lebih tertonjol adalah motif politik dan bukannya proses mencari keadilan. Sebaik-baiknya Guan Eng tutup mulut apatah lagi beliau sendiri terpalit kes rasuah di mahkamah. Kedudukannya dilantik sebagai menteri Kabinet di sebalik menghadapi pendakwaan di mahkamah, menjadi bahan sinikal rakyat Malaysia kerana ia melanggar prinsip rule of law. 

Belum pernah ada individu di serata dunia yang sedang berhadapan perbicaraan rasuah dilantik sebagai menteri kecuali di Malaysia. Itu belum menyentuh beberapa projek mewah di Pulau Pinang yang mencetuskan isu integriti dan kos yang tidak masuk akal. Malulah pada diri sendiri. Bagai ayam kokok berderai-derai ekor bergelumang najis. 


Dasar afirmatif

Kenyataan Perdana Menteri, Dr. Mahathir Mohamad bahawa beberapa polisi bagi membantu orang Melayu dan bumiputera akan diteruskan, melegakan kaum majoriti itu. Awang sambut jaminan itu dengan reaksi positif kerana seperti kata beliau, ramai orang Melayu masih miskin dan wajar dibantu. 

Dengan kata lain dasar afirmatif diperlukan bagi mengelakkan konflik dengan etnik yang lebih kaya dan mengurangkan jurang kekayaan antara kaum. Awang berharap semua parti politik dalam Pakatan Harapan akan turut sama komited dengan jaminan Dr. Mahathir itu. Jangan pula ada tafsiran lain di peringkat pelaksanaannya. 


Tak masuk akal

Keputusan  kerajaan mahu mengkaji semula perjanjian air dengan Singapura sebagaimana diumumkan Perdana Menteri, Dr. Mahathir Mohamad baru-baru ini, menarik perhatian. Awang menyokong langkah tersebut.

Sememangnya kadar tiga sen bagi setiap 1,000 gelen air mentah  yang dijual kepada negara itu tidak masuk akal. 

Sudah sampai masanya perjanjian itu dikaji semula supaya lebih realistik dan adil dalam menjaga kepentingan Malaysia. Seperti kata Presiden Persatuan Penyelidikan Air dan Tenaga Malaysia (AWER), S.
Piarapakaran, Malaysia sebenarnya memberi subsidi kepada 94 peratus rakyat Singapura. 

“Sedangkan caj yang dikenakan antara negeri pun mahal, inikan pula melibatkan dua buah negara.” Beliau merujuk kepada caj air mentah  di Pulau Pinang iaitu tiga sen untuk setiap meter padu dan Selangor perlu membayar 10 sen kepada Pahang bagi setiap meter padu melalui projek Loji Rawatan Air Langat 2. 

Sekiranya Perjanjian Sungai Johor 1962 itu dikaji semula, Awang percaya Malaysia tidak akan membuat tuntutan kenaikan caj keterlaluan. Apa pun yang penting, kajian semula itu memerlukan kemahuan politik yang tinggi. Dr. Mahathir telah merintisnya. 


Bangkit bersuara 

Tindakan Menteri Kewangan, Lim Guan Eng yang juga Setiausaha Agung DAP menggunakan bahasa Mandarin dalam kenyataan rasminya mengundang bantahan banyak pihak dan rakyat Malaysia. 

Sentimen ramai melihat Guan Eng cuba mengambil kesempatan daripada peralihan kerajaan kononnya atas slogan Malaysia Baharu untuk menghakis Bahasa  Kebangsaan. Pada Awang, inilah pencerobohan yang berlaku satu  demi satu dan jika tidak dikekang akan membentuk  pencerobohan dahsyat terhadap asas kenegaraan. 

Akta Bahasa Kebangsaan dan Dasar Kebangsaan serta dokumen Perintah Am telah menggariskan dengan jelas penggunaan Bahasa Melayu sebagai bahasa rasmi dalam semua urusan kerajaan. 

Awang melihat gelombang bantahan tersebut sebagai satu lagi tamparan kepada kerajaan Pakatan Harapan yang berdepan kecelaruan atas pelbagai isu. 

Ia seharusnya menjadi iktibar bernilai kepada sesiapa sahaja yang mahu menggugat Bahasa Kebangsaan. 

Isu bahasa tidak lagi boleh diremehkan. Susulan kepada bantahan itu diadakan perhimpunan aman di Putrajaya kelmarin dengan menyaksikan penglibatan beberapa tokoh yang diketuai oleh bekas Ketua Polis Negara, Hanif Omar. 

Awang tabik Hanif dan mereka yang lain kerana tampil ke hadapan demi memperjuangkan Bahasa Melayu walaupun mempunyai pilihan sekadar merungut di kumpulan WhatsApp. 

Perhimpunan itu biarpun kecil sangat signifikan dan membuktikan rakyat tanpa gentar akan bangkit bersuara. Ingatlah ini baru permulaan. 

Berundurnya Wahid 

Langkah Pengerusi Kumpulan Permodalan Nasional Berhad (PNB) Wahid Omar meletakkan jawatan walaupun perkhidmatannya masih diperlukan rakyat, sudah boleh dijangka. Seperti ramai peneraju syarikat milik kerajaan (GLC), beliau akhirnya terpaksa berbuat demikian atas situasi sekarang sejak peralihan kerajaan. 

Walaupun tidak menyatakannya, bukan menjadi rahsia lagi tindakan seperti itu terpaksa diambil kerana tekanan dan hilang kepercayaan daripada kerajaan Pakatan Harapan.

Awang menyifatkan pengunduran Wahid suatu kerugian kerana beliau seorang tokoh korporat yang disegani, berkebolehan dan berwibawa. 

Adalah menyedihkan apabila beliau menjadi korban politik. Tetapi Awang yakin khidmat Wahid akan ditagih kembali sekiranya senario politik berubah lagi akan datang. Kepada bekas Gabenor Bank Negara, Zeti Akhtar Aziz yang dilantik menggantikan Wahid, Awang ucap tahniah. Semoga PNB terus maju jaya. 


Politik cari makan

Khianat dan tidak bermaruah adalah antara reaksi ramai terhadap tindakan dua ahlli Parlimen UMNO dari Perak yang keluar parti. 

Ahli Parlimen Bagan Serai, Dr. Noor Azmi Ghazali umum tinggalkan UMNO pada Ahad  dan diikuti Ahli Parlimen Bukit Gantang Syed Abu Hussin Hafiz Syed Abdul Fasal, Khamis lepas.

Kedua-duanya memberi pelbagai alasan tetapi anehnya  tidak pula meletakkan jawatan sebagai Ahli Parlimen sedangkan mereka menang atas mandat rakyat bagi tiket Barisan Nasional (BN) dan UMNO. 

Awang berpendapat UMNO tidak harus meratapi pemergian mereka walaupun BN akan kehilangan dua kerusi di Dewan Rakyat. Sudah sampai masanya UMNO perlu dibersihkan daripada ahli-ahli mahupun pemimpin yang tiada jati diri,  tiada harga diri  dan tidak setia. 

Awang boleh bayangkan betapa gegak gempita akan melanda negara jika ada wakil rakyat Pakatan Harapan yang keluar atau lebih dahsyat  melompat parti menyertai BN. Pasti BN dan UMNO akan diserang dengan tuduhan mengamalkan politik rasuah dan mencabul demokrasi. 

Kini apa bezanya dengan Noor Azmi dan Syed Abu Hussin, yang boleh disifatkan politik cari makan. Memandangkan terdapat pihak tertentu dalam Pakatan Harapan sedang melobi dan membeli Ahli Parlimen BN, tidak mengejutkan jika berlaku lagi tindakan keluar parti. 

Maka ada keperluan mendesak agar undang-undang antilompat parti dilaksanakan segera bagi mengekang gejala itu seperti dicadangkan oleh Pas. Kelmarin, seorang lagi tokoh UMNO, Syed Hamid Albar meninggalkan UMNO dengan memberikan beberapa alasan bagi mewajarkan tindakannya. 

Awang sekadar senyum. Biarkanlah, sejarah perjuangan bangsa akan menilai mereka.