Jika pergi ke kedai menjual rokok, jelas tertera larangan keras menjual rokok kepada mereka yang berumur 18 tahun ke bawah yang memberi tafsiran mudah: belum umur 18 tahun jangan pandai-pandai nak cuba dan hisap rokok ya!” Realitinya tidak sebegitu. Belum jumpa solusi berkesan bagaimana untuk menangani isu kanak-kanak dan remaja sekolah menghisap rokok, datang pula bahana baharu iaitu rokok elektronik atau vape yang menjadi teman pengganti kepada golongan ini.

Vape menjadi fenomena sejak beberapa tahun lalu dan di awal kemunculannya di pasaran, ada yang berpendapat ia sebagai rawatan alternatif untuk mengurangkan tabiat merokok. Bak kata pepatah, harapkan pegar, pegar makan padi. Begitulah kisahnya dengan rokok elektronik kerana apabila inovasi ini berada dalam pasaran, ia memberi kesan berlawanan apabila melahirkan lebih ramai perokok baharu.

Malah perokok baharu ini juga dilahirkan pada usia sekolah rendah lagi. Sudah dilihat ada yang makin berani dan tiada lagi segan silu menghembus asap rokok elektronik di khalayak awam atau sejengkal dari pagar sekolah. Dengan asap dihembus berkepul-kepul malah boleh pula dibentuk-bentuk, baunya dalam pelbagai perisa, rupa fizikalnya pula ibarat sebuah gajet yang perlu dimiliki selain mudah dibeli secara dalam talian. Natijahnya ia membawa kepada masalah sosial.

Belum reda gundah gulana ibu bapa dan pendidik dengan pengaruh vape ini, dilaporkan dalam media pula mengenai kegusaran dan kebimbangan ibu bapa di Papar dan Kota Kinabalu mengenai penjualan gula-gula berasap (smoke candy atau ghost candy) yang dibeli pelajar sekolah. Gula-gula ini akan mengeluarkan asap seakan-akan rokok apabila disedut dan ia tanpa sedar mempengaruhi minda kanak-kanak untuk mengamalkan tabiat merokok.

Walaupun dianggap gula-gula dan undang-undang pula meletakkan ia di bawah produk makanan, bukannya termasuk di bawah kategori rokok elektronik, kerajaan memandang serius ancaman baharu ini. Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr. Dzulkefly Ahmad melahirkan kebimbangan terhadap produk seperti rokok ini agar tidak dijual dan dipasarkan kepada pelajar sekolah. Beliau memberi jaminan perkara ini dalam perhatian kementeriannya dan tindakan segera akan diambil untuk melarang penjualannya.

Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna dalam kenyataan terkini memandang serius mengenai gejala penyalahgunaan rokok elektronik dalam kalangan pelajar sekolah dan akan bekerjasama dengan Kementerian Kesihatan, Jabatan Kastam Diraja Malaysia dan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia melalui sebuah jawatankuasa yang ditubuhkan bagi menangani gejala penggunaan rokok elektronik dalam kalangan juvana. Jaminan ini pastinya memberi kelegaan kepada penulis dan ibu bapa khususnya yang tidak mahu melihat anak-anak mereka terjebak dengan masalah ini.

PENULIS ialah Pegawai Tadbir di Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) serta Exco Persatuan Pegawai Tadbir dan Ikhtisas (PRAGMATIS) USIM.