Tidak habis dengan polemik itu, insiden rusuhan di Kuil Sri Maha Mariamman di Subang Jaya baru-baru ini turut menimbulkan kegusaran dalam kalangan rakyat dan bagi mengupas persoalan itu, Dr. Balachandran Gopal Krishnan memberikan pandangannya.

Kepada wartawan Mingguan Malaysia, RADHUAN HUSS AIN bersama jurugambar AZLAN BAHRUM, Pegawai Khas Hal Ehwal Bukan Islam Kepada Menteri Besar Terengganu yang juga Ketua Dewan Himpunan Penyokong Pas Terengganu ini menegaskan, ICERD tidak sepatutnya dicadangkan, sebaliknya al-Quran perlu dijadikan rujukan.

Mingguan: Konvensyen Antarabangsa Mengenai Penghapusan Segala Bentuk Diskriminasi Kaum (ICERD) heboh diperkatakan malah mendapat tentangan pelbagai pihak terutama dalam kalangan orang Melayu beragama Islam di Malaysia. Apa pandangan anda?

Dr. Bala: ICERD memang suatu yang baik kalau kita tengok secara dasarnya, sebab ia mahu memberi kesamarataan serta kurangkan diskriminasi. Tapi dalam konteks Malaysia, yang mana Melayu, Cina, India dan lain-lain hidup bersama dengan aman, negara ini kena ada konsepnya sendiri. Tetapi kenapa wujudnya orang bukan Islam sokong ICERD? Mereka rasa terpinggir kerana kerajaan dulu tak letak Islam di depan sebaliknya letakkan bangsa. Memang kita harus cintai bangsa, tetapi kalau bangsa digunakan sebagai akidah perjuangan, ini akan hancurkan bangsa itu sendiri.

Kita mahu akidah perjuangan mestilah agama Islam itu sendiri sebab walaupun saya seorang Hindu, saya hormati Islam sebab Islam agama rasmi dan majoriti warganegara Malaysia adalah orang Melayu Islam. Saya tak kata Hindu atau Kristian tiada tamadunnya sendiri, ada tetapi dalam konteks Malaysia yang memimpin adalah majoriti iaitu Islam. Islam adalah agama pendamai, satu agama yang menjaga hak bukan Islam. Bagi saya, kita mengikut al-Quran dalam konteks keadilan dan politik perkauman, namun konteks menjaga hak bukan Islam, kurang diberi jaminan. Bila al-Quran diletakkan antara ICERD, bagi saya ICERD sudah tidak relevan dan manakala kita harus fokus kepada al-Quran yang ada perhitungan dosa dan pahala.

Maka, pemimpin wajib pastikan Islam memimpin mengikut erti kata sebenar. Sebab itu, saya kata kita tolak ICERD, sebab ICERD tak ada perhitungan dosa dan pahala. Sekiranya pemimpin tidak laksanakan apa yang termaktub dalam al-Quran mereka kena jawab dengan Tuhan. Jadi dalam konteks membawa isu itu, kena pandai jaga pertuturan supaya kita jaga keharmonian dan keamanan. Jangan kita menegakkan Islam yang begitu cantik sedangkan pendekatan kita tak Islamik.

Kita kena tunjukkan Islam itu pendamai, menghormati agama lain dan beri hak kepada agama lain untuk dianuti seperti termaktub dalam perkara 153 dalam Perlembagaan. Sebab itu, kita kena berbalik kepada asas.

Boleh anda ulas video mengenai ucapan anda dalam satu program di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) tempoh hari sehingga menjadi tular.

Dr. Bala: Saya hendak maklumkan kepada orang bukan Islam bahawa kita kena akur agama rasmi di negara ini adalah Islam. Kita semua boleh anuti semua agama tetapi yang akan memimpin adalah Islam sebab penduduk Islam adalah majoriti. Kena ada kerjasama dalam ruang yang dikongsi bersama ini untuk pastikan kita saling menghormati dan saling bekerjasama agar negara ini sejahtera dan maju.

Sebagai rakyat Malaysia yang penting adalah kita dijaga dengan baik dan adil. Kita kena faham masalah mereka dan ini penting. Kita kena selesaikan masalah tanpa bawa apa-apa masalah. Jangan kita selesaikan satu masalah tetatpi wujudkan 10 masalah lain.

Boleh kongsi bagaimana anda mempelajari al-Quran?

Dr. Bala:Saya mengkaji agama selama 10 hingga 15 tahun. Saya kaji Islam, Kristian, Buddha dan lain-lain. Semua agama, 90 peratus ada persamaan kecuali yang lain-lain dalam konteks hukum-hakam. Bagi kita agama harus mentamadunkan manusia bukan mencelarukan manusia.

Jadi, semua begitu, kita harus pastikan Islam memimpin sebab seperti saya kata saya berusaha kaji al-Quran sebab saya nak tahu Islam dah memimpin di Malaysia bahawa Islam boleh bantu orang bukan Islam.

Saya kaji banyak surah seperti al-Maidah ayat 8, surah Hujurat ayat 13 yang mengatakan: "Wahai manusia, kami telah menciptakan kamu lelaki dan perempuan, berpuak-puak dan bersuku kaum untuk kamu kenal mengenali antara satu sama lain dan orang paling mulia di sisi Allah adalah orang yang 
bertakwa." Cantik bukan?

Saya ambil inisiatif untuk belajar memahami Islam. Bila kaji Islam, saya mula hormati Islam. Saya juga jadi seorang Hindu yang lebih baik. Saya fikir semua orang yang beragama perlu kaji semua agama supaya faham, bukan bererti anda belajar Hindu anda jadi seorang Hindu. Saya sudah 15 tahun bersama Pas, tapi saya masih Hindu.

Mungkin orang bukan Islam nampak saya berucap di PWTC, mereka ingat saya mengagungkan Islam, bukan! Saya bercakap dengan audiens Melayu beragama Islam, saya harus bercakap dalam konteks sebagai seorang Hindu yang merayu orang Islam bahawa mereka perlu kembali kepada al-Quran untuk beri keadilan itu dan tak perlukan ICERD.

Untuk pengetahuan, program itu adalah kongres yang dikelolakan sekretariat kedaulatan negara atau Daulat untuk beri kesedaran dan bahawa kita tak perlukan ICERD.

Saya setuju sebab bagi saya ICERD tak diperlukan di negara ini sebab bukan kerana tak setuju dengan ICERD tapi saya nampak al-Quran lebih sempurna dalam konteks menjaga keadilan dan kemakmuran.

Mingguan: Apa pandangan anda mengenai rusuhan yang berlaku di kuil Sri Maha Mariamman?

Dr. Bala: Ini berlaku sebab tidak beriman kepada Tuhan. Bila kita beriman kepada ego, inilah jadinya. Sebagai orang yang benar-benar beriman kepada Tuhan, ia akan bawa kepada perdamaian.

Kalau kita kata orang kuat agama, tak kira apa agama sekalipun tapi kalau dia mencelarukan bagi saya, dia berimankan ego bukan Tuhan. Agama tidak mencelarukan. Kita harap insiden ini jadi pengajaran kepada semua bahawa ini tak bawa apa-apa manfaat pada kita. Semua agama harus dihormati.