Semasa pembedahan, seba­nyak 15 kelenjar dikeluarkan dan tujuh daripadanya dikenal pasti mengandungi sel-sel kanser. Dia juga turut menjalani rawatan kemoterapi sebanyak enam kali dan radioterapi sebanyak 15 kali. ­Kedua-dua rawatan itu tamat pada September 2010.

Namun, selepas lebih dua tahun tamat rawatan, Aminah disahkan mendapat cancer relapse iaitu kanser kembali menyerang, malah lebih teruk apabila ia mere­bak ke bahagian tulang spinal (C3 & C4) termasuk menyerang tulang pelvik dan tulang rusuknya.

Hampir berputus asa dengan ujian yang menimpa dirinya, dia mendapatkan nasihat daripada pakar perubatan moden yang menyarankan agar dia mencuba rawatan alternatif Islam. Nasib menyebelahinya, selepas bebe­rapa kali menjalani rawatan alternatif, penyakit yang dideritai menunjukkan kesan positif.

Ia adalah dengan mengamalkan bacaan ayat penyembuh (syifa’) yang disarankan oleh perawat di pusat rawatan alternatif itu menggunakan ayat-ayat al-Quran selain diberikan minum air bacaan doa dan ayat al-Quran (rukyah).

Ternyata, kisah itu adalah satu daripada ribuan kes membabitkan penyembuhan penyakit kritikal hasil paduan rawatan moden de­ngan mukjizat al-Quran.

Bukan kisah Aminah yang ingin dikupas, tetapi mari renungkan sejenak, apakah perkara pertama yang bakal dilakukan jika kita di­serang penyakit. Sakit kepala contohnya, tindakan yang pastinya semua orang termasuk kanak-kanak tahu adalah merujuk kepada doktor sama ada di klinik atau hospital berhampiran.

Benar, itu adalah tindakan sepatutnya dilakukan. Namun ha­kikatnya, ramai kurang sedar bahawa yang memberi kesembuhan itu adalah daripada ‘Raja segala doktor’ iaitu Allah SWT. Segalanya terhidang dalam mukjizat agung yang diturunkan iaitu al-Quran, cuma manusia sahaja yang enggan menjamahnya.

Ini sebagaimana firman Allah maksudnya: “Dan Kami turunkan daripada al-Quran suatu yang menjadi penawar dan rahmat bagi orang beriman....” (al-Israa’: 82)

Persoalannya, berapa ramai yang mengamalkannya? Suka penulis memetik kenyataan Profesor Perubatan dan Pakar Perunding Perubatan Keluarga, Klinik Pakar Kesihatan Universiti Sains Islam Malaysia (USIM), Profesor Dr. Muhammad Tauffik Mohd. Noor ketika ditemui baru-baru ini.

Beliau menyifatkan gabungan rawatan moden dan al-Quran sebagai elemen saling melengkapi antara satu sama lain.

Walaupun berkecimpung da­lam bidang perubatan moden selama lebih 26 tahun, bekas Pengarah Klinik Pakar Kesihatan USIM itu menyarankan pesakit agar melakukan kedua-kedua rawatan itu untuk memperoleh kesembuhan lebih komprehensif.

Malah menurutnya, kajian dilakukan juga mendapati mende­ngar alunan ayat al-Quran adalah antara terapi terbaik bagi menghasilkan ketenangan sekali gus membantu mengawal emosi dan menghasilkan tindak balas positif.

Dapatan kajian lain turut membuktikan pembacaan al-Quran da­lam solat mampu menstabilkan denyutan jantung ke tahap normal terutama ketika sujud.

Dalam pada itu, menurut penulis buku Perubatan al-Quran Rawatan Kanser, Lokman Abdul Hamid, beliau mengenal pasti sebanyak 60 rangkaian ayat al-Quran yang merupakan ayat ­spe­sifik bagi ikhtiar penyembuhan penyakit kanser.

Pengarah Urusan Pusat Rawatan Islam al-Hidayah itu juga mengatakan ayat tersebut adalah bersifat khusus untuk setiap tahap kanser dan spesifik untuk setiap jenis kanser yang dialami.

Jika dilihat kembali pada zaman Rasulullah SAW, terdapat banyak hadis diceritakan dan mengharuskan penggunaan ayat al-Quran dalam perubatan.

Antaranya diceritakan daripada Abi Said al-Khudri r.a. berkaitan sekumpulan sahabat Rasulullah mengubat seorang ketua kampung yang mengalami bisa di­se­ngat kala jengking dengan menggunakan rukyah Surah al-Fatihah. Hasilnya, orang yang diubati itu sembuh dan mereka memaklumkan perkara itu kepada Rasulullah dan Baginda membenarkannya. - (Ringkasan hadis Sahih Muslim dalam Kitab Salam hadis 2064)

Bukan bermaksud menafikan perubatan moden, tetapi umat Islam perlu meletakkan keyakinan pertama bahawa yang memberi kesihatan adalah Allah. Inilah konsep dua dalam satu iaitu di samping memohon kesembuhan, pesakit juga insya-Allah akan le­bih dekat dengan-Nya.

Ini kerana, falsafah kesakitan menurut Islam adalah sebagai kifarah menghapuskan dosa terdahulu. Bagaimanapun, segalanya perlu dihadapi dan dilakukan de­ngan keimanan, penuh khusyuk, tawaduk serta pengharapan agar Allah memakbulkan doa sekali gus menyembuhkan penyakit.

Penulis tertarik dengan cadang­an Dr. Muhammad Tauffik supaya perubatan moden dan alternatif Islam dipadukan dalam sistem perubatan negara. Ini bagi menyelesaikan pelbagai permasalahan berkaitan kesihatan negara.

Justeru, bersempena penganjuran Malaysia#QuranHour pada hari ini, marilah sama-sama kita menyemarakkan al-Quran bukan sekadar untuk dibaca tetapi diamalkan dan menggarap segala mukjizat di dalamnya untuk manfaat dunia dan akhirat.

Berinteraksi serentak selu­ruh negara, lokasi perdana Ma­lay­sia#QuranHour diadakan di Masjid Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah, Shah Alam Selangor bermula pada pukul 10.30 pagi sehingga 1 petang.

Marilah sama-sama mengambil iktibar daripada kisah Firaun yang diberi istidraj (kelebihan luar biasa yang menambah kebinasaan) iaitu tidak pernah sakit sepanjang ha­yat, tetapi malangnya, pengakhiran diazab dengan begitu dahsyat.