Paling klasik apabila Nurul Izzah Anwar dalam wawancara dengan media Singapura, Straits Times baru-baru ini menyatakan beliau kecewa dengan perkembangan politik Malaysia termasuklah penyertaan bekas wakil rakyat UMNO ke dalam Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu).

Ahli Parlimen Permatang Pauh itu memaparkan kekecewaan tentang betapa sukar bekerja bersama Tun Dr. Mahathir Mohamad yang digelar ‘bekas diktator’.

Perdana Menteri pula yang membalas kekecewaan Nurul Izzah menyatakan beliau juga kecewa dengan prestasi kerajaan Pakatan Harapan (PH) – dalam bahasa mudah merujuk barisan Kabinetnya.

Luahan kekecewaan Nurul Izzah ternyata tidak menyenangkan beberapa pemimpin PKR yang dilihat sehaluan dengan Dr. Mahathir, mereka kecewa dengan kenyataan anak Datuk Seri Anwar Ibrahim itu.

Kata mereka, kekecewaan itu sepatutnya dizahirkan melalui platform yang betul. Pada masa sama, kumpulan pemimpin yang setia bersama Anwar kecewa dengan tindakan pemimpin PKR yang mengecam kekecewaan Nurul Izzah.

Episod kecewa, dikecewakan dan mengecewakan sebelum itu dilihat berlaku di Kedah, apabila Menteri Hal Ehwal Ekonomi, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali mengumum tujuh projek mega bernilai RM3.2 bilion akan dilaksana di negeri itu.

Pengumuman hebat itu disambut dingin dan sinis oleh pemimpin-pemimpin politik Kedah yang kecewa kerana ia dibuat ketika rakyat Kedah sedang dilanda kekecewaan sejak berpuluh-puluh tahun lalu berikutan masalah bekalan air yang kritikal.

Lebih mengecewakan mereka, pengumuman tersebut dilakukan ketika berpuluh ribu penduduk di Parlimen Merbok terputus bekalan berkenaan.

Di Dewan Rakyat pula, Timbalan Speaker, Nga Kor Ming kecewa apabila Ahli Parlimen Rembau, Khairy Jamaluddin menggunakan istilah ‘Taliban’ yang sebelum ini digunakan oleh Kor Ming bagi menggambarkan kerjasama UMNO dan Pas.

Aneh juga, apabila kena ‘batang hidung sendiri’ tahu pula Kor Ming kecewa sedangkan sebelum ini tidak peduli pun kekecewaan pemimpin dan ahli kedua-dua parti terhadap kenyataannya.

Di peringkat pentadbiran kerajaan pula, Mazlan Aliman yang dianggap pejuang nasib peneroka Felda secara lantang sebagai Pengerusi Majlis Permuafakatan NGO Felda (MPNF) mengadakan sidang akhbar bagi melahirkan kekecewaannya terhadap kerajaan PH yang disifatkan tidak mengadakan sebarang pelan rancangan pemulihan Felda selepas 10 bulan memerintah dan bayaran pinjaman sara hidup turun.

Kekecewaan Mazlan itu dibalas Pengarah Besar Felda, Datuk Dr. Othman Omar yang meminta peneroka bersabar kerana agensi itu sedang berusaha menyelesaikan masalah dihadapi.

Pada masa sama Jawatankuasa Perunding Peneroka (JKPP) membalas kekecewaan Mazlan dengan menganggap penurunan kadar bayaran pinjaman sara hidup sebanyak RM500 tidak memberi kesan teruk kepada peneroka. Justeru mereka menganggap isu itu sengaja diperbesar pihak tertentu.

Pada Jumaat lalu, beberapa pihak kecewa apabila kerajaan PH enggan mendedahkan secara umum laporan yang disediakan Majlis Penasihat Kerajaan (CEP). Antara yang melahirkan kekecewaan itu ialah bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Zaid Ibrahim; Ahli Parlimen Pasir Gudang, Hassan Abdul Karim dan Presiden Gerakan, Datuk Dr. Dominic Lau.

Mereka menyifatkan keputusan kerajaan itu mengecewakan rakyat kerana ia sepatutnya dibentangkan secara telus memandangkan laporan itu mengandungi maklumat penyalahgunaan kuasa dan perincian dalam tadbir urus kerajaan terdahulu.

Itulah sebahagian episod kecewa mengecewa, berlaku dalam dunia politik dan pentadbiran kerajaan sejak seminggu lalu, tetapi hakikatnya ia sudah lama menyelubungi rakyat sejak Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14).

Kalau mahu ikut perasaan kecewa, rasanya rakyat yang memilih kerajaan sedia ada jauh lebih kecewa kerana apa yang diharapkan dengan membuat keputusan menukar kerajaan amat mengecewakan.

Banyak janji tidak ditunai dengan pelbagai alasan dan paling klasik ‘perlu lunas hutang kerajaan terdahulu’, padahal ketika kempen PRU-14 pelbagai janji ditabur, harapan diberi dan impian disandar.

Akhirnya rakyat tertanya-tanya bak lirik lagu Ibnor Riza, “siapakah di antara kita dengan rela menjadi pendusta, siapakah dulu membina harapan dan siapa yang memusnahkan impian, tanpa sebab dan alasan kau mainkan perasaan bagai taufan tiba-tiba datang dan menghilang.”

Maka kalau ada ahli politik atau penyokong PH baharu mahu berasa kecewa selepas 10 bulan, itu bukan luar biasa kerana kekecewaan itu patutnya dizahir lebih awal.

Jika benar mereka tidak mahu dikecewakan, kenapa sejak awal bersedia berpakat kononnya mahu selamatkan negara? Sekarang sudah terlambat, bak kata orang hadam sahajalah perasaan kecewa tersebut.