Berbanding sebelum-sebelum ini perpecahan dalam kalangan orang Melayu lebih buruk apabila ada bekas pemimpin UMNO yang pernah berkuasa selama 22 tahun berada di pihak gabungan tersebut. Ahli politik berusia 93 tahun itu diperkudakan siang dan malam untuk ­menyerang kepemimpinan Perdana Menteri yang juga Presiden UMNO, Datuk Seri Najib Tun Razak.

Dengan dibantu pula oleh PKR dan PAN yang turut di­pimpin orang Melayu, DAP mengharapkan berlaku ‘tsunami Melayu’ ketika majoriti pengundi Cina masih lagi dikatakan memihak kepada gabungan pembangkang. Kali ini gelombang ‘tsunami Melayu’ diharapkan akan menghempas dan meranapkan kuasa politik BN serta UMNO.

Sebab itulah mereka terus memainkan sentimen ‘tsunami Melayu’ dengan harapan orang Melayu akan berasa takut jika terus bersama BN dan UMNO. Pemimpin Melayu dalam pembangkang diperalatkan manakala orang Melayu diperdaya untuk kononnya melakukan perubahan demi menyelamatkan Malaysia.

Soalnya, siapakah yang akan berpesta jika benar berlaku ‘tsunami Melayu’? PPBM yang dibubarkan, PKR yang merupakan sekutu kuat DAP atau PAN yang sekadar menjadi ‘pak turut’? Jawapannya ialah DAP – inilah parti yang sanggup menggadaikan logonya dalam Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) demi meraih keuntungan lebih besar.

Semua itu berlaku kerana kejahilan pemimpin-pemimpin Melayu berpolitik. Mereka sanggup mengamalkan konsep politik ‘ali baba’. Guna nama orang lain, yang untung orang lain. Inilah strategi DAP. Mereka tidak kisah terpaksa ‘mengalah’ sementara melalui tindakan tidak menggunakan logo roket.

Keuntungan itu pula bukanlah perlu dilakukan dengan susah payah sebaliknya dikaut atas angin hasil kebodohan pemimpin-pemimpin Melayu dalam gabungan pembangkang berpolitik. DAP bagaikan ‘tauke besar’ hanya menggadaikan ‘papan tanda syarikatnya’ sahaja dan kemudiannya membiarkan sahaja konco-konconya yang terdiri daripada pemimpin-pemimpin Melayu tersebut menyerang UMNO dan BN.

Oleh itu, orang Melayu perlu menyedari taktik DAP itu. Penulis tidak menyatakan BN dan UMNO kelompok paling sempurna di muka bumi Allah ini, tetapi sekurang-kurangnya pemimpin-pemimpin parti itu boleh disandarkan harapan untuk terus mempertahankan kuasa politik orang Melayu. Kalaulah kuasa politik Melayu pun dilemahkan dan dikuasai oleh orang lain, apa lagi orang Melayu ada?

Usahlah terpengaruh dengan politik pemimpin berusia 93 tahun yang kini sanggup meredah segenap kampung dan desa, tanah rancangan dan penempatan Orang Asli bagi meraih sokongan dengan melemparkan fitnah serta tohmahan kepada kerajaan.

PRU-14 bukanlah medan untuk membalas dendam, ia bukanlah gelanggang untuk memenuhi agenda politik peribadi mana-mana pemimpin seperti orang itu, tetapi ia adalah detik untuk memacu bangsa, agama dan negara ke tahap yang lebih baik.

Perdana Menteri sudah membuktikan keikhlasan beliau dalam perjuangan getir ini dengan membentangkan Bajet 2018 dan manifesto BN yang memastikan tiada mana-mana pihak dipinggirkan. Sudah pasti apabila ia dilaksanakan semua orang akan merasai nikmatnya tanpa mengira fahaman politik.

Tetapi apa agenda gabungan pembangkang PKR dikuasai DAP? Agenda mereka hanyalah menabur janji-janji, melemparkan fitnah kepada kerajaan dan semakin rakus mahu berkuasa. Dalam kalangan mereka sendiri berebut kerusi dan sudah pasti yang terlibat dalam perebutan itu ialah parti-parti Melayu, DAP bagaikan ‘berpeluk tubuh’ menyaksikan ‘badut-badut’ ahli politik Melayu tersebut bercakaran sesama sendiri.

Ini memandangkan DAP sudah memastikan semua kerusinya selamat. Tidak ada kubu kuatnya diserahkan kepada sekutunya termasuklah PPBM yang dibubarkan sementara, walaupun bekas pengerusi parti itu ‘diperkudakan’ untuk meraih sokongan orang Melayu.

Akhirnya yang akan rugi adalah orang Melayu. Tersilap percaturan mereka akan tergadai segala-galanya termasuklah kuasa politik. Sebagai umat Islam, kita digalakkan untuk memohon petunjuk Allah SWT dalam membuat keputusan.

Janganlah mengikut hawa nafsu, jangan terperdaya de­ngan fitnah, jangan terperangkap dengan politik kebencian dan jangan termakan janji-janji manis kononnya orang Melayu akan berada lebih baik jika gabungan pembangkang PKR berkuasa. Ingatlah DAP sudah bertegas tetap mempertahankan konsep Malaysian Malaysia.

Ya! Memang benar yang kononnya direncanakan menjadi Perdana Menteri adalah orang Melayu dan yang dicalonkan menjadi Timbalan Perdana Menteri adalah orang Melayu, tetapi apakah mereka mempunyai kekuatan politik yang mampu melawan kehendak DAP?

Mempertahankan kuasa politik orang Melayu bukanlah demi kepentingan orang Melayu semata-mata tetapi juga demi kesejahteraan seluruh rakyat Malaysia. Inilah yang dibuktikan oleh BN sejak memerintah negara ini sejak 1959.

Ini tanah air kita bersama. Jangan meruntuhkan kemakmuran negara dan melenyapkan kesejahteraan kita semata-mata kerana mainan politik yang semakin tidak bertamadun oleh gabungan pembangkang PKR.

Tumpaskan politik matlamat menghalalkan cara yang diamalkan oleh mereka. Fikirlah semasak-masaknya sebelum mengundi. Satu undi boleh menentukan sama ada kita menempah kebahagiaan atau mencatat nama sebagai kelompok yang mencetuskan kesengsaraan.