Pernahkah anda dengar tentang SEBENARNYA.MY

Logo Kaji Selidik Pembaca

Pernahkah anda dengar tentang SEBENARNYA.MY ?

Pernahkah anda dengar tentang SEBENARNYA.MY ?




Sila respon kepada soalan di atas untuk menutup skrin ini

Show result

Agama tonggak kesejahteraan masyarakat

AGAMA memainkan peranan sangat penting dalam semua hal kehidupan
AGAMA memainkan peranan sangat penting dalam semua hal kehidupan kita dan jika berpegang kepada ajaran Islam, tidak mungkin seseorang itu akan bertindak ganas hanya kerana provokasi. GAMBAR HIASAN/UTUSAN

Ini adalah sebagai satu peringatan semula yang penting untuk menghadapi pelbagai kegawatan nilai dalam masyarakat hari ini.

Ini sekali gus mengingatkan juga kepada satu rakaman video pendek yang dihantar kepada penulis oleh seorang ahli akademik yang menunjukkan pandangan seorang tokoh agama Buddha tentang agama yang katanya: “Istilah pengganas Islam, mahu pun pengganas Buddha adalah tidak betul. Sesiapa yang terlibat dalam keganasan dan pertumpahan darah bukanlah seorang pengamal agama yang tulen.

“Keganasan tidak diajar dalam Islam mahu pun agama lain. Semua agama mengajar tentang perkara asas yang sama iaitu kasih sayang, toleransi dan kebaikan, tentang keharmonian dan saling hormat menghormati.”

Semua pihak perlu kembali kepada pegangan agama masing-masing, yang tulen bukan mengikut tafsiran atau versi sendiri ­seperti yang tular dalam media sosial sekarang ini tentang pandangan seorang aktivis yang mendakwa dirinya sebagai liberal mengikut versi agama dari perspektifnya sendiri.

Aktivis peguam tersebut yang mendakwa dirinya Melayu dilaporkan mengatakan dia mempunyai versi kepercayaan sendiri yang sebenarnya jika tidak dibendung boleh merosakkan anggota masyarakat lain, malah dipergunakan oleh mereka yang berkepentingan untuk mengapi-apikan kebencian sesama sendiri kerana percaya versinya sahaja yang berasaskan akal fikiran itu benar dan yang lainnya salah.

Selaras dengan prinsip Rukun Negara yang pertama yang dipegang sekian lama iaitu kepercayaan kepada Tuhan, maka wajarlah semua pihak kembali membuat refleksi dalam menghadapi cabaran masa kini dan masa hadapan, dalam konteks perhubungan masyarakat, per­paduan, menghadapi pelbagai kes jenayah dan kekejaman, malah juga isu alam sekitar dan pelbagai isu lain termasuk integriti dan akauntabiliti.

Mereka yang percaya kepada Tuhan, akan menjadikan Tuhan sebagai pemantau diri yang mengawasi tiap tindakan yang dilakukan kerana percaya kepada nilai dan kesan daripada apa yang dilakukannya. Agama menolak sama sekali kebencian kepada orang lain. Bagi umat Islam ­misalnya, Rasulullah SAW telah menunjukkan suri teladan yang sangat utama dalam menghadapi perbezaan pendapat dan tindakan. Kita tahu bagaimana Rasulullah SAW tidak pernah mendoakan kehancuran musuh-musuhnya yang membenci ba­ginda kecuali apabila mempertahankan syariat yang dengan jelas menunjukkan ­pelanggaran hak asasi yang ada.

Baginda lebih mementingkan kemaslahatan masyarakat dan orang ramai berbanding dengan individu. Baginda mementingkan soal keadilan dan kesaksamaan. Malah baginda sangat menekankan soal hormat menghormati dan layanan baik sesama manusia.

Baginda malah menggesa agar umat Islam sentiasa bersikap bijaksana dalam berdakwah dan berkomunikasi, yang semuanya mestilah berdasarkan ilmu dan ketepatan atau kesahihan fakta.

Baginda tidak sewenang-wenangnya menerima sebarang maklumat atau perkhabaran yang dibawa. Setiap maklumat dan perkhabaran disiasat berasaskan fakta dan kebenarannya yang ­nyata. Kedudukan orang membawa maklumat juga diteliti tentang integriti dan niatnya.

Agama memainkan peranan sangat penting dalam semua hal kehidupan kita. Jika berpegang kepada agama, tidaklah mungkin seseorang itu akan bertindak ganas hanya kerana provokasi. Seseorang itu tidak akan menjadi samseng hanya kerana tidak setuju dengan pendapat orang lain.

Seseorang itu akan menolak sesuatu pemberian dengan baik atau bertindak bijaksana dengan menerima pemberian yang halal tanpa perlu berkasar, walaupun dari musuh sendiri asalkan tidak menggadai integriti dan akauntabiliti diri.

Banyak perkara yang berlaku kebelakangan ini termasuk dalam kalangan umat Islam sendiri ternyata banyak yang tidak selari dengan amalan agama sehingga menimbulkan kekecohan, seperti isu membunyikan hon semasa solat Jumaat dan beberapa isu lain semasa bulan Ramadan.

Sikap gopoh gapah, tidak bertoleransi dan tidak bertanggungjawab dengan melanggar peraturan jalan raya hingga me­ngorbankan banyak nyawa di jalan raya, buli di universiti dan dalam masyarakat dan banyak lagi peristiwa lainnya yang boleh kita lihat bersama di dada media.

Seperti kata Datuk Seri Najib Tun Razak, agama membolehkan kita hidup dengan sejahtera. Apatah lagi dalam masyarakat majmuk dengan kepelbagaian yang ada. Sikap bertolak ansur, berkasih sayang dan hormat menghormati menjamin tindakan kita yang penuh beradab, dikasihi, dihormati dan dicontohi.

Tepat sekali, keganasan, pertumpahan darah, kebencian dan mencabul hak orang lain bukanlah dari ajaran mana-mana agama. Usaha perlu dibuat untuk meningkatkan kefahaman pelbagai agama dan budaya.

Semakin ramai yang buta budaya sekarang ini, yang suka ­melakukan provokasi termasuk melalui saluran politik, malah gemar mempengaruhi orang lain dengan menanamkan persepsi keburukan hingga membawa kebencian sesama sendiri.

Ramai pula yang bersikap nakal memilih perkara-perkara yang dianggap tidak waras, tidak cerdik dan kenyataan-kenyataan yang diputarbelitkan, menghantar rakaman video separuh cerita sekadar menimbulkan kebencian dan kemarahan dengan menularkannya melalui pelbagai media sosial.

Ada seorang ahli akademik mengatakan, media sosial banyak menimbulkan masalah, tetapi pada pandangan penulis, media so­sial umpama pisau yang jika diguna dengan betul akan memberi ba­nyak faedah dalam berkongsi ilmu.

Para pengguna media sosial juga perlu bersifat matang, menggunakan mekanisme ilmu dan iman untuk menapisnya dan tidak mudah menerima bulat-bulat apa yang ditularkan. Agama mengajar kita untuk sentiasa berhati-hati dengan maklumat yang diterima dalam menjamin kesejahteraan dan kelangsungan masa hadapan.

PENULIS ialah Timbalan Pendaftar Kanan Pusat Transformasi Insan, Jabatan

Pendaftar, Universiti Sains Malaysia.

Artikel Berkaitan
Video Pilihan
Artikel Lain