Baki selebihnya itu adalah terdiri daripada majikan, bekerja sendiri dan pekerja keluarga tanpa gaji.

Justeru jika kerajaan ingin meningkatkan kesejahteraan hidup rakyat sepertimana yang dipahatkan di Tonggak II, Kajian Separuh Penggal (KSP), Rancangan Malaysia Kesebelas (RMK-11), maka fokus hendaklah diberikan kepada golongan ini. Oleh kerana terdapat pula kira-kira 85% pekerja bergaji bekerja di sektor swasta, maka tumpuan utama hendaklah diberikan kepada mereka ini. Baki 15% bekerja di sektor kerajaan, termasuklah GLC/GLIC.

Isu gaji melibatkan dua pihak utama iaitu di satu pihak, majikan yang membayar gaji dan di satu pihak lagi ialah pekerja yang menerima gaji atas perkhidmatan yang diberi. Antara dua pihak itu terdapatlah pelbagai faktor yang menjadi input pertimbangan dalam menentukan gaji seseorang pekerja. Antaranya kelulusan/kemahiran, jenis pekerjaan, pengalaman, produktiviti, penawaran dan permintaan dan kekuatan syarikat.

Menurut LSGU yang sama, gaji purata dan gaji penengah pekerja warganegara Malaysia pada 2017 adalah masing-masing sebanyak RM2,880 dan RM2,160 sebulan. Ini juga bermakna bahawa separuh daripada pekerja di negara kita mempunyai gaji di bawah RM2,160 sebulan.

Dalam pada itu, menurut JPM, sumbangan gaji dan upah atau pampasan pekerja kepada Pendapatan Kasar Negara (PKN) adalah sebanyak 35.2% pada tahun 2017 manakala sumbangan lebihan operasi kasar (gross operating surplus) adalah sebanyak 60.0%. Baki 4.8% ialah cukai tolak subsidi.

Kerajaan, semasa membentangkan KSP, telah memberikan komitmen untuk meningkatkan sumbangan pampasan pekerja kepada 38.0% menjelang 2020. Dijangka kerajaan akan menyediakan roadmap yang konkrit untuk mencapai sasaran tersebut.

Bagaimanapun, tetap ada ruang dan peluang untuk melonjakkan gaji pekerja. Pertama sekali, menyegerakan penyusunan semula struktur ekonomi dari yang berasaskan tenaga buruh bergaji rendah kepada ekonomi yang dipacu oleh teknologi tinggi dan gajinya tinggi khususnya berhijrah ke ekonomi digital atau IR4.0 / IR5.0. Kerajaan hendaklah menyediakan pelbagai insentif untuk menggalakkan penghijrahan tersebut dan, pada masa yang sama, memperkenalkan pula tindakan dan instrumen yang tidak menggalakkan (disincentivise) pengambilan buruh asing.

Kedua, melaksanakan program latihan deskilling, re skilling and up skilling secara agresif dan intensif agar pekerja kita yang berkemahiran (36.8%) jauh lebih ramai dari pekerja separuh mahir (55.0%) serta mampu memenuhi permintaan pasaran baru. Yang demikian gaji bulanan pun akan turut meningkat.

Lonjakan ini sudah pasti kerana pada 2017, menurut laporan survei yang sama, gaji penengah pekerja mahir (RM3,600 sebulan) adalah 114% lebih tinggi dari gaji pekerja separa mahir (RM 1,680 sebulan). Sekali gus boleh mencapai gaji kehidupan wajar (living wage) sebanyak RM2,700 sebulan bagi seorang dewasa yang tinggal di Kuala Lumpur, menurut Laporan Tahunan Bank Negara Malaysia 2017.

Untuk memantapkan inisiatif ini, disyorkan kerajaan memperkenalkan sistem pensijilan untuk memberikan pengiktirafan ke atas latihan yang diterima dan memudahkan penetapan gaji.

Pada masa sama, outcome program latihan ini sudah pasti akan menjana kenaikan produktiviti buruh. Yang demikian, kenaikan gaji yang didorong oleh kenaikan produktiviti buruh sudah tentu tidak merugikan syarikat.

Perlu diakui bahawa tahap purata produktiviti buruh kita, menurut MPC, adalah rendah (AS64,061) jika dibandingkan dengan negara yang berpendapatan tinggi seperti Singapura (AS142,823). Justeru tahap produktiviti buruh kita perlulah dijulang untuk menyokong kenaikan gaji.

DATUK AKBAR ALI ialah Pakar Runding Ekonomi Majlis Perundingan Melayu (MPM).