Meskipun gelaran Yang Berhormat yang disandangnya itu masih kekal sehingga selesai proses rayuan, namun besar kemungkinan Naib Presiden PKR tersebut tidak dapat bertanding pada Pilihan Raya Umum Ke-14 akan datang kerana hilang kela­yakan.

Inilah bahananya mereka yang enggan mematuhi undang-undang negara. Jangan sangka seorang Ahli Parlimen boleh buat sesuka hati, boleh menuduh orang sesuka hati, negara ini di­tadbir menurut Perlembagaan dan lunas undang-undang yang telah ditetapkan.

Justeru, Rafizi seharusnya menjadikan hukuman yang di­terimanya ini satu bentuk muhasabah diri agar beliau lebih berhati-hati pada masa akan datang. Tidak salah untuk berjuang atas platform pembangkang tetapi perlu menjadi wakil rakyat pembangkang yang bijak.

Yakni, pembangkang yang sentiasa memegang konsep check and balance dalam usaha memastikan kerajaan memerintah tidak tergelincir daripada landasan, bukannya membuat tuduhan semberono semata-mata mahu mencetuskan rasa benci rakyat terhadap kerajaan.

Apa pun kita perlu akui itulah jenis rata-rata pemimpin-pe­mimpin pembangkang sekarang terutama yang membentuk Pakatan Harapan. Jelas, mereka tidak mengamalkan politik matang sebaliknya politik kebencian sehingga ke peringkat sanggup menabur fitnah demi meraih soko­ngan rakyat.

Itu satu kisah. Satu kisah yang lain pula ialah konflik dalaman yang berlaku dalam Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) apabila kira-kira 1,000 ahli parti itu bertekad berhimpun di hadapan ibu pejabat Jabatan Pendaftaran Pertubuhan (ROS) sebagai tanda protes sekiranya jabatan itu tidak mengambil tindakan terhadap PPBM yang didakwa melanggar Perlembagaannya sendiri.

Antaranya, isu mesyuarat agung tahunan (AGM) yang didakwa tidak mengikut Perlembagaan parti selain isu pemecatan beberapa pemimpin parti berkenaan selepas mereka mempersoalkan kekayaan anak-anak Pengerusinya, Tun Dr. Mahathir Mohamad.

Tidak terkecuali beberapa isu dalaman lain.

Malah bukti-bukti perlanggaran Perlembagaan parti itu telah pun diserahkan kepada jabatan itu sejak Oktober 2017 namun sehingga kini PPBM masih belum dikenakan sebarang tindakan. Itu yang menyebabkan pihak yang teraniaya dalam PPBM bangkit dan mendesak ROS segera mengambil tindakan.

Alangkah baiknya jika ROS membuat satu kenyataan rasmi berhubung isu yang melanda PPBM ini agar segala persoalan terjawab. Memang kita tidak nafikan kumpulan yang teraniaya dalam parti itu umpama menunggu buah yang tidak gugur.

Berbalik kepada amalan politik kebencian dan fitnah oleh Pakatan Harapan, nampaknya budaya buruk itu kian menjadi-jadi terutama dalam tempoh PRU-14 yang semakin hampir.

Calon Perdana Menteri sementara Pakatan Harapan, Dr. Mahathir sendiri turut mengamalkannya kerana terlalu bencikan Barisan Nasional (BN) dan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak.

Kalau tidak percaya cubalah sesekali kita tonton ceramah Dr. Mahathir di YouTube. Antaranya satu ceramah politik beliau di Jit­ra, Kedah pada 16 Mei tahun lalu. Pelbagai gelaran dan fitnah telah dilemparkan oleh Dr. Mahathir kepada UMNO dan Najib.

Kadang-kadang kita sukar percaya yang menuturkan kata-kata itu adalah seorang yang digelar sebagai negarawan.

Perkataan ‘pencuri’ dan ‘pe­nyangak’ menjadi mainan mulut Dr. Mahathir. Apa yang boleh penulis simpulkan serangan Dr. Mahathir ini lebih bersifat peribadi, seolah-olah terdapat dendam kesumat yang masih terbuku dalam hatinya.

Yang peliknya, di saat-saat Dr. Mahathir sibuk melemparkan kata-kata kesat kepada UMNO dan Najib, PPBM pula terus di­selubungi pelbagai kontroversi.

Selain mendapat tekanan daripada ahli-ahli berhubung isu parti tidak mengikut Perlembagaan, PPBM pun turut kehilangan seorang demi seorang pemimpin parti dalam semua sayap apabila mereka mengambil keputusan meninggalkan parti.

Jika PPBM menepati perjua­ngan rakyat dan bukannya parti yang dikatakan milik peribadi, mustahil perkara seperti ini boleh berlaku. Mustahil pemimpin-pemimpin PPBM yang selama ini amat mengagumi Dr. Mahathir bertindak keluar parti.

Penulis yakin penolakan mereka terhadap PPBM tiada kaitan dengan pemberian rasuah seperti dakwaan sesetengah pihak sebaliknya lebih kepada kepincangan yang berlaku dalam parti ber­kenaan.

Secara jujurnya penulis sebenarnya amat menghormati Dr. Mahathir. Penulis membesar di bawah era pemerintahannya. Namun keghairahannya untuk menjatuhkan UMNO dan Najib dengan cara maki-hamun dan sumpah seranah adalah sesuatu perkara yang sukar diterima.

Bukan sahaja penulis, malah ramai juga sahabat yang berkongsi perasaan yang sama. Sungguh kita tidak sangka Dr. Mahathir boleh bertindak sejauh ini.

Apatah lagi dengan kedudukannya sebagai bekas Perdana Menteri dan seorang yang telah cukup berusia.

Sewajarnya beliau menunjukkan akhlak yang mulia kepada generasi muda.

Islam tidak pernah mengajar umatnya bertindak sedemikian lebih-lebih lagi kepada saudara seagama.

Jangan nanti hormat rakyat terhadap Dr. Mahathir hilang seratus peratus.

Percayalah, amalan politik fitnah dan kebencian ini tidak akan ke mana bahkan akan berkubur pada satu hari nanti.

Sesungguhnya matlamat tidak boleh menghalalkan cara. Kepada pucuk pimpinan negara, teruskan usaha membela rakyat walaupun dituduh dan dikecam dengan pelbagai gelaran.

Tunaikanlah amanah dengan sebaik-baiknya.

Usah dihiraukan mereka kerana akhirnya Allah SWT yang akan menentukan segala-galanya. Ingat, Allah adalah sebaik-baik perancang. Wallahuallam.