Ikuti temuramah penganalisis politik, JAILANI HARUN dengan calon Barisan Nasional (BN) Pilihan Raya Kecil (PRK) Cameron Highlands ini yang datangnya dari suku Semai.

Tahniah di atas pencalonan. Apakah saudara sudah menduga akan terpilih bertanding di Cameron Highlands?

RAMLI:
Saya sebenarnya tidak langsung terfikir mengenainya walaupun rapat dengan pucuk kepimpinan negeri dan Pusat. Saya anggap ini sebagai satu kepercayaan terutamanya kepada penduduk Orang Asli di sini. Inilah kali pertama orang dari suku Semai dicalonkan.

Tentunya saudara berdepan saingan sengit calon-calon lain. Bagaimana peluang untuk memenangi PRK ini?

Saya menghormati mereka semua. Mereka ada pendekatan tersendiri. Ini adalah pertandingan. Semuanya ada peluang untuk menang tetapi saya perlu optimis dengan peluang saya juga dan segala kekuatan kempen akan digunakan.


Adakah kelebihan pengalaman dalam perkhidmatan polis akan jadi kayu pengukur keupayaan saudara?

Setiap orang ada pengalaman dan rekod pencapaian masing-masing. Ia hanya satu testimoni. Bagi saya ia lebih mencerminkan kebolehan kita menangani sesuatu keadaan. Dalam konteks ini, saya sudah diajar mencari penyelesaian terhadap apa jua masalah serta krisis. Ini banyak membantu.

Bagaimana hubungan saudara dengan penduduk Orang Asli di sini selain sambutan mereka terhadap pencalonan saudara?

Seperti saya sebutkan tadi, inilah kali pertama wakil Orang Asli dicalonkan. Ini satu penghormatan. Mereka amat menghargainya. Ini terbukti daripada kepuasan dan keriangan yang terpancar dari wajah mereka yang ditemui.

Saya juga bukan orang asing di sini. Kami saling mengenali. Malahan ketika masih berkhidmat dengan Polis Diraja Malaysia pun, saya akan balik ke sini menjenguk mereka. Jadi, hubungan kami dah macam satu keluarga.

Apa agaknya harapan mereka kepada pencalonan saudara?

Mereka adalah rakyat Malaysia, semuanya ada hak dengan orang lain. Mereka cuma mahu keluhan dan suara mereka didengari dan mahukan wakil di Parlimen dalam kalangan orang mereka sendiri. Kerana itulah mereka menaruh harapan kepada saya untuk menang. Saya memang rasa teruja untuk memenuhi hasrat ini.

Ada pihak mendakwa BN sebagai pembangkang menghadapi kesukaran untuk menang. Ini berdasar kemampuan kewangan dikuasai Pakatan Harapan (PH)?

Tanggapan ini amat konservatif. Kita tidak perlu jadi kerajaan jika ingin berkhidmat. Malah pada semua PRU sebelum ini pun, parti bukan kerajaan pun mengaut banyak kerusi DUN dan Parlimen. Ada ketikanya lebih baik jadi pembangkang kerana kita tidak terbabit dengan soal pentadbiran yang memerlukan komitmen tinggi seperti dilaksanakan BN dahulu dan memerlukan pengorbanan masa.

Sebagai ahli pembangkang, kita ada banyak masa untuk bersama pengundi. Inilah suatu keistimewaan yang perlu digunakan sepenuhnya.

Oleh itu apa yang dapat ditawarkan kepada pengundi. Bagaimana caranya?

Khidmat suara dan kebenaran. Ini yang lebih diperlukan rakyat pada zaman kemajuan sekarang. Di mana-mana pun di dunia, suara rakyat adalah kuasa sebenar. Wang ringgit soal kedua. Jika suara mereka sampai ke atas, akan turunlah peruntukan dan bantuan bagi menghenti desakan berpanjangan yang boleh memburukkan imej Kerajaan Pusat.

Begitu juga Orang Asli di sini. Mereka mahukan penarafan yang baik dan pengiktirafan yang sama dengan orang lain. Tidak semestinya wang menjadi penentu. Yang penting ialah kebersamaan kita dengan mereka. Kita mahu kerajaan sekarang meneruskan apa yang diberikan Kerajaan BN sebelum ini. Jangan aniaya Orang Asli dengan pelbagai alasan.


Jadi, saudara menganggap politik wang patut dihapuskan?

Ya. Lambat laun rakyat akan terbiasa dengan cara ini. Syor sesetengah pihak agar ‘duit minyak’ diagihkan kepada pengundi tidak masuk akal langsung. Mereka yang datang ke sini adalah pekerja parti yang sah dan menerima gaji bulanan. Adalah menjadi tugas mereka berkhidmat di mana-mana PRK dalam apa keadaan sekalipun.

Formaliti elaun lebih masa, elaun kerja luar, duit elaun makanan dan penginapan sudah diambil kira pemerintah atau pembangkang. Jadi, kenapa perlu merasuah pengundi dengan wang ringgit dan janji projek?


Beberapa hari lepas Putrajaya menyaman kerajaan Kelantan berkenaan isu Orang Asli, apa komen saudara?

Saya anggap ia satu taktik PH untuk menarik sokongan Orang Asli. Ia tidak sepatutnya dibuat ketika kempen PRK Cameron Highlands sedang berlangsung. Nampak sangat Pakatan terdesak untuk menggunakan taktik ini.

Saya enggan mengulas lanjut mengenai hal ini tetapi taktik kotor ini boleh memburukkan keadaan. Ia sepatutnya dirunding, bukan dibuli seperti ini.


Apa janji saudara kepada pengundi Cameron Highlands?

Saya tidak menawarkan apa-apa projek seperti yang dibuat oleh PH. Namun begitu, saya menjanjikan mereka platform terbaik untuk mengetengahkan suara mereka ke peringkat paling atas. Politik kotor dan politik ugutan bukan jalan mulia mengaut sokongan. Integriti ialah pendekatan terbaik dalam jalinan politik.


Cameron Highlands adalah sebuah pusat pelancongan tetapi banyak isu dibangkitkan oleh Pakatan. Apa jawapan saudara?

Masalah ada di mana-mana, bukan di Cameron saja. Kit Siang adalah salah apabila menuduh Kerajaan BN langsung tidak membantu rakyat di sini, terutamanya Orang Asli. Kita lihat segala-galanya sudah ada. Sekolah, klinik dan sebagainya siapa yang bina?

Kemudahan hotel dan chalet untuk merancakkan pembangunan dibina pada zaman BN. Asas kemajuan sudah diwujudkan oleh BN dan PH hanya perlu ‘sapu punggung’ untuk ke sini. Apa sebenarnya yang mereka mahu? Penduduk Cameron rasanya sudah tahu akan niat mereka dan saya yakin mereka tetap bersama BN.


Akhir sekali, apa pula hasrat saudara jika terpilih menjadi Ahli Parlimen?

Saya mahu wakil rakyat menjadi tempat mengadu, for them to seek solace. Sebab itu perlunya wakil rakyat dipilih dalam kalangan penduduk setempat. Menjadi pembangkang bukannya menutup peluang untuk maju malah meletakkan mereka di satu platform yang wajib diberi perhatian semua pihak. Cameron tanpa prejudis!