Ini selari dengan kadar penembusan internet sebanyak 85.7 peratus atau 24.5 juta orang berbanding hanya 2.6 juta pada 2006. Peningkatan yang sangat ketara ini menunjukkan prasarana teknologi komunikasi kita sudah bertaraf dunia.

Dengan kadar penembusan internet yang begitu tinggi, kita terbuka pula pada ledakan media sosial yang menjadi jaringan maya sangat popular lagi berpengaruh.

Statistik menunjukkan pada 2016, kita mencatatkan sebanyak 11.04 juta pemilik akaun Facebook. Dijangka pada akhir tahun ini jumlah pemilik akaun Facebook bertambah menjadi 13.57 juta.

Tetapi sejauh manakah kita memanfaatkan teknologi ini untuk membina jati diri, mengutarakan pemikiran, memperkukuhkan nilai-nilai yang selama ini dipertahankan dan mengelak daripada terjerumus dalam penjajahan pemikiran dalam bentuk baharu?

Semua statistik di atas bukanlah tanda aras menunjukkan bahawa kita telah berubah menjadi masyarakat yang bermaklumat. Perkara itu tidak berlaku kecuali digerakkan oleh masyarakat yang juga berpemikiran bertaraf dunia. Prasarana teknologi komunikasi bertaraf dunia tidak dapat dimanfaatkan kalau pemikiran hanya kelas tiga.

Akhirnya kita hanya menjadi pengguna teknologi yang pasif dan lalai hingga memusnahkan pekerti yang sebelum ini terbendung dan terpelihara dari pencerobohan. Semua ini berlaku kerana ketidakseimbangan antara prasarana teknologi kelas dunia dengan pemikiran pengguna kelas tiga.

Di laman-laman sosial terutama Facebook atau Instagram, yang terserlah adalah kemunduran berfikir dalam kalangan penggunanya. Malah telah menjadi semakin biadab menyuarakan pandangan terhadap sesuatu perkara. Ini secara tanpa sedar menyuburkan budaya fikir yang meruntuhkan akal budi bangsa.

Menggunakan kecanggihan tanpa tertib dan pemikiran yang tinggi boleh menjerumuskan kita dalam penjajahan baharu. Prasarana yang hebat sewajarnya dimanfaatkan untuk membina pemikiran dari kelas tiga kepada kelas dunia. Teknologi adalah perkakas atau alat yang menuntut pengguna yang bijak untuk memanfaatkannya.

Penembusan internet hingga ke kampung-kampung di pedalaman memberi peluang untuk kita membuka jendela kepada dunia. Dari telapak tangan sahaja kita sudah boleh menjelajah seluruh dunia. Malah teknologi membuatkan dunia semakin kecil, tebaran maklumat berlaku dengan pantas sekali.

Tetapi untuk berbuat demikian kenalah mempunyai pemikiran. Untuk menukar media sosial daripada membuang masa kepada memanfaatkan masa tidak berlaku kalau masih terperosok dengan pemikiran kelas tiga. Kalau tidak, bersedialah untuk terus menerus menjadi hamba teknologi.

Oleh yang demikian, untuk mengenal pekerti dan akal budi seseorang, lihatlah media sosial yang dimilikinya. Di situ kita dengan mudah boleh menilai tahap pemikiran, pekerti dan kecenderungan berfikir. Sebahagian besar isi kandungan media sosial di negara ini menunjukkan tahap berfikir yang sangat rendah.

Memang benar, di media sosial seperti Facebook atau Instagram bukanlah tempat berwacana isu-isu yang besar. Tetapi sebagai media yang menyebar luas pemikiran kita, tentulah wajar dielakkan daripada menonjolkan kebodohan sekalipun media sosial itu satu daripada pendemokrasian maklumat.

Nampaknya pesan orang tua-tua, jangan bagi bunga kepada kera kerana kera tidak tahu menghargai bunga sangat tepat. Ini boleh dibaca dalam konteks teknologi yang canggih jatuh ke tangan yang tidak tahu memanfaatkannya.

Ini menunjukkan sebahagian dalam kalangan kita macam kera dapat bunga, belum bersedia berdepan dengan kecanggihan teknologi komunikasi. Kepada yang terasa, bersediakah untuk berubah.