Cetusan ilham mengadakan program ini bermula dengan mendoakan keselamatan sebaik berlaku tragedi kehilangan pesawat MH370 pada Mac, 2014. Seluruh rakyat Malaysia menzahirkan simpati sambil sama-sama menunaikan solat hajat serta mendoakan agar 12 krew dan 227 penumpang pesawat berkenaan ditemui dengan selamat.

Berikutnya, di setiap pertengahan Ogos saban tahun terus digemakan dengan program ini. Tiga tahun diadakan di Dataran Merdeka, sementara pada 2017 diadakan di Dataran Putra, Presint 1, Putrajaya. Program yang diadakan tahun lalu itu dianggap paling meriah, dengan kehadiran lebih 50,000 peserta dan pengunjung.

Sementara itu, bagi penganut-penganut agama selain Islam turut mengadakan program seumpama­nya, mengikut cara dan adat ma­sing-masing di rumah-rumah ibadat mereka.

Pihak penganjur, Jabatan Hal Eh­wal Khas (Jasa), yang ­me­laksanakan program ini di ba­wah mandat Kementerian Komunikasi dan Multimedia (KKMM) melaporkan, sambutan bagi program 2017 yang melibatkan penganut bukan Islam, juga telah mendapat sambutan menggalakkan di seluruh negara.

Tidak tahu pula kenapa program ini khabarnya tidak lagi termasuk dalam jadual sambutan Hari Kebangsaan pada tahun ini. Tegas­nya, tiada lagi program khusus ‘Doa Untuk Malaysia’ dia­dakan sempena bulan mengingati kemerdekaan negara tahun ini, tidak sebagaimana pernah diadakan sebelum ini. Mungkin ada pihak merasakan program seperti ini tidak penting atau kurang bermanfaat.

Masing-masing mempunyai su­dut penilaian dan pandangan ter­sendiri. Apa pun, secara mudah­nya, program Doa Untuk Malaysia boleh dilihat sebagai suatu mani­festasi keseragaman cita dan impian seluruh rakyat Malaysia, meliputi pelbagai kaum dan anutan agama menterjemahkan rasa syukur dengan kemakmuran yang dinikmati, di samping mendoakan agar tersisih daripada sebarang bahaya atau kekacauan.

Malaysia yang selama ini stabil makmur bukan mustahil menjadi ‘intaian’ pihak-pihak luar bagi menggugat kedamaian yang dinikmati oleh rakyat negara ini. Misalnya, ada pihak asing telah cuba menceroboh di sekitar per­airan Timur Sabah. Pun, turut dikesan terdapat percubaan pihak media asing mengganggu suasana aman di negara ini.

Sementara itu, bukan sedikit juga cabaran yang dihadapi negara yang jika tidak dibendung de­ngan berkesan oleh pihak-pihak ber­kenaan serta tidak mendapat perlindungan Allah SWT, boleh menggugat perpaduan dan mengancam keselamatan negara. Antaranya termasuk gejala-gejala dadah, gerakan ekstremisme, gangterisme serta unsur-unsur sensitiviti perkauman.

Syukurnya, Malaysia tidak dilanda mala petaka besar seperti gempa bumi, ribut taufan atau ancaman keganasan.

Mungkin berkat doa rak­yatnya. Umat Islam tetap yakin, bahawa melalui doa atau bermunajat kepada Allah Yang Maha Agung lagi Berkuasa merupakan sebahagan da­ripada senjata berkesan bagi umat manusia mendapat rahmat dan keberkatan, selain tersisih dari sebarang bencana.

Dalam hubungan ini, jangan ada mana-mana pihak cuba mempersenda konsep doa yang menjadi sebahagian dalam jadual kehidupan umat Islam. Mereka yang jahil dan ‘asing’ dengan unsur pengabdian diri terhadap Maha Pencipta ini tidak perlu mengeluarkan kata-kata sinis terhadapnya.

Benar, di mana-mana pun boleh dipanjatkan doa kepada Ilahi. Te­tapi, tidakkah wajar umat Islam menghimpunkan ukhwah dan solidariti sesama seagama dan sebangsa demi mencari restu untuk kepentingan dan kebaikan bersama?

Masih ada lagikah segmen ‘berpolitiking’ atas hal-hal membina ke­kuatan ummah dan mendau­latkan kedudukan agama, bangsa dan tanah air? Tidak mampukah sekali sekala ramai-ramai keluar dari kepompong atau ikatan politik kepartian masing-masing berkumpul dan mengamin doa atas nama Islam, Melayu dan negara Malaysia?

Sebenarnya banyak lagi elemen kehidupan yang perlu didoakan bersama. Termasuk bagi mengelakkan agama dan bangsa diceroboh dan diperlekeh oleh mana-mana pihak. Dan agar syiar Islam terus berkembang di bumi Malaysia ini tanpa gangguan atau ancaman oleh sesiapa. Ini sejajar dengan ketetapan pada perkara 3 dalam Perlembagaan Persekutuan.

Pun, mengharapkan semoga Allah sentiasa memelihara ke­teguhan ciri-ciri yang menjadi tunjang perpaduan rakyat. Agar bahasa Malaysia dihormati, sementara kedaulatan Raja-raja Melayu tidak dipermainkan.

Juga, tidak kurang mustahak­nya untuk mendoakan agar ke­dudukan ekonomi negara sentiasa stabil dan berkembang maju. Dan semoga, Allah sentiasa memberi hidayah bagi kalangan pemimpin dalam melaksanakan urus-tadbir negara dengan berkesan serta menepati aspirasi rakyat seluruhnya. Amin!

DATUK SAYUTI MUKHTAR ialah penganalisis sosiopolitik tanah air.