Ini juga antara beberapa saranan yang dibangkitkan dalam retreat atau pemukiman parti itu di Janda Baik, Pahang minggu lalu seperti UMNO Sabah diberi status autonomi untuk bergerak tanpa kongkongan UMNO Pusat. Pada masa sama, Blue Print UMNO 2030 turut dirancang.

Cuma apabila bercakap pasal janji 100 hari Pakatan Harapan (PH) kepada wartawan Utusan Malaysia, ZULKIFLI JALIL semalam, Mohamad hanya 
acuh tak acuh untuk mengulasnya. Mengapa?


UTUSAN: Hari ini 17 Ogos genap 100 hari kerajaan PH memerintah. Banyak pihak menuntut janji-janji besar mereka yang kelihatannya tidak kesampaian. Apa puncanya?

MOHAMAD: Saya tidak tengok pada janji-janji mereka. Berjanji itu biasalah, nak ambil hati orang kenalah berjanji dan mereka pun tidak menjangka boleh bentuk kerajaan. Janji-janji PH itu (se­perti mansuhkan tol, turun harga minyak RM1.50 seliter dan mansuhkan bayaran balik pinjaman Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional) jika dilaksanakan akan memudaratkan negara.

Apa yang dilihat Datuk Seri dalam tempoh 100 hari ini?

Saya lihat betapa dalam 100 hari ini fabrik masyarakat berbilang kaum yang hidup aman damai selama enam dekad ini sudah berubah. Ada pihak sudah berani bercakap isu-isu sensitif pasal Perlembagaan Persekutuan, Raja-raja dan status orang Melayu sebagai pendatang serta mempersoalkan kesucian Islam. Pemikiran baharu dan liberalisme agama bercambah dalam 100 hari ini. Apa yang merisaukan saya adalah perubahan drastik dalam fabrik masyarakat kita yang kompleks ini. Kalau tidak ditangani dengan teliti, ia akan memudaratkan masyarakat berbilang kaum.

Jadi, mengapa UMNO terutama sayap-sayapnya kelihatannya tidak nampak ke depan membangkitkan dalam 100 hari kebimbangan Datuk Seri ini?

Kita dalam proses mereformasi dan meregimentasikan parti. Kita akui dalam tempoh tiga bulan PH memerintah jika kita bangkitkan secara agresif kebimbangan ini, mereka (PH) akan mendakwa kita enggan terima hakikat. Tambah lagi, PH masih dalam ‘berbulan madu’. Apa yang dicakap mereka ‘semua betul’. Tak guna kita berdebat isu tertentu yang orang tak percaya kerana PH sudah berjaya membina persepsi buruk terhadap Barisan Nasional (BN). Cuma yang harus rakyat lihat sekarang bila PH akan dapat penuhi janji-janji yang mereka canangkan dalam manifesto me­reka itu?

Sebagai orang yang agak tahu pasal bab ekonomi ini, apa pengamatan Datuk Seri terhadap ekonomi negara hari ini?

Kalau tak diuruskan dengan baik, kita akan hadapi masalah. Ini ekonomi terbuka. Kita berdagang dengan orang luar. Kita tak mampu mengecilkan hati sesiapa terutama dengan kuasa-kuasa besar. Ini bukan bermakna kita nak jual maruah kepada mereka tetapi dengan kita naikkan ‘hand brake’ , ia boleh mendatangkan masalah besar.

Kalau diamati dengan teliti, pencapaian BN dalam pemba­ngunan negara tidak boleh di­nafikan hebatnya?

BN telah menguruskan kerja dengan baik. Janganlah lagi wujud blame game yang mereka (PH) tidak dapat tunaikan janji, tuduh pula ekonomi negara dalam keadaan yang teruk. Kalau ekonomi Malaysia teruk, takkanlah Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) kita dalam enam peratus manakala rizab negara melebihi RM400 bi­lion. Takkanlah negara ini dika­tegorikan oleh agensi penarafan dunia mendapat A-table. Pertumbuhan ekonomi kita sebelum Pilihan Raya Umum Ke-14 lalu diiktiraf Bank Dunia, Dana Kewangan Antarabangsa dan Pertubuhan Perdagangan Sedunia (WTO).

Setiap tahun negara ini dianalisis oleh Bank Dunia dengan keluarkan penyata kewangan setiap tahun juga. Mereka amat puas hati dengan sistem fiskal dan kewangan negara. Tetapi dengan menafikan ini semua sebagai alasan tidak mampu tunaikan janji serta berselindung di sebalik penafian ekonomi kononnya hutang negara terlampau banyak, saya khuatir ini akan memberi isyarat yang tidak baik kepada pelabur luar yang sedia ada di negara ini.

Kalau tidak dapat tunaikan janji, apa yang sepatutnya PH buat?

Anda sudah dapat kerajaan, buatlah kerja. Kalau tidak boleh tunaikan janji-janji yang hampir 70 peratus ini, jalankanlah tugas sebagai kerajaan yang berwibawa. Kerana inilah yang dihasratkan rakyat, waima oleh BN pun. Ja­nganlah lagi berselindung mengatakan kita tak dapat mengotakan janji kerana menanggung hutang yang banyak, maka buang pekerja, tidak dapat bayar gaji, terpaksa batal bantuan bulanan kepada penerima bantuan Jabatan Kebajikan Masyarakat, tidak mampu beri sara hidup kepada nelayan dan macam-macam lagi.

Datuk Seri yakin UMNO akan cepat dibangunkan semula?

Satu sahaja syaratnya, nampakkan sikap dan sifat kita yang jujur dan UMNO tidak harus ‘tersangkut kaki’ dengan pemimpin-pemimpin yang ada isu kerana rakyat amat peka dan kini subscribe pada soal-soal good governance, integriti dan ketelusan. Ini yang akan menarik minat orang muda.