Tetapi mendengar panggilan bossku, langkah kami berhenti serentak. Hah? Biar betul apa yang saya dengar ni? Bossku? Saya bersama rakan saya itu ketawa. Ketawa bukan pasal panggilan bossku itu sangat sebenarnya. Ketawa kerana peniaga-peniaga tetap mengenali kami orang Malaysia walaupun memakai jubah hitam dan berniqab.

Kami sebenarnya, pada hari itu sengaja mahu mengelirukan peniaga. Sehari dua lalu di situ mereka mesra menyapa kami dengan panggilan Malaysia! Malaysia Boleh! Siti Nurhaliza dan Neelofa (bukan nak perasan, tetapi nama itulah yang mereka panggil kami). Pengaruh Siti Nurhaliza dan Neelofa pun bukan main lagi di sini.

Dan selalunya, bertelekung putih dan berjubah putih dikaitkan dengan wanita Malaysia atau Indonesia. Rupanya, jangkaan kami meleset. Tukar warna apa pun dan menutup muka kecuali mata, mereka tetap tahu, kami rakyat Malaysia!

”Aku rasa, gaya jalan kau tulah, macam orang Malaysia,’’ kata kawan saya tergelak.

“Apa kena mengena dengan gaya jalan. Cuba kau tunjuk aku, gaya jalan orang Arab macam mana pula. Aku nak tahu sangat ni,’’ kata saya.

Dan bertelekung hitam ada kelebihan juga di Masjid Nabawi. Disangka orang Arab. Menyenangkan kami untuk menyusup masuk ke Raudhah. Petugas di masjid itu mudah saja mengenali jemaah Malaysia dengan telekung putih. Memasuki Raudhah ada jadualnya kena sabar menunggu, diatur juga mengikut zon negara tertentu.

Tetapi apa pun, hakikatnya jemaah Malaysia memang cukup dikenali di Madinah dan Mekah. Bukan saja kerana paras rupa, penampilan tetapi adab yang sangat baik, sabar, tidak bertolak-tolak dan mendengar kata. Bangga tahu, bila jemaah Malaysia berada di Madinah atau Mekah. Kita dihormati di sana kerana adab dan disiplin sebegitu.

Berbalik pada panggilan bossku, bukan main cepat ia sudah sampai ke Madinah. Rasanya baru beberapa bulan saja tagline Malu apa bossku, heboh diperkatakan di Malaysia. Sudah merebak ke sini pula. Mengikuti perkembangan semasa betul, peniaga-peniaga di Madinah ini.

Semasa memasuki pusat beli-belah di Madinah pula, penjual-penjual di situ juga berteriakkan bossku, bossku apabila nampak jemaah dari Malaysia. Dan yang kelakarnya, bila mutawwif kami berkata jangan beli di sini, sini tempat `potong kepala’ (harga mahal), seorang peniaga yang terdengar kata-kata itu, terus mengajuk cakap itu katanya - “Ya, betul. Jangan beli di sini. Di sini potong kepala. Potong kepala.” Dan bila kali kami lalu di situ semula, peniaga itu akan bercakap perkara yang sama lagi. Nampak tak macam mana mereka boleh menguasai bahasa Melayu dengan cepat!

Apabila saya bertanyakan kepada seorang penjual kurma di situ, macam mana tahu pasal slogan bossku. Katanya bersahaja - “Boleh google la bossku, tengok internetlah bossku.”

Saya ok saja. Apa ada hal, orang panggil saya bossku. Tetapi tidak kepada seorang lelaki Malaysia yang masuk dalam kedai itu. Bila dia disapa bossku, terus dia memberi amaran - Jangan panggil saya bossku. Kalau panggil bossku, saya tak nak beli. Bossku bukannya baik. Jangan cakap bossku lagi, nanti orang Malaysia tak nak beli. Terkebil-kebil peniaga itu. Dan selepas lelaki Malaysia itu beredar, peniaga itu mengeleng-gelengkan kepalanya.

Saya hanya diam saja. Di bumi terletaknya makam junjungan besar kita, Nabi Muhammad SAW ini dan rasa terlalu dekatnya dengan Rasullulah, saya mahu sentiasa berfikir, bercakap dan mendoakan yang baik-baik saja. Tolak semua hal politik, kerja atau masalah-masalah lain. Panggilan sebagai tetamu Allah di bumi Haramain tidak sepatutnya disia-siakan dengan sedetik pun rasa benci terhadap sesuatu atau seseorang.

Selepas ke Madinah, saya ke Mekah. Di situ juga saya disapa oleh seorang peniaga ketika sedang mencari kedai dobi di sebuah pusat beli-belah berhampiran hotel penginapan saya sepanjang melakukan umrah dengan menggunakan khidmat Kiswah Annur Travel & Tours Sdn. Bhd. itu. “Cari apa bossku? Tanya lelaki itu.

“Kedai dobi,” jawab saya.

“Tingkat dua, bossku,” jawabnya ingin membantu.

“Saya, bukan boss, kuli saja,” kata saya berlalu pergi.

“Kuli pun boleh jadi boss juga bossku, jawabnya dari jauh.

Dalam hati saya, eh, Pak Arab ini, faham pula dia makna kuli. Bagus betul mereka mahir berbahasa Melayu. Tak perlu pening-pening kepala hendak berkomunikasi macam ayam dengan itik. Terasa macam berada di negara sendiri bila membeli-belah di sini. Petugas-petugas di masjid Nabawi dan Masjidilharam pun, ramai yang boleh berbahasa Melayu.

Kesungguhan mereka mempelajari bahasa Melayu kerana berhadapan dengan pengunjung-pengunjung dari Malaysia dan Indonesia menunjukkan bahasa ini boleh dikuasai mereka dengan mudah. Sedangkan di negara kita, rakyat Malaysia sendiri ada yang tak reti berbahasa Melayu. Malah ada yang malu berbahasa Melayu, kononnya tidak ada standard. Mengada-ngada sungguhlah.

Bahasa Melayu boleh menjadi bahasa antarabangsa. Siapa kata tak boleh? Bila peniaga-peniaga di Mekah dan Madinah dengan selamba sahaja berbahasa Melayu, dan ada beberapa maklumat seperti jadual masuk ke Raudhah ditulis dalam bahasa Melayu, kenapa ada yang masih melihat bahasa Melayu sebagai bahasa kampung!

Bahasa Melayu boleh menjadi bahasa antarabangsa. Siapa kata tak boleh? Bila peniaga-peniaga di Mekah dan Madinah dengan selamba sahaja berbahasa Melayu, dan ada beberapa maklumat seperti jadual masuk ke Raudhah ditulis dalam bahasa Melayu, kenapa ada yang masih melihat bahasa Melayu sebagai bahasa kampung!