Dalam gambar (kiri), Ustaz Subri Md. Arshad dari Pas yang bukan calang-calang orang. Pernah mencabar Perdana Menteri kelima, Tun Abdullah Ahmad Badawi (Pak Lah) di Kepala Batas dalam pilihan raya umum 2008 .

Walaupun tewas 11,246 undi di tangan Pak Lah waktu itu, jiwa totok perjuangan Pasnya tidak pernah luntur dan sentiasa ekstrem terhadap UMNO. Suatu ketika pernah mendoakan UMNO hancur.

Tapi baru-baru ini, Subri duduk bersila makan nasi bungkus dengan Ketua UMNO Bahagian Permatang Pauh, Datuk Mohd. Zaidi Mohd. Said.

Seminggu sebelum itu, khutbah disampaikan Subri sebelum gerhana bulan menjelang solat Isyak di Masjid Seberang Jaya, menjadi tular di laman sosial. Ini susulan seruannya kepada orang Melayu di Permatang Pauh agar memberi sokongan kepada Mohd. Zaidi yang digelarnya aktivis masyarakat gaya non-partisan - andai dicalonkan oleh Barisan Nasional - dalam pilihan raya umum nanti.

Tumpang lalu difahamkan, seruan Subri yang tular hinggap ke telinga exco hal ehwal agama kerajaan negeri Pulau Pinang sehingga dikatakan mahu bertindak tegas terhadap khatib yang ‘me­nyalahgunakan’ mimbar masjid untuk tujuan politik.

Apa yang Tumpang lalu tertarik untuk paparkan kisah Subri dalam ruangan ini adalah keluhuran hatinya yang mengajak orang Melayu kembali bersatu untuk menggarap kekuatan bangsa dan agama dari ancaman musuh-musuh dalam dan luar negara.

Mirip pendirian sama dengan Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang, Subri antara contoh pemimpin Melayu yang tidak putus asa mencari titik persamaan dengan parti yang memperjuangkan Islam seperti UMNO. Dan bukannya seperti PKR, PAN dan parti Bunga yang gemar menuduh dan melempar fitnah sesama Islam.

Sebab itu kenapa ada kempen undi rosak? Itu tandanya rakyat meluat tengok pemimpin dan parti-parti politik sebegini yang gemar mengadu domba dan membuat onar.

Subri pastinya tidak akan menyokong UMNO dalam pilihan raya nanti. Namun kematangannya yang mengakui keupayaan seseorang - sekalipun musuh politik partinya - yang difikirkannya boleh membawa suara orang Melayu dan Islam ke Parlimen dan kepemimpinan atasan, amat dihormati.