Antara kes terbaharu yang dilaporkan melibatkan seorang graduan wanita berbangsa Me­layu di Bachok, Kelantan, seorang lelaki Cina di Johor Bahru dan seorang pelajar perempuan keturunan India di salah sebuah sekolah di Pulau Pinang.

Jelas sekali gejala yang berlaku tanpa mengira bangsa ini tidak lagi boleh dipandang remeh. Sesuatu perlu dilakukan segera bagi membendungnya daripada terus berleluasa.

Umumnya, bunuh diri juga prevalen di seluruh dunia.

Laporan terbaharu Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) menunjukkan hampir 800,000 individu kehilangan nyawa akibat bunuh diri setiap tahun di seluruh dunia (satu nyawa bagi setiap 40 saat; kadar bunuh diri global - 11 orang bagi setiap 100,000 penduduk).

Ini boleh berlaku pada bila-bila masa dan adalah punca kematian kedua tertinggi bagi mereka berusia antara 15 hingga 29 tahun. Lebih menakutkan ialah anggaran bahawa bagi setiap seorang individu yang mati akibat bunuh diri, terdapat 20 orang lagi yang telah cuba untuk membunuh diri.

Di Malaysia, kajian oleh Pusat Daftar Bunuh Diri Kebangsaan 2009 menunjukkan kadar bunuh diri masih lagi rendah (1.18 bagi setiap 100,000 penduduk). Kaum India mempunyai kadar yang tertinggi (3.67: 100,000), diikuti Cina (2.44: 100,000) dan Melayu (0.32: 100,000). Namun begitu, ramai pakar berpendapat jumlah sebenar adalah jauh lebih tinggi.

Anggarannya hampir 2,500 kes bunuh diri setiap tahun atau secara puratanya tujuh kes setiap hari. Kajian sama turut merekodkan bahawa menggantung diri adalah cara paling popular untuk membunuh diri, diikuti pengambilan racun serangga dan terjun dari tempat tinggi.

Jika dilihat secara global, hampir 90 peratus individu yang membunuh diri mempunyai masalah mental di saat sebelum kematian dan 60 peratus daripada mereka mengalami kemurungan. Walaupun bukan setiap pesakit yang mengalami kemurungan berniat untuk membunuh diri, namun ramai dalam kalangan mereka didapati telah lama bergelut dengan masalah tersebut.

Kaum wanita amnya lebih kerap dilanda kemurungan berbanding lelaki tetapi malangnya lelaki mempunyai empat kali ganda lebih tinggi kebarangkalian untuk mengambil nyawa mereka sendiri apabila mengalami kecelaruan yang sama.

Pada masa ini, apa yang lebih membimbangkan adalah kecenderungan individu untuk membunuh diri secara impusif terutama ketika berdepan dengan sesuatu krisis dalam kehidupan seharian.

Mungkin sudah tiba masanya, kemahiran menguruskan tekanan dan penyelesaian masalah dijadikan komponen penting dalam pendidikan negara. Pengetahuan sedemikian boleh membantu individu untuk menghadapi dugaan dan cabaran mendatang. Bunuh diri tentunya tidak lagi menjadi pilihan jika tekanan mampu diurus dan ditangani dengan berkesan.

Gejala membunuh diri sebenarnya boleh dicegah dan dibanteras. Namun ia memerlukan usaha gigih daripada semua pihak. Antara langkah utama adalah menghapuskan stigma dalam kalangan masyarakat terhadap penyakit mental dan gejala bunuh diri itu sendiri.

Ramai dalam kalangan mereka yang mempunyai masalah jiwa di negara ini enggan mendapatkan rawatan daripada pakar bertauliah. Bomoh dan perubatan tradisional menjadi pilihan utama. Hanya apabila keadaan sudah menjadi tidak terkawal, barulah terkejar-kejar membawa pesakit ke hospital.

Kepentingan menjaga kesihatan mental harus diperkasa. Ramai dalam kalangan kita sanggup menghabiskan ribuan ringgit untuk membeli pelbagai produk kesihatan, serta menjalani bermacam-macam ujian, imbasan dan sebagainya bagi memastikan fizikal kita berada di tahap yang optimum. Namun, hanya sebahagian kecil sanggup berjumpa pakar bertauliah bagi memastikan mental kita juga berada pada tahap sama.

Pakar jiwa di hospital kerajaan sering diperlekeh dan dipersenda. Individu yang ingin berjumpa mereka turut menerima nasib sama, malah kerapkali dilabel sebagai orang gila. Pesakit yang mengambil ubat-ubatan dan ra­watan disisih, dikeji dan dipandang hina.

Bukan sahaja orang awam ­melakukannya, malah kakitangan perubatan sendiri turut berkongsi persepsi sama.

Inilah antara punca kenapa individu yang mempunyai masalah jiwa enggan tampil ke hadapan bagi mendapat rawatan diperlukan.

Fenomena sama berlaku di hospital swasta. Lebih mendukacitakan, hampir semua syarikat insurans perubatan di negara ini tidak mengiktiraf gangguan jiwa sebagai penyakit kritikal yang perlu dirawat dan diubati.

Anda boleh mendapat rawatan dan ujian bernilai ribuan ringgit untuk mengubati penyakit jantung atau gastrik, tetapi sebut sahaja kemungkinan wujudnya gangguan jiwa, secara automatik anda akan digugurkan daripada perlindungan mereka.

Usahkan gangguan jiwa yang lebih serius, rawatan untuk gejala berkaitan tekanan turut menerima nasib sama. Jika anda perlukan rawatan sebegini, bersedialah untuk membayar dengan duit poket sendiri.

Walaupun seluruh dunia mengiktiraf gangguan jiwa atau penyakit mental sebagai penyakit yang perlu diubati, namun di Malaysia, ia masih belum menjadi keutamaan untuk diberi rawatan.

Kita semua berharap tragedi yang berlaku kebelakangan ini tidak dilupakan begitu sahaja. Kesihatan mental perlu diberi perhatian yang lebih serius oleh pihak yang berwajib.

DR. WAN MOHD. RUSHIDI  WAN MAHMUD ialah Pakar Perunding Psikiatri dan Psikologi, Kedah Medical Centre.