Alasan yang dinyatakan ialah prestasi FGV masih lemah untuk mewajarkan ganjaran kewangan sedemikian rupa. Status bantahan terhadap resolusi itu kekal, bermakna tiada pembayaran dikeluarkan.

Yang sah keluar ialah Pengerusi Felda, Tan Sri Megat Zaharuddin Megat Mohd. Nor dengan beritanya terbit pada waktu sama ketika pergolakan korporat FGV. Nampaknya, hal FGV menutup perhatian ramai terhadap Felda sendiri dan dengan pantas juga, kerajaan mengumumkan Tan Sri Mohd. Bakke Salleh sebagai penganti.

Baguslah kerajaan pantas umumkan pengganti kepada institusi yang penting dan sen­sitif ini. Kelajuan itu ternyata amat melegakan berbanding menunggu lantikan terhadap beberapa syarikat milik kera­jaan (GLC) di dalam sektor tele­komunikasi terutamanya, yang melangkaui tempoh 10 bulan!

Bidalan

Perenggan pertama laporan Bernama menggunakan bidalan `bagai sirih pulang ke gagang’ kerana beliau pernah menjadi Pengarah Urusan Kumpulan Felda Holdings Bhd. pada 2009 dan kemudiannya dilantik sebagai Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Felda Global Ventures Holdings Bhd, yang kini dikenali sebagai FGV Holdings Bhd. Lantikan terbaharu ini berkuat kuasa esok untuk tempoh dua tahun.

Umum maklum bila membicarakan hal FGV, ia berkait dengan Felda. Kertas putih yang dikeluarkan di Parlimen pada April lalu, mendedahkan jumlah liabiliti Felda naik dengan ketara sebanyak 1,100 peratus daripada RM1.2 bilion pada 2007 kepada RM14.4 bilion pada 2017 berbanding peningkatan dalam nilai aset hanya pada 107 peratus.

Dapatan audit forensik turut menunjukkan kerugian atau kemerosotan sebanyak RM2.2 bilion untuk lapan urus niaga yang sedang disiasat, menyumbang 50 peratus daripada nilai pelaburan asal. Serentak itu, kerajaan mengumumkan dana penyelamat sebanyak RM6.23 bilion kepada Felda.

Dengan semua di atas, terutama pakej penyelamat serta pasukan pengurusan baharu, pengunduran mendadak Megat Zaharuddin kurang sebulan untuk genap setahun lantikannya tentulah mengundang tanda tanya.

Dalam masa yang singkat peletakan jawatannya disahkan Perdana Menteri, pelbagai nama terpacul dan disebut-sebut bakal pengganti. Selain Mohd. Bakke, nama lain ialah wartawan veteran dan bekas menteri. Kenapa ada dua nama mereka terkait? Mungkin kerana ikatan dengan pucuk pimpinan negara sekarang.

Kritikan

Apa yang jelas, Parti Negara mengkritik keputusan kerajaan melantik Mohd. Bakke, yang disifatkan ‘keputusan songsang’ atau ‘satu langkah ke belakang’ dari sudut membina Malaysia baharu yang telus dan bernafas baharu.

Presiden parti, Ezam Mohd. Nor mengingatkan kerajaan Pakatan Harapan bahawa Mohd. Bakke ialah warisan pentadbiran lalu kerana menduduki banyak jawatan utama yang dilantik langsung oleh Perdana Menteri dan pentadbiran lalu.

“Ia sama sekali tidak mencerminkan kerajaan baharu yang memberi ruang kepada tokoh baharu yang mampu membawa nafas baharu kepada imej pentadbiran.

“Apakah negara ini tidak punya tokoh korporat lain yang benar-benar bersih daripada sebarang kaitan dengan pentadbiran lalu? Kerajaan pembaharuan dan reformasi harus punya keberanian menguji dan memberi ruang kepada tokoh muda yang berkaliber bukan sebaliknya,’’ ujar beliau.

Dalam konteks ini, hujah Ezam terasa bergema di dalam hati. Ya, mengapa orang sama? Mengapa tiada orang muda? Dalam kalangan penyokong PH sendiri pastinya ada yang juga berkaliber?

Ezam juga menyentuh mengenai laporan PAC yang tidak mempamerkan sikap tanggungjawab dan integriti yang utuh dan boleh dibanggakan kerana Mohd. Bakke hanya dilaporkan tidak bersetuju dengan perjalanan 1MDB semasa beliau mengetuainya.

“Sikap integriti yang utuh seharusnya dipamerkan dengan mengambil tindakan lebih bertanggungjawab dan serius seperti mengambil tindakan undang-undang terhadap pimpinan kerajaan pada waktu itu yang lalai demi kepentingan rakyat,’’ kata Ezam.

Apa yang jelas, Mohd. Bakke tahu apa yang bakal dihadapinya di Felda dan kepatuhan kepada saranan yang digariskan di dalam Kertas Putih. Ia akan amat getir, sulit dan perit. Apakah alasan ini mendorong Megat Zaharuddin berundur awal, tiada siapa tahu.

Maka itu, Mohd. Bakke perlu memperjelaskan kepada rakyat dan peneroka Felda tujuh perkara berikut:

1. Siapakah yang mengesyorkan pembelian dua kilang oleokimia di Boston dan Cincinnati di Amerika Syarikat yang mengakibatkan kerugian berjuta ringgit.

2. Siapakah yang mencadangkan pembelian Menara Felda pada harga RM600 juta dari Kumpulan Naza, ketika Felda sudah menyiapkan tender untuk membina bangunan sendiri setinggi 29 tingkat di tanah sendiri di Jalan Gurney.

3. Siapakah yang meluluskan pelaburan ke atas kilang penapisan reap seed di Kanada bernilai RM300 juta, yang akhirnya kini ditutup?

4. Sejauh manakah kesungguhan pasukan pengurusan baharu Felda untuk meneruskan kes pembelian PT Eagle High Plantations?

5. Bagaimanakah Mohd. Bakke menghapuskan imej beliau yang dulunya rapat dengan pentadbiran perdana menteri sebelum ini, termasuk ketika berkhidmat di I&P?

6. Ke manakah hala tuju Felda hendak dibawa, apakah dikendalikan sebagai sebuah entiti perniagaan sepenuhnya seperti GLC lain?

7. Bagaimana pula dengan peranan Felda di dalam sosiopolitik sekian lama, diteruskan atau tidak? Hati-hati buat pilihan, sebab salah jawab nanti PH hilang pula kerusi kawasan Felda yang dimenanginya pada PRU-14.