Namun apabila menonton video rakaman acara Khamis lalu, terasa aneh pula. Nampak seolah-olah ia bukan spontan. Pertamanya, ketika pesawah memberi salam di bawah pentas dan menteri turun menyambutnya.

Pantas dikesan pesawah itu ada mikrofon tanpa wayar dan kedudukan kamera yang tepat. Jika spontan, semua ini tidak akan dapat dirakam sebegitu kemas. Kemudian di atas pentas, ada pula muzik syahdu mengiringi menteri.

Bila diteliti pula kandungan surat, ia bukan sajak atau surat cinta. Ia adalah luahan berani daripada hati seorang pesawah yang tiada menapis perkataan terhadap menteri. Hinggakan seorang rakan berkata, dia sendiri pun akan menangis kalau terima surat sedemikian rupa.

Keesokan harinya di Johor Bahru, Salahuddin mengaku ia adalah gimik tetapi meminta orang ramai menilai iltizam yang dizahirkan beliau iaitu berusaha gigih untuk membela nasib golongan pesawah, petani, nelayan dan sebagainya yang di bawah skop kementeriannya.

Hendak kasihankan Salahuddin, memang kasihan. Ini bukan salah beliau. Ini salah pengarah gimik yang jelas kurang sensitif terhadap keadaan semasa yang menyelubungi kerajaan hari ini iaitu integriti dan kecekapan.

Kepada pakar strategi media kerajaan hari ini, tolong ambil perhatian kepada enam elemen di bawah dalam merangka skrip atau strategi media. Jika perlu masukkan, silalah. Jika perlu elak, janganlah langgar. Ini nasihat Merrepak:

1 Ekonomi

Ada dua tema yang sering dikumandangkan sekarang. Pertama, ekonomi negara teruk kesan daripada salah urus kerajaan BN dahulu, jadi sekarang PH giat hendak memulihkannya. Kedua, ekonomi negara berada di landasan betul untuk mencatat pertumbuhan KDNK yang sihat.

Bagi yang pertama, rakyat sentiasa diperingatkan betapa negara menanggung hutang RM1 trilion selain skandal korporat terbesar dalam abad ini, 1MDB (masih dakwaan kerana masih dibicara di mahkamah).

Oleh kerana hutang banyak, maka logiklah projek-projek mega anjuran BN dibatalkan atau dikecilkan atau terapung-apung sebab sekejap kata batal, kemudian kata tidak batal.

Persoalannya, logikkah pula dalam keadaan di atas, disarankan pula projek kereta nasional dan mengembalikan lumba Formula 1?

Ini membawa kepada tema kedua, bab KDNK sihat. Tahukah ia tidak membawa apa-apa makna kepada petani, peladang, nelayan dan pemandu bas? Mere­kalah yang merasa bila bantuan sara hidup dipotong. Tangisan mereka bukan dibuat-buat.

2 Integriti

Ayat wajib untuk kerajaan mewajarkan tindakan mereka sekarang ialah ‘ia salah kerajaan BN yang rasuah dan mewajarkan politik wang’. Okey, rakyat percaya sejak 9 Mei 2018. Sebab itu BN ditumbangkan.

Sekarang, buatlah lebih baik. Elak daripada melakukan kejahatan serupa yang dila­kukan oleh BN. Dosa BN jangan diulangi. Ini semangat Malaysia Baharu yang mempesona seluruh generasi muda semasa Pilihan Raya Umum Ke-14.

Tetapi jika berterusan memberi alasan sedemikian, demi untuk mewajarkan kesalahan yang dilakukan oleh kerajaan hari ini, orang akan mula bertanya apa beza dulu dengan sekarang?

Soal integriti merupakan satu elemen besar diguna oleh PH untuk menarik pengundi. Ini kerana BN dilabel sebagai tiada integriti akibat gila kuasa, gila wang, gila segalanya. Sekarang bila terdedah kisah menteri mengisytihar sijil akademik yang sebenarnya tiada, anda tidak boleh menjawab ‘lebih baik menipu sijil daripada menyamun harta’.

Tiada peraturan Robinhood diguna pakai di Malaysia. Kesalahan tetap kesa­lahan. Tiada kesalahan kecil. Sebab itu, ada yang dipenjara setahun kerana mencuri sebotol syampu berbanding eksekutif dipenjara tiga bulan kerana menipu saham berjuta ringgit.

3 Tak cekap

Perdana Menteri Tun Dr. Mahathir Mohamad sudah menyebut aspek kecekapan dalam kalangan Jemaah Men­terinya. Penasihat kera­jaan, Tun Daim Zainuddin semakin kerap menyebutnya kebelakangan ini.

Memang benarlah ada yang tidak cekap. Jadi rakyat yang mengundi kerajaan berharap menteri yang tidak cekap ditukarkan. Tetapi nampaknya tidak berlaku.

4 Terlalu berpolitik

Dalam rakyat merintih kesan kos sara hidup mahal sekarang, nampaknya negara ini tidak berhenti-henti berpolitik. Pilihan raya kecil berlaku hampir selang sebulan, ini tidak dapat dielak bila wakil rakyat meninggal dunia. Tapi lihatlah cerita orang lompat parti, cerita parti lebarkan sayap ke Mindanao. Hari-hari! Rakyat marhaen mula rimas. Taksub mengumpul kuasa ini mengakibatkan nasib orang bawahan tidak dipedulikan.

5 Pusingan ‘U’

Rimas rakyat ini meliputi semua. Ketika ekonomi negara belum nampak memberi apa-apa impak besar kepada marhaen, kerajaan nampaknya cenderung kepada benda-benda yang dulunya mereka sendiri bantah.

Contoh mudah, pelaksanaan kamera AES walaupun matlamatnya dimaklumi, selain dicemuh kerana dulu PH yang bermati-matian mahu AES dihapuskan, sekarang mahu dikekalkan. PTPTN jangan katalah. Ramai sudah merana.

6 Urusan Islam

Tanpa mahu meng­huraikan panjang lebar, hal ehwal membabitkan umat Islam dan agama termasuk Tabung Haji, hendaklah diurus dengan penuh cermat dan teliti. Tolonglah.