Jadi semasa pemberita mencari identitinya di dalam Facebook, nama saya 'timbul' sebagai seorang daripada 'sahabat'. Maka terpaksa pula saya membuat pengecaman. Tidak. Saya tidak kenal. Ini penafian rasmi. Bukan takut dikaitkan dengan individu tersebut, yang menghadapi pendakwaan jenayah yang serius. Tidak. Cuma mahu menjelaskan secara jujur.

Ini kerana kalau betul saya takut, pastinya saya nyatakan siapakah individu tersebut atau butiran kes pendakwaan yang dihadapinya. Tetapi itu bukan isu yang hendak saya merrepak hari ini. Jadi saya nyatakan sepintas lalu bahawa individu itu terkait dengan saya menerusi Facebook, tidak lebih sekadar 'sahabat Facebook'.

Mungkin dia pembaca Merrepak, mungkin rakan sama minat bola sepak atau apa-apalah tetapi hakikatnya kami tidak pernah kenal antara satu sama lain. Ramai lagi dalam Facebook yang seangkatan dengannya terutama di luar Lembah Klang.

Ada juga menyarankan agar saya segera tinggalkan akaun individu itu. Saya tidak setuju. Dia sedang dibicarakan. Belum didapati bersalah. Dan selama ini pun dia tidak buat apa-apa yang ketara sama ada mengulas pada dinding Facebook saya atau LIKE.Maka tiada masalah berbangkit jadi tidak perlu saya buat apa-apa.

Malahan, dalam kebanyakan kes, rakan Facebook lain yang banyak mengomel hal politik, perkauman dan agama yang sebenarnya lebih wajar saya tinggalkan.

Inilah intipati Merrepak hari ini. Bagaimana Facebook boleh memporak-porandakan hidup jika tidak dikendalikan dengan berhemah. Cuma dalam kes saya yang disebut di atas, sudah berhemah tetapi entah macam mana terkait juga.

Persoalan Merrepak hari ini ialah: siapakah di dalam Facebook yang patut anda unfriend? Saya senaraikan lima jenis manusia Facebook seperti berikut. Jika ada persamaan, anda tidak perlu buat apa-apa. Senyum sudah memadai.

Anti Islam

Golongan ini semakin ramai. Modus operandi mereka ialah kongsi berita dari portal berita yang memang dikenali anti-Islam, dan pada Facebook diselitkan komentar mereka yang terang-terang menyindir dan membidas orang Islam.

Bila ditanya, mereka tuduh kita adalah contoh ekstremis Islam. Hakikatnya, pihak berkuasa sendiri lemah dalam mengekang portal berita anti-Islam di Malaysia, jadi bagaimana mereka hendak mengawal manusia anti Islam sebegini?

Kaki mengeji

Rasanya sudah dikeluarkan akaun manusia jenis ini dalam siri pembersihan 2016. Macam mana boleh timbul semula, saya pun tidak faham Facebook. Manusia ini memang mendapatkan kepuasan hidup menerusi pernyataan merengus, membidas, membelasah dan mengeji apa sahaja yang tidak disukainya.

Bahasa yang diguna memang dalam kategori 'cacian terbilang’. Bila disemak benda yang dikecamnya itu, rupa-rupanya kisah berebut tudung. Ini mesti memberi reaksi selepas hanya membaca tajuk semata-mata.

Politikus

Musim pilihan raya sekarang, berderu-derulah kempen kedua-dua pihak. Yang kanan kata begitu. Yang kiri kata begini. Saya sudah unfollow. Saya memutuskan untuk menolak kempen secara emosi atau peribadi. Meletak gambar seseorang dengan pernyataan 'lucu' adalah tindakan budak-budak. Kemudian, melabelkannya pula sebagai 'badut'.

Hanya orang berfikiran budak-budak yang suka kaedah menghina seumpamanya. Apa yang kita mahu ialah bentangkan tuduhan wajib bersama dengan bukti dan penghujahan. Kemudian benarkan pihak dituduh itu menjawab. Inilah inti pati demokrasi tulen.

Kelab bekas penulis

Suatu waktu dulu mereka ini berkuasa. Mereka menerajui organisasi masing-masing. Ada yang benar-benar popular. Ada tidak dikenali langsung sebab memang tahap kemesraan begitu nipis. Jadi menerusi Facebook, mereka jadi masyhur sekelas dengan Donald Trump.

Mereka ini menjadikan Facebook sebagai medan mempersoalkan orang lain. Masa dia bekerja dulu, katanya tidak sempat buat sebab akur perintah pejabat. Jadi sesudah berpisah, mereka bebas mencerca organisasi yang pernah menjadi tempat mereka mencari nafkah.

Sebagai sesama penulis, saya menghormati setiap daripada mereka. Pada saya, mereka bebas hendak marah kepada organisasi masing-masing. Marahlah. Sumpahlah. Jika itu memuaskan hati anda yang membara.

Tetapi usahlah pukul semua rakan yang masih bertugas di organisasi tersebut. Dulu kamilah rakan seperjuangan atau anak buah. Kami masih bekerja di sini untuk menyara hidup. Tidak ramai yang mampu berhenti kerja seperti anda. Tidak ramai yang ada harta kaya-raya seperti anda. Sekurang-kurangnya hormatilah kami yang tidak ada isu pun dengan anda.

Kaki kutuk bola sepak

Semalam, secara sah bermulalah musim bolasepak liga perdana Inggeris bagi 2017/2018. Kembali ceria wajah rakan-rakan yang dipaksa bercuti sejak akhir Mei lalu. Meriah kembali paparan-paparan di Facebook dengan perutusan menghasut dan menyindir pasukan lain.

Ingin saya perturunkan sedikit peraturan, jika hendak dipatuhi adalah bagus dan jika tidak, pun tiada siapa hendak marah melainkan unfriend.

Pertama, letakkan pernyataan anda di halaman Facebook. Tidak boleh tag nama rakan yang menyokong pasukan lain atau pasukan yang tewas.

Kedua, anda yang tidak kena tag tetapi terkesan oleh pernyataan itu, disaran jangan masuk perangkap. Jawab pada halaman Facebook anda sendiri, bukan di halaman dia.

Ketiga, elakkan menyalahkan pengadil atau cuaca atau padang jika tewas dan seri. Alasan-alasan ini telah dikategorikan sebagai 'ayat paling memalukan' di dalam Facebook.