Tidak ada masalah besar. Sudah tertera sebahagian daripada tugas, apatah lagi pegawai komunikasi korporat menghalimunankan diri. Mujurlah subjek pengucapan awam di zaman kolej suatu waktu dahulu, telah diikuti dengan tekun bercampur seram ekstrem apabila kena berdiri berucap di hadapan pensyarah dan rakan sekuliah.

Seram ekstrem bukan disebabkan khuatir mengenai markah semata-mata, tetapi lebih didorong kepada sesi soal dan jawab kemudiannya, yang mana rakan-rakan sekuliah dibolehkan menyoal dan mengerudi perkara-perkara yang kita ucapkan.

Sebelum itu, senior ada berkongsi teknik mengenai pengucapan awam. Jika tidak hafal teks, tulis dalam nota kecil letak pada tangan. Semua berjalan lancar sehinggalah terlajak sebut perkara nombor lima, sedangkan nota pada tangan masih nombor tiga. Mulalah mengelabah babun mencari balik pointer card. Apa itu gelabah babun? Sila periksa di Youtube dengan menaip baboon screaming.

Begitu juga pada sesi soal jawab. Menurut senior, markah tidak sahaja diberi kepada jawapan yang tepat dan jelas. Markah juga diberi kepada ketenangan diri semasa menjawab, apakah menyakinkan atau gelabah babun maksimum.

Markah merudum jika anda bergaduh dengan penyoal. Maklumlah zaman sekolah pantang kena provokasi. Inilah antara faktor subjek pengucapan awam tidak pernah dapat A.

Berdasarkan pengalaman dikerah sebagai ‘bapa pengantin ad hoc’, berikut dikongsikan sembilan lagi teknik pengucapan awam mengikut kaedah Merrepak yang boleh anda praktiskan:

1 Cakap benda yang anda tahu sahaja

Sebagai ‘bapa pengantin’, anda tidak perlu tahu hal berapa kos membuat pelamin, berapa kuali nasi disediakan. Sebaliknya, kerahkan pegawai berkaitan hal spesifik dan teknikal untuk turut hadir membantu memberi maklumat yang diperlukan.

Bila anda gigih juga hendak menjawab sendiri, dengan pernyataan seperti `hasil produk kami kira-kira RM10 juta pada tahun lalu, kalau saya tidak silap...’. Dalam perbincangan rasmi, ayat-ayat tidak menyakinkan, teragak-agak, tembak-tembak hanya menurunkan minat orang yang mendengar.

Jadi anda bersedialah dengan maklumat. Kalau tidak tahu, jangan mengada-adakan benda yang anda tidak tahu. Nanti sesi soal jawab, nescaya anda gelabah babun.

2 Fakta tepat

Untuk mengelak gelabah babun, dapatkan kandungan hujah anda daripada sumber sahih, bukan Facebook atau Wikipedia. Anda tidak mahu tetamu pula membetulkan anda di tengah-tengah anda bercakap.

3 Belajar kawal nada suara

Ini sama seperti penyanyi. Kena ada teknik betul. Turun naik nada suara akan mampu memaut perhatian, berbanding dengan nada lemah lembik macam orang membaca surat tuntutan LHDN. Nada tinggi macam penyanyi opera pun sangat tidak bagus, sehingga butiran perbualan dalam bilik mesyuarat dapat didengar.

4 Elak provokasi

Tetamu datang, lazimnya atas pengetahuan untuk saling berkomunikasi dengan lancar demi meraih maklumat wajar. Kita bukan berjumpa di mahkamah untuk berdebat, bukan di Parlimen untuk berhujah. Kekalkan suasana harmoni. Jika tertimbul situasi cuit, pantaslah mengalihkan topik bicara.

5 Jangan berjanji

Melainkan jika anda pemilik mutlak syarikat, tiada siapa boleh memberi janji dalam perbincangan. Malah Ketua Pegawai Eksekutif pun kena minta kebenaran Lembaga Pengarah untuk mendapatkan kelulusan. Apalagi anda sekadar pegawai berstatus `bapa pengantin’. Memadailah kata, saya akan bawa perkara ini ke pengetahuan pihak atasan, dan saya akan hubungi semula pihak tuan.

6 Jauhi berleter

Ini berkait dengan kegagalan mengawal nafsu bercakap. Seronok pula bila orang di hadapan anda mengangguk kepala macam Jeneral Tojo. Lagi deraslah anda bercerita. Patutnya sebagai `bapa pengantin’ anda beri tetamu lebih bercakap bagi menerangkan maksud kedatangannya. Ini anda pula lebih cakap.

7 Berlawak

Antara teknik penting dalam pengucapan awam ialah keupayaan menyelitkan unsur-unsur lawak. Sebab ini akan memberi kesegaran pendengar dan keinginan untuk terus mendengar apa anda hendak tuturkan. Tetapi awas dan ingatlah bahawa anda adalah `bapa pengantin’ bukan pelawak. Jika lawak melampau, orang pandang kecil anda. Tak serius orang ini. Siapa yang rugi?

8 Istilah Tinggi

Sama seperti unsur lawak, penggunaan istilah tinggi perlu diselitkan terutama bila orang di hadapan anda merupakan CEO atau sarjana. Bukan untuk mendatangkan kekaguman semata-mata tetapi menunjukkan tahap pengetahuan anda adalah baik, sesuai dengan tanggungjawab berat sebagai bapa pengantin. Tetapi penggunaan melampau istilah tinggi ini pun, tidak bagus. Orang naik meluat.

9 Berlatih, berlatih dan berlatih

Dalam apa kerja pun, kita kena lakukannya berulang kali untuk benar-benar mahir. Pengucapan awam adalah satu seni yang boleh dipertingkatkan melalui latihan yang kerap bermula di hadapan cermin, depan isteri atau suami, rakan sepejabat dan ahli-ahli PIBG.