Jika ada sumur di ladang, 
boleh kita menumpang mandi,
Jika ada umur yang panjang,
raya tahun depan kita beraya pasti.

Sebagai seorang daripada ahli jawatankuasa penganjuran, saya hendak bocorkan rahsia minit mesyuarat dalam ruangan Merrepak hari ini. Maklumlah, Facebook saya pun kawan-kawan luahkan rasa terkilan tidak dijemput, jadi kena beri penjelasan rasmi.

Mesyuarat pertama kira-kira tiga minggu sebelum majlis diadakan. Persetujuan dicapai bahawa majlis akan dibuat untuk kalangan warga Jabatan Pengarang sahaja, iaitu kira-kira 350 orang termasuk pasukan Mingguan Malaysia dan Utusan Online. 

Mesyuarat seterusnya, dikembang pula kepada keseluruhan bangunan. Ada kira-kira 800 orang dari pelbagai jabatan! Dan mesyuarat paling akhir, jemputan dibuka kepada syarikat penaja dan penyokong program Utusan selama ini.

Oleh kerana masa terhad ketika ketetapan dicapai pada mesyuarat terakhir, kita pun pelawa yang mana sempat dan ingat. Apatah lagi masing-masing ada tugas azali dan bukan tertumpu kepada majlis semata-mata, maka berlakulah keciciran. Harap sahabat handai menerima penjelasan ini.

Pada waktu sama, persatuan kejiranan saya pun merancang mengadakan majlis terbuka pada Jumaat lalu. Secara senyap-senyap saya tidak menawarkan diri menjadi sukarelawan sebab terikat dengan komitmen majlis di pejabat. Tetapi selepas majlis, saya pasti menolong mengemas kerusi dan meja.

Rumusan pengalaman di atas saya senaraikan di dalam Merrepak sebagai 10 hal mesti dielak semasa jamuan raya di tempat kerja:


1 Terus-terang saja
Mengapa perlu adakan majlis raya? Tanya kepada orang yang mencadangkan idea. Telitikan rasionalnya. Fahami dan terima. Ini penting sebab anda sedang mencari 1,000 alasan untuk tidak terlibat sebab malas masak dan tidak suka tempat ramai orang berkerumun. 

Selain itu, bagi anda yang hanya beraya sehingga 7 Syawal, beri laluan kepada kawan yang beraya sehingga 30 Syawal terlibat dalam AJK penganjuran.

2 Malas beraya, letak notis
Ini lebih kepada anda yang dijemput datang ke rumah terbuka Aidilfitri atau apa sahaja raya lain seperti Tahun Baru Cina, Gawai, Kaamatan dan Thaipusam, contohnya. 

Anda malas hendak bersesak di jalan raya, tidak mahu pening cari tempat letak kereta dan benci beratur di meja juadah, sila gunakan kaedah ini: tulis notis pada media sosial anda "Maaf saya tidak dapat memenuhi undangan ke rumah terbuka raya, tetapi saya terbuka untuk sesi teh tarik’’. Notis ini cukup kuat dan tidak boleh dicabar di mahkamah.

3 Bajet
Jika anda di dalam unit kecil tidak lebih 12 orang, kebiasaannya bos saran kumpul duit mengikut kemampuan dan keikhlasan selain kesudian menyediakan juadah.

Jadi, pertahankan bajet tersebut dan jangan sekali-kali terpesona godaan untuk memenuhi lima meja dengan pelbagai juadah dengan laksa seluruh negara seperti laksa Sarawak, laksa Johor, laksa Kedah dan sebagainya. Buat ikut kemampuan dan persetujuan asal.

4 Kawal bilangan jemputan
Mengawal bajet berkait rapat dengan bilangan jemputan. Jika bajet sediakan juadah untuk 100 orang, beritahu rakan sepejabat bahawa jemputan adalah terhad. Jangan memandai-mandai nak jemput orang tingkat atas dan bawah sehingga 1,000 orang. Takut nanti bila mereka datang, makanan sudah habis.

5 Waktu mesti panjang
Bila buat di pejabat, haruslah difahami bahawa urusan rasmi hari itu tidak akan dibuat. Ini bagi memastikan semua petugas memberi komitmen sebelum, semasa dan selepas. 

Paling penting 'selepas’ sebab bab mengemas ini ramai yang jadi halimunan. Masa yang panjang juga membolehkan jemputan anda datang mengikut masa tertentu agar ruang pejabat tidak sendat, tempat letak kereta ada dan ada masa untuk bersosial.

6 Bukan ganti restoran
Selalu kita perhatikan, mereka yang datang beraya ini mirip kepada orang yang keluar dari terperangkap dalam gua kelam. Mereka lapar, lahap dan menghampiri kebuluran. 

Makanan pantas habis – oleh kelompok yang sama. Tetamu baru sampai pun belum makan. Konsep ini salah. Datang beraya adalah untuk beraya, bukan menggantikan restoran atau untuk anda jimat belanja.

7 Duduk lama-lama
Konsep beraya di pejabat ialah anda datang, salam, makan juadah dan berbual sedikit sebanyak. Bukan tetamu pula ambil kesempatan lepak berjam-jam. Mungkin ada persembahan hiburan bagi syarikat besar. Boleh tengok. Cuma carilah tempat duduk lain, agar orang baru sampai boleh makan di tempat anda.

8 Bincang bisnes
Ya, ini berlaku! Agak-agaklah situasi. Masa tuan rumah sibuk melayan tetamu, masa itu jugalah anda berebut hendak melobi kerja. Tidak tahulah apakah anda akan berjaya atau sekadar menyebabkan kejengkelan.

9 Pastikan cukup tenaga
Buat acara di pejabat, semua orang kena beri bantuan. Janganlah berlagak jadi tetamu pula. Atau 'bapa pengantin tak bertauliah'. Paling penting, kena ada orang khusus sebagai peninjau makanan. 

Bila berkurangan atau habis, dia berperanan mengisi. Malu besar jika orang mencedok kuali, hanya kuah yang ada.

10 Pengkritik bebas
Samalah seperti di atas, pasti ada seorang dua parasit yang mengelak memberi bantuan. Dia berlegar-legar di kawasan makanan untuk memastikan dia makan setiap juadah, dan kemudian senya-senyap kembali ke kerusinya di hujung pejabat. Tiba-tiba dia beri kenyataan: "Ada kelemahanlah, macam kelam-kabut. Sesak!’’. 
     
Wahai bro, anda nampak sesak kenapa tidak bantu di situ untuk lancarkan jalan? Siapa lantik jadi pengkritik? Memang patutlah disumpah cirit-birit sebab tidak menolong semasa jamuan.