Jika anda ingin melawat tempat-tempat bersejarah di Melaka, suatu tempat yang perlu dikunjungi ialah Jalan Tun Tan Cheng Lock.

Di situ terdapat rumah dan peninggalan warisan Baba Nyonya yang masih boleh dilihat hingga ke hari ini.

Rumah kediaman masyarakat Baba Nyonya itu sangat berkaitan dengan budaya dan adat dalam kehidupan seharian mereka.

Menurut Penolong Kurator Muzium Perhiasan Cina Selat Melaka yang mahu dikenali sebagai Yang (gambar), 22, uniknya rumah ini adalah terdapat bahagian-bahagian tertentu selain daripada bilik tidur, dapur dan sebagainya.

“Dalam rumah ini terdapat ruang tamu, halaman, ruang gelap dan ruang makan.

“Apabila ada tetamu lelaki datang ke rumah, anak perempuan tidak dibenarkan berada di ruang tamu dan mereka dikehendaki duduk di ruang gelap.

“Nama sahaja ruang gelap, tetapi ada lampu dan juga diterangi cahaya dari halaman,” ujarnya sambil menunjukkan bahagian-bahagian dalam rumah Baba dan Nyonya.

Tambahnya lagi, komuniti Baba Nyonya sangat menjaga anak perempuan, malah bakal suami tidak pernah melihat wajah bakal isteri sehinggalah mereka berkahwin.

Selain bahagian yang berkaitan kekeluargaan, terdapat sebuah ruang yang dikaitkan dengan kekayaan dan tuah.

“Dalam rumah ini ada dua ruang halaman (court yard). Ruang ini dibiarkan terbuka dan tidak berbumbung.

“Jika awak lihat, terdapat perigi dan mural ikan emas pada dinding serta paip untuk air keluar dari mulutnya.

“Jumlah ruang halaman dalam rumah melambangkan kekayaan sesebuah keluarga,” jelasnya.

Tambahnya lagi, kekayaan serta tuah dimaksudkan ialah apabila hujan, air akan masuk menerusi ruang tidak berbumbung itu dan keluar menerusi mulut ikan emas.

“Selain itu, perigi akan turut dipenuhi dengan air hujan. Ini kerana menurut kepercayaan nenek moyang kami, air hujan itu umpama duit.

“Apabila air hujan masuk ke dalam rumah, ia dianggap seperti tuah dan kekayaan yang datang,” ujarnya.