Politikus ini yang begitu diagung-agungkan dengan terbaharu diberi jawatan Naib Presiden dan Setiausaha Agung PKR kini mahu dilihat sebagai propengusaha. Sungguh berbeza sikap Rafizi Ramli yang juga Ahli Parlimen Pandan ini, apatah lagi PKR yang selama ini tidak pernah gagal menggunakan rakyat sebagai benteng dan adakalanya topeng dalam gerakan politik mereka. Umum mengenal parti ini sebagai antikenaikan harga bahkan menjanjikan pendidikan dan tol percuma. Dalam isu penurunan harga minyak mentah dunia, PKR sendiri menguar-uarkan harga baharu petrol RON 95 sepatutnya pada kadar RM1.90 seliter.

PKR turut mengancam untuk menganjurkan demonstrasi besar-besaran jika kerajaan enggan menurunkan harga bahan api menjelang 1 Disember lalu. Demonstrasi itu bagaimanapun tidak menjadi kenyataan. Kerajaan akhirnya mengumumkan harga RM1.91 seliter bagi RON 95 mulai 1 Januari iaitu lebih tinggi berbanding yang diuar-uarkan oleh PKR. Pada mata rakyat, pakatan pembangkang dilihat lebih hebat membela rakyat daripada kerajaan BN kerana mencadangkan harga lebih rendah.

Setelah harga minyak diturunkan, PKR berkata sebaliknya. Mereka sifatkan langkah kerajaan menurunkan harga bahan api menerusi kaedah Mekanisme Penetapan Harga Automatik itu bakal menyebabkan pengusaha stesen minyak kerugian besar. Kata mereka, dengan harga sekarang, pengusaha mengalami kerugian sehingga RM15,000 sehari dan bakal gulung tikar selewat-lewatnya Mac ini. Dalam hujahnya, Rafizi menyifatkan keputusan kerajaan itu sebagai tergopoh-gapah. Mana satu yang mahu diikut? Jadi, apalah halnya jika dulu pakatan pembangkang berdegar-degar menjanjikan tol percuma. Tidakkah mereka terfikir nasib pemegang konsesi yang tentunya terikat dengan kontrak dan mempunyai ramai pekerja?

Inilah wajah politik kita yang mengkritik semata-mata untuk kepentingan politik bukan demi kemaslahatan negara dan rakyat. Mereka berleluasa menggunakan kepakaran, kebijaksanaan serta kebebasan bersuara untuk memburukkan pihak lawan dan seterusnya berharap bakal mendapatkan laba politik. Semuanya mahu dikaitkan dengan politik. Begitukah sekali buruknya politikus kita?

Memang buruk. Ketua Pengarah Eksekutif 1Malaysia Development Berhad (1MDB), Arul Kanda Kandasamy dalam menjawab tuduhan ke atas organisasi yang baru disertainya itu berkata, kritikan terhadap 1MDB didorong politik dan tidak mempunyai asas. Dan pihak yang membuat kritikan berbentuk serangan itu sekali lagi ialah pakatan pembangkang. Rafizi yang mengaku mengenali Arul Kanda, 38, sejak zaman sekolah adalah antara orang di barisan hadapan dalam membuat pelbagai tuduhan terhadap firma pembangunan strategik negara itu.

Masalah

Arul Kanda yang berpengalaman luas dalam bidang pelaburan antarabangsa ketika temu bual dengan sebuah portal berita menyatakan, sebahagian besar tuduhan bukannya atas pertimbangan perniagaan tulen. Memang jika mengikut versi pakatan pembangkang, 1MDB yang memang sedang berdepan dengan masalah akan menyebabkan Malaysia bankrap. Gambaran yang diberikan begitu buruk dengan manipulasi fakta bahawa kerajaan menyalahgunakan dana awam dalam jumlah yang luar biasa besarnya.

Kini dengan kemasukan Arul Kanda, yang bermodalkan kredibiliti dan prestasi cemerlang, sekali gus dapat menjawab segala tuduhan dan serangan bertali arus terutama yang dilemparkan oleh politikus. Beliau pun setakat ini terlihat berani menghadapi pengkritik mahupun yang menyerang 1MDB. Strategi seperti ini nampaknya penting dalam memastikan apa sahaja fitnah dan tipu helah dapat dipatahkan tanpa bertangguh-tangguh lagi.

Begitu juga dalam isu penggantian Pengerusi Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (SKMM). Yang peliknya pembangkang begitu takut jawatan itu jatuh ke tangan orang UMNO/BN. Ada udang di sebalik batukah dan apakah mereka ada kepentingan tertentu dalam SKMM? Selain kritikan bertali arus, supremo DAP, Lim Kit Siang seperti memberi kata dua bahawa kerajaan akan menjerumuskan Malaysia menjadi sebuah negara yang gagal jika melantik orang UMNO mengetuai suruhanjaya itu. Kata Kit Siang, pelantikan boneka UMNO menjadi Pengerusi SKMM bukan sahaja akan diperkudakan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dan menteri yang bertanggungjawab, tetapi juga akan diperkudakan Utusan Malaysia dan pihak berkepentingan dalam UMNO.

Salahkah jika orang yang pro-UMNO atau pernah mewakili UMNO dalam pilihan raya dilantik ke jawatan itu jika beliau berkelayakan? Jika ini menjadi ukuran pakatan pembangkang, lihatlah siapa yang mereka lantik dalam organisasi penting di Pulau Pinang, Selangor dan Kelantan. Dalam keadaan apa pun kritikan memainkan peranan penting untuk meningkatkan lagi prestasi bagi kepentingan yang lebih luas. Tetapi nilailah dulu kritikan itu terutama jika datangnya daripada parti pembangkang. Ada sahaja yang tersirat dengan tujuannya untuk mengelirukan umum.

Barangkali mereka sudah terbiasa bahawa budaya kerja pembangkang ialah mengkritik kerajaan. Maka tak kira baik dan buruknya, apa sahaja yang kerajaan lakukan akan dikritik dan diserang kerana mengikut pemahaman mereka itulah kerja parti pembangkang. Yang penting juga pihak kerajaan tidak memberikan 'peluru’ yang sukar ditangkis. Misalnya, tidak telus dan tidak amanah dalam menjalankan tanggungjawab sebagai anggota kerajaan. Tidaklah musuh begitu mudah boleh memanipulasi realiti menjadi fitnah sehingga diterima umum sebagai fakta.

Janganlah terikut-ikut rentak permainan parti pembangkang yang penuh muslihat dan sandiwara. Konon membela rakyat tetapi apabila harga bahan api benar-benar dapat diturunkan, kerajaan juga yang dipersalahkan kerana menekan pengusaha stesen minyak. Bagi mereka, kerajaan langsung tidak boleh diberi kredit. Mereka mahu rakyat percaya kerajaan sekarang tidak cekap, menyalah guna kuasa serta membiarkan penyelewengan dan rasuah berleluasa.

Mereka kritik dan serang apa yang kerajaan lakukan sekarang. Tetapi kemudian apabila diberi kuasa, mereka akan lakukan hal yang sama. Mereka mahu tol percuma tetapi luluskan pembinaan lebuh raya Kidex di Selangor. Mereka begitu benci projek mega tetapi luluskan projek lebuh raya bawah laut di Pulau Pinang.