Namun ketika ini, UMNO sedang berdepan ujian getir yang berupaya menghakis  kesetiaan segelintir pemimpin dan ahlinya. Jika situasi itu tidak ditangani, boleh melumpuhkan parti yang menunjangi orang Melayu.
 Pengerusi Majlis Jemaah Penasihat UMNO,   TENGKU RAZALEIGH HAMZAH berpandangan, kelangsungan parti adalah bergantung kepada sejauh mana kesemua pemimpin dan ahli UMNO berkorban untuk parti. Ikuti sedutan temu bual beliau bersama wartawan Mingguan Malaysia, HUSSAINI AMRAN dan BADRUL HAFIZAN MAT ISA di Kuala Lumpur, baru-baru ini.

 

MINGGUAN: Tindakan beberapa pemimpin UMNO meninggalkan parti  mencetuskan gelisah  ahli-ahli UMNO  akar umbi yang bimbang dengan hala tuju UMNO. Pandangan Tengku dalam hal ini?
TENGKU RAZALEIGH:
Selepas memerhati dan menganalisis perkembangan politik semasa terutamanya ahli-ahli Parlimen UMNO keluar parti, ia bukanlah kerana soal dalaman semata-mata tetapi juga kerana kelemahan yang ada dalam kerajaan sekarang iaitu dalam parti-parti terlibat dalam gabungan Pakatan Harapan (PH).
Masing-masing cuba mengukuhkan kedudukan maka UMNO turut diusik seolah-olah turut kena kesan sampingannya. Ada kumpulan sokong Datuk Seri Anwar Ibrahim mahu mengukuhkan kedudukan dalam PKR, ada juga mahu lihat Tun Dr. Mahathir Mohamad bukan hanya disokong 13 ahli Parlimen atau bergantung  kepada DAP, PKR dan Parti Amanah Negara (Amanah) tetapi mahu Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu)  kuat.
Tetapi nak kuat macam mana kerana hanya ada 13 ahli Parlimen? Jadi, terpaksalah bergantung kepada luar untuk membantu. Terusik juga UMNO, sebab dilihat seolah-olah tiada kepala sekarang kerana kerajaan tiada kepadanya, jadi rebutan, secara tidak langsung terjejas kedudukan UMNO.
Ada juga orang UMNO tidak senang hati dengan cadangan supaya diadakan kerjasama dengan Pas kerana parut lama masih ada. Tuduhan seperti sembelihan dan imam orang UMNO tidak sah masih lagi berlegar dalam kepala orang UMNO terutama di peringkat akar umbi.  Begitu juga orang Pas sendiri yang tidak mengalu-alukan persediaan pimpinan UMNO bekerjasama dengan Pas.
 Mereka mahu buat kajian dulu untuk melihat sama ada kerjasama ini dapat dibentuk. Pendapat saya, barangkali kerjasama ini tidak dapat wujud dari segi politik  kecuali ada gabungan seperti Barisan Nasional (BN) dengan Pas jadi salah satu anggota pakatan politik.
Sememangnya itu cara yang baik kalau mahu adakan kerjasama tapi cara lain tak boleh nak selesai kerana masing-masing ada kepentingan. Mesti ada perebutan, mesti ada kecurigaan dan sebagainya, jadi sudah tentu syak wasangka itu akan timbul dan mendominasikan pemikiran politik.
Jadi takkan aman dan takkan tenang keadaan dalam parti yang berpakat dan bekerjasama sedemikian rupa.  Saya rasa pergolakan yang berlaku ini akan berterusan dan seolah-olah ada konspirasi politik kerana permainan kuasa.
Terdapat pimpinan UMNO yang ada sekarang difahamkan cuba mencari kesempatan dengan parti-parti berkuasa, mungkin inginkan kepada tempat, ganjaran, perlindungan dan sebagainya yang buatkan orang UMNO resah.
Saya sendiri nak lihat UMNO kekal dan maju kerana orang Melayu mesti mempunyai tempat untuk bersandar. Bukan maksudnya hanya bergantung kepada UMNO, namun jika UMNO tiada, mana lagi orang Melayu mahu pergi, nak berpecah lagi?
 Jadi saya berharap berdasar kefahaman ini janganlah lebih ramai ingin mengadu nasib kepada yang ada kuasa sekarang. Ini pun tidak kekal dan kita pun tak tahu lama mana mereka boleh kekal.
Kalau  kita boleh kekal 61 tahun yang baru berpakat ini berapa lama boleh kekal, mereka bukan mimpi sebantal cuma kebetulan tidur di situ dan satu bantal berkongsi. Ditambah dengan Langkah Port Dickson, mesti ada sesuatu, kenapa perlu adanya Langkah Port Dickson? Keadaan dalam kerajaan tidak tenang. Kalau tenang mengapa nak usik kedudukan UMNO?
Mereka sudah ada majoriti apabila memerintah tetapi dengan majoriti  itupun  parti yang terlibat tidak senang hati kerana tidak ada majoriti mutlak.

 

Dalam situasi sekarang, apa pendekatan yang perlu diambil UMNO?
TENGKU RAZALEIGH:
Jika betul-betul orang politik mereka perlu melihat jangka masa panjang, tak boleh nak fikir soal esok atau lusa, kebetulan kita boleh ambil kesempatan tetapi kita perlu mempunyai perancangan jangka panjang, kalau kita nak bersiap untuk pilihan raya tentunya perancangan untuk lima tahun lagi.
UMNO boleh ambil kesempatan untuk bergabung di sana-sini namun saya rasa itu menghampakan sebab UMNO takkan dipandang tinggi, orang dia macam mana? Takkan mereka tak layan orang dia dahulu terutama daripada segi pertimbangan jawatan.
 UMNO tidak boleh jadi ahli kelas pertama jadi kelas ketiga barangkali. Kita tidak tahu selama mana akan kekal dengan Langkah Port  Dickson dan sebagainya ini.

 

Tindakan bagaimana  rasa Tengku yang boleh diambil UMNO?
TENGKU RAZALEIGH:
Saya tak buat apa-apa lagi cuma sedang melihat maklum balas dengan berjumpa individu-individu, kumpulan-kumpulan,  persatuan-persatuan terutama untuk mendapat pandangan orang Melayu.
Saya berjumpa mereka dari universiti-universiti bagi melihat pandangan mereka apa yang akan terjadi kepada UMNO. Jadi  kalau kita rancang sekarang, bimbang Perhimpunan Agung UMNO akan datang  tiada siapa akan hadir.
Saya mahu dengar dan mengetahui dahulu apa isi hati orang Melayu yang sebenarnya, sebab UMNO ini adalah parti orang Melayu. Itu yang penting.

 

Ahli UMNO ketika ini dilihat kabur dengan hala tuju parti. Adakah perlu UMNO terus berada dalam kerangka BN?
TENGKU RAZALEIGH:
Pemimpin UMNO mesti mendengar isi hati di peringkat akar umbi. Kita bila memimpin yang menjaga kepentingan mereka mesti berfikir sebegitu, tak boleh nak berfikir setakat kita boleh fikir sahaja, mereka itu kita. Saya mahu mendapat maklum balas terlebih dahulu termasuk sama ada UMNO masih perlu dalam kerangka BN atau sebaliknya.
Kalau bentuk gabungan seperti wujudnya BN ataupun Perikatan dahulu perlu dilihat  cara mana dan apakah  ideanya, apakah cara  pimpinan Tunku Abdul Rahman tetapi berbentuk moden  yang mengambil pandangan orang muda.Apa yang kita buat sekarang ini bukan untuk golongan seperti saya tetapi untuk golongan akan datang. Saya sepatutnya sudah tidak memimpin, orang baru akan pimpin.
 Kita sekarang ini ketiadaan barisan pelapis, itu masalah dalam UMNO, saya tak tahulah parti-parti lain begitu juga ataupun tidak. Tetapi barisan pimpinan pelapis dalam UMNO ketandusan betul. Lihat di mana-mana pun, sebelum pilihan raya, mana ada orang, balik-balik muka sama juga.
Lepas pilihan raya cari Dr. Mahathir yang sudah bersara 15 tahun untuk jadi Perdana Menteri semula,  bagaimana ia boleh terjadi? Bukan saya mahu sinikal tetapi kita memang tiada orang. Kita menuju era baharu jadi kita pelu cari orang baharu, orang muda.

Harapan Tengku menjelang Perhimpunan Agung UMNO tahun ini?
TENGKU RAZALEIGH: 
UMNO kena muhasabah dan menerima hakikat rakyat telah menolak. Kita kena akui telah membuat kesalahan-kesalahan besar,  kalau tidak rakyat tidak akan tolak kita.  
Berdasarkan kepada itu, kita kena insaf dan sedar serta memperbaiki diri kerana kita berjuang bukan untuk diri  atau puak, bukan untuk ahli UMNO, kita berjuang untuk negara, untuk orang Melayu dan untuk Islam, tidak memihak kepada mana-mana kumpulan.
Jika dahulu ketika penubuhan UMNO ramai yang berkorban untuk parti ini termasuk harta benda, kita perlukan semangat itu semula. Semangat musyawarah juga perlu dikembalikan dalam UMNO, tiada lagi puak-puak dalam UMNO, kita mahu kembali sebagai sebuah keluarga besar.