Islam mengajar kita supaya yakin dengan takdir Allah termasuk rezeki setiap makhluk di dunia ini juga ditentukan oleh Yang Maha Esa. Setiap yang berlaku di dunia ini dan setiap yang terjadi atas setiap hamba semuanya atas keizinan Allah. Begitu juga dengan segala usaha sama ada membuahkan kejayaan atau kegagalan juga atas kehendak Allah.

Pesan Syaikh Abdul Kadir Al-Jailani tentang hal ini:“Janganlah engkau cemas tentang rezekimu. Apabila engkau telah memperoleh rezeki untuk hari ini, maka janganlah engkau risau rezeki untuk hari esok, sebagaimana engkau tidak risaukan lagi hari kelmarin yang sudah berlalu. Sedangkan hari esok adakah engkau tahu ia akan sampai kepadamu atau tidak. Uruskan keperluanmu untuk hari ini. Seandainya kamu mengenal Allah, maka kamu akan menyibukkan diri dengan-Nya dan menjauhkan diri daripada memburu rezeki.”

Usah biarkan hidup ini dibayangi oleh kecintaan duniawi. Bawalah diri dan roh kepada usaha mencari kecintaan Ilahi dengan mengubah pendekatan diri daripada pembinaan fizikal kepada pembinaan roh dan jiwa. Setiap hari kita menjadi orang baharu dengan perubahan demi perubahan dari sudut fizikal. Secara saintifiknya manusia berubah dari segi fizikal pada setiap detik dan masa apabila sel-sel turut mengalami perubahan. Contohnya rambut dan kuku akan menjadi panjang, kulit berubah setiap empat minggu, garisan atau lapisan perut pula berubah setiap lima hari sekali dan setiap tujuh tahun seluruh fizikal manusia bertukar-tukar bentuk.

Yang tidak berubah hanya roh. Daripada lahir hingga meninggal dunia, itulah roh yang menjalankan fungsi sel diri seseorang dan itulah juga roh yang akan bertemu dengan Allah. Justeru, kitalah perlu mengubahnya apabila Allah memberikan kesempatan melalui usia yang panjang dengan membebaskan jiwa daripada sikap negatif kepada positif.

Enam sikap negatif perlu diubah kerana dilihat menghalang kelancaran rezeki. Pertama, gemar mengungkit-ungkit pemberian kita kepada orang lain, sama ada pemberian dalam bentuk perkhidmatan fizikal, wang ringgit atau sumbangan buah fikiran dan idea (hilang keikhlasan).

Kedua, dalam konsep pemikiran ‘reset minda’ dinyatakan, segala kata yang berbisik di hati, berbicara di mulut dan terfikir pada minda akan menjadi doa. Jika asyik cakap, fikir, rasa `tidak ada duit’ maka Allah akan makbulkan. Setiap yang diucapkan, difikirkan dan dibisikkan dalam hati akan menarik tenaga negatif. Malas hendak berusaha dek takut kecewa hingga enggan mencuba. Setiap orang akan mendapat apa yang difokuskannya. Jika difokuskan kepada kesusahan maka kesusahanlah yang diperoleh. Sekiranya difokuskan kepada kesenangan insya-Allah rezeki akan menjadi milik kita.

Ketiga, berkira untuk bersedekah sedangkan amalan ini adalah pembuka rezeki dan penolak musibah. Keempat, berkira dalam memudahkan perkara-perkara yang baik. Hidup selalu menyusahkan orang lain. Yakni suka melihat orang susah dan sukar melihat orang senang. Kelima, banyak membuat maksiat dan kemungkaran. Keenam, tidak bersyukur dengan apa yang ada tetapi asyik mengeluh dengan apa yang tiada dengan membandingkan diri kita dengan orang lain.

Percayalah dengan yakin bahawa Allah yang tentukan rezeki seseorang. Manusia tiada hak untuk mempertikaikan dan tidak sepatutnya merasa hasad terhadap sesiapa yang mendapat rezeki lebih meskipun usaha mereka tidak bersungguh atau seberapa berbanding kita. Apabila telah berusaha anggaplah usaha-usaha itu sebagai amalan soleh manakala setiap kejayaan yang diperoleh sifatkannya sebagai rahmat Allah. Sentiasa mensyukuri nikmat dan buangkanlah sikap keakuan diri iaitu mendabik dada sambil mengakui segala kejayaan adalah hasil usaha sendiri. Seperkara lagi, rezeki tidak semestinya berbentuk fizikal yang memberikan imej mewah dan kaya. Rezeki sebenarnya bermaksud, apa-apa sahaja yang dinikmati dengan izin Allah atas sifat Allah Yang Maha Pemurah, Yang Maha Penyayang, Yang Maha Berkuasa dan Yang Maha Mengetahui. Mempunyai banyak masa terluang untuk beribadah, berehat, berkasih sayang antara suami isteri, anak-anak dan keluarga, itu juga adalah rezeki. Mungkin bagi orang yang diberikan rezeki dalam bentuk kenaikan pangkat contohnya, mereka akan kehilangan masa bersama-sama keluarga, kerana setiap kenaikan pangkat bererti bertambah tanggungjawab.

Oleh sebab rezeki ini cukup luas, maka bersyukurlah dengan segala nikmat yang diperoleh, sebagai tanda kita beriman. Hanya orang yang ‘kesedaran keegoan tinggi’ dan mengikut nafsu akan berasa tidak cukup dan masih mengeluh serta merungut dengan nikmat yang telah Allah berikan. Kebahagiaan, ketenangan, kesihatan dan kekayaan tidak akan dapat dilihat oleh nilaian ‘mata fizikal’ tetapi nikmatnya dapat dirasai oleh nilaian ‘mata hati’. “Jom jaga diri, jaga akidah, ibadah dan akhlak”.