Saban hari kita membaca laporan akhbar yang memaparkan berita keganasan terhadap wanita seperti kes rogol, pemerdagangan manusia, gangguan seksual di tempat kerja, selain menjadi mangsa keganasan dalam situasi peperangan.

Menurut statistik yang dilaporkan di negara ini, lebih kurang 57,000 kes keganasan terhadap wanita berlaku sejak 2010 hingga 2017.

Hal ini sangat membimbangkan kerana ia bukan sahaja meninggalkan situasi trauma, tetapi ramai juga kehilangan nyawa.

Di negara-negara luar seperti Palestin, Syria atau Myanmar, wanita terjebak dalam pergolakan konflik politik dan peperangan. Lebih menyedihkan, sebilangan besar menjadi mangsa keganasan seksual sebagai ‘senjata peperangan’.

Walaupun pelbagai usaha telah dilakukan untuk pemerkasaan wanita, masih lagi terdapat golongan yang memandang wanita sebagai warganegara kelas kedua yang dilihat tidak mampu menyumbang kepada keluarga dan masyarakat. Pemikiran seperti ini juga merupakan punca wanita sering dipandang rendah dan hina.

Di antara usaha yang telah diambil adalah Resolusi Majlis Keselamatan 1325 yang diperkenalkan dan diterima sebulat suara Majlis Keselamatan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) pada 31 Oktober 2000. Resolusi ini mengiktiraf bahawa penglibatan wanita sangat diperlukan dalam menyahut agenda wanita, keamanan dan keselamatan.

Melalui resolusi ini, negara-negara yang diiktiraf sebagai aman oleh Indeks Keamanan Global seperti Malaysia, perlu mengambil langkah berterusan dalam usaha membantu negara-negara yang sedang bergelut dengan krisis pergolakan dan peperangan.

Keganasan boleh berlaku kepada sesiapa sahaja tanpa mengira keadaan atau taraf seseorang. Oleh itu, masyarakat diseru untuk bersikap prihatin terhadap isu-isu keganasan terhadap wanita. Wanita bukanlah sesuatu pemilikan atau bebanan akan tetapi adalah aset negara yang berpotensi menyumbang kepada pembangunan negara dalam pelbagai aspek.

Bersempena sambutan Hari Antarabangsa Menangani Keganasan terhadap Wanita yang disambut pada 25 November setiap tahun, sekumpulan 22 pelajar Akademi Pengajian Islam Universiti Malaya (UM) telah mengadakan aktiviti kesedaran masyarakat mengenai isu keganasan terhadap wanita bertemakan Hentikan Keganasan Terhadap Wanita.

Aktiviti kesedaran sebegini perlu diteruskan terutama penglibatan generasi muda agar masyarakat lebih menghargai dan memberi perlindungan yang sewajarnya kepada wanita.

PROF. DATIN DR. RAIHANAH ABDULLAH
Pengarah Akademi Pengajian Islam UM