Tapi apa boleh buat, menangis pun tiada guna, perkara sudah berlaku. Dipujuk rayu tiada erti, orang sudah merajuk. Dihalang jangan sekali, orang dah nak pergi.

Tapi, ‘pemergian’ Tok Pa menimbulkan tanda tanya. Khabarnya beliau mendapat tekanan dari pihak yang mahu melemahkan UMNO. Apakah benar atau sebaliknya? Kalau benar, apakah UMNO perlu berdiam diri?

Kepada pemimpin UMNO yang masih ada, selama UMNO berkuasa tentu kalian semua berada dalam keadaan senang dan selesa. Namun, apabila berhadapan saat getir begini, apakah wajar berpaling tadah?

Benar, orang politik ‘mimpinya’ adalah kuasa tetapi itu adalah zahirnya, batinnya adalah maruah dan perjuangan. Maruah tidak boleh dijual beli. Perjuangan tidak menjanjikan apa yang dihajati.

Perjuangan yang luhur adalah demi kesenangan dan kebahagiaan orang lain. Perjuangan adalah pengorbanan tanpa henti kecuali jasad diusung ke lahad.

UMNO dibangunkan selama lebih 60 tahun. Kini sudah jatuh tersungkur. Bukan mudah dipulihkan dalam waktu yang singkat. Andai kata memakan masa 60 tahun juga untuk dipilih semula, apakah pemimpin UMNO yang ada sekarang masih memikirkan kedudukan dan jawatan?

Atau lari dan membiarkan ibu bapa, datuk nenek jauh di kampung mengibarkan bendera UMNO tapi pemimpinnya sudah hilang semangat juang? Jika Adam tidak berjuang untuk bertemu Hawa di Jabal Rahmah, tentunya tidak ada keturunan manusia di bumi ini.

Ibrahim, kalau tidak berjuang membangunkan Baitullah setelah musnah dilanda banjir di zaman Nuh, tentu kiblat umat Islam masih ke Baitulmaqdis. Muhammad SAW, kalau tidak berjuang dengan kesabaran, tentu tidak akan berkembang Islam ke seluruh dunia.

Ini bukan bererti saya menyamakan pemimpin UMNO dengan insan mulia itu tapi itulah kesimpulannya. Allah sudah memberi peringatan, yang Dia tidak mengubah nasib seseorang itu kecuali mereka sendiri berusaha untuk mengubahnya.

Nasib UMNO juga tidak akan berubah sekiranya pemimpin yang menjadi teras perjuangan telah putus asa dan mudah mengalah. Perlu juga diperingatkan, UMNO berkuasa adalah ketentuan Allah. Kini Allah telah meletakkan ketentuan UMNO bersama Pas sebagai pembangkang. Barangkali ada hikmahnya.

NAZRI SHAM

Chenor, Pahang