Bangunan memang cantik, luas dan bersih. Tetapi medan selera kurang gerai makan, sering tutup dan selalunya makanan habis awal. Harga makanan juga dikatakan mahal.

Bayangkan pelajar yang ramai terpaksa berebut sesama mereka untuk makan. Akhirnya, kebanyakan hanya makan mi segera siang malam - yang kita tahu bukannya baik untuk kesihatan bila dimakan hari-hari.

Hendak keluar, jarak antara kampus itu dengan pekan adalah jauh dan pengangkutan awam yang diharapkan hanya Uber atau Grabcar. Mereka yang tinggal di asrama tidak dibenarkan mempunyai kenderaan sendiri.

Bukan setakat itu, tiada langsung kemudahan mesin ATM. Macam mana pelajar-pelajar ini mahu mengeluarkan wang ketika kecemasan? Hendak pergi ke pekan jauh. Yang sakitnya, sudah sampai pekan, mesin ATM out of service pula.

Lagi satu, kemudahan internet di sana juga teruk. Banyak kerja kursus memerlukan internet. Hendak menghubungi anak pun susah kerana talian telefon tidak berapa bagus. Diharapkan pihak berkenaan dapat melihat perkara ini.

Memang kita mahu anak kita belajar berdikari, tahan lasak dan tahan cabaran tetapi kemudahan seperti makanan dan pengeluaran wang sepatutnya tidak boleh dikompromi. Ini kemudahan wajib ada.

IBU PRIHATIN

Kuala Lumpur