Majoriti pelajar menghabiskan kebanyakan hari mereka di sekolah. Maka pendidik yang berpengalaman seharusnya melihat situasi ini sebagai peluang untuk mereka memperkenalkan lebih banyak aktiviti fizikal yang sebenarnya mempunyai kaitan terus dengan prestasi akademik pelajar.

Termasuk dalam kategori aktiviti fizikal ini adalah pembelajaran yang melibatkan pergerakan. Kebebasan pelajar untuk berinteraksi bersama teman, bergelak ketawa sambil melakukan aktiviti, mencuba pelbagai pilihan dan bekerjasama dalam menyelesaikan isu sangat berpotensi untuk meningkatkan keberkesanan proses pembelajaran. Kajian membuktikan bahawa kebolehan pendidik memenuhi keperluan asas pelajar (pergerakan, kebebasan, kekuatan dan keseronokan) mampu meningkatkan mutu pengajaran dan pembelajaran. Keupayaan pendidik mencuba kaedah pelbagai dan berfikiran terbuka sangat membantu pelajar untuk belajar dalam keadaan yang mereka mahukan.

Pelbagai kajian yang melihat kesan aktiviti fizikal di dalam kelas menunjukkan kesan positif terhadap semua aspek pembelajaran pelajar (psikomotor, kognitif dan emosi). Aktiviti fizikal meningkatkan fungsi otak, mempercepatkan pertumbuhan sel-sel otak yang baharu, meningkatkan prestasi akademik dan mampu mengawal perilaku pelajar.

Kesungguhan, minat dan tingkah laku pelajar adalah cerminan kepada pengajaran dan pembelajaran seseorang pendidik. Maka para guru perlu menukar pendekatan pengajaran mereka agar selaras dengan keperluan dan kehendak iGen.

A. FAHIM
Selangor