KADANGKALA malu melihat orang Malaysia sibuk menggunakan kemudahan internet untuk mengutuk, menghina, melabel malah hampir semua komen dan aktiviti alam maya dikaitkan dengan politik atau dunia hiburan.

Lihat pula di Korea Selatan, Jepun dan lain-lain negara ‘bijak pandai’, rakyatnya menggunakan media sosial dan laman video YouTube untuk mengumpul pendapatan sampingan.

Dengan hanya merakam diri sendiri sedang makan hidangan lazat sambil memberi sedikit ulasan sudah cukup untuk mereka memperoleh pendapatan sampingan berdasarkan jumlah tontonan dan like.

Pendapatan sampingan itu juga boleh menjadi lumayan jika berjaya menarik iklan penaja dan boleh dipromosikan melalui laman sosial lain dengan gimik-gimik tertentu.

Selain makanan, ada juga mengulas mengenai produk yang menjadi bahan koleksi, blog pelancongan peribadi di dalam atau luar negara, blog makanan, menjadi pengkritik produk atau perkhidmatan dan bermacam lagi.

Di Malaysia pun ada juga peniaga menggunakan media sosial khususnya Facebook untuk menjana pendapatan tetapi rata-ratanya menjual produk kecantikan atau barang murah dan tiruan dari China.

Majoriti aktiviti utama rakyat negara ini dalam alam maya masih berlegar mengenai politik atau dunia hiburan.

Bagaimana caranya untuk mengubah pola atau corak berfikir rakyat Malaysia khususnya anak muda yang begitu taksub hal-hal politik dan hiburan umpama tiada lagi keperluan bahan ilmiah di alam maya.

Mungkin golongan cen­de­kia­wan dapat membantu mengubah corak pemikiran dan cara penggunaan media sosial kita ke arah perkara lebih bermanfaat lebih-lebih lagi jika dapat menjana pendapatan untuk orang awam.

Kerajaan mahupun agensi berwajib juga boleh memberi panduan, sokongan dan insentif kepada orang awam dalam menjana pendapatan melalui media sosial daripada membuang masa dengan perkara negatif atau tidak berfaedah.

Konsep kerjasama swasta dalam Skim Latihan 1Malaysia (SL1M) boleh dimanfaatkan untuk mengajak pengguna internet menjadi kakitangan sambilan bagi mempromosi dan menyebarkan maklumat mengenai produk, perkhidmatan, kempen dan aktiviti-aktiviti lain dalam alam maya.

Langkah ini mampu menjimatkan kos di samping membuka peluang kepada orang awam memilih untuk turut serta secara sambilan atau sepenuh masa seperti dijalankan pemandu Uber.

Perkara paling penting, rakyat diberi pilihan menghabiskan masa dengan aktiviti lebih berfaedah dalam alam maya di samping mengurangkan tabiat taksub politik dan gila hiburan.

Sukar untuk orang ramai berubah sendiri, maka perlu ada sedikit dorongan dan tarikan untuk mereka meninggalkan perkara sia-sia serta membuang masa tersebut.

HAJI TAPA

Kuala Selangor