Sebelum ini Dr. Mahathir melahirkan rasa tidak puas hati dengan kehadiran menteri dan timbalan menteri ke Sidang Dewan Rakyat. Ramai juga pihak yang mempertikaikan perilaku dan sikap barisan Kabinet kerajaan PH masih lagi terbawa-bawa dengan ‘watak’ pembangkang.

Sebagai Perdana Menteri, Dr. Mahathir tidak sepatutnya membiarkan situasi sebegini berterusan. Tindakan sewajarnya patut diambil. Mana-mana menteri dan timbalan menteri yang bersikap sambil lewa dan bekerja sekadar melepaskan batuk di tangga wajar diberi peringatan atau disingkirkan.

Janji kerajaan PH dahulu hendak membetulkan struktur pentadbiran kerajaan di bawah Barisan Nasional yang kononnya telah rosak perlu diterjemahkan.

Sudah 100 hari berlalu. Janji tidak mengapalah, tidak ditunaikan kerana manifesto bukannya ‘kitab suci’ tetapi kalau menteri malas atau tidak bersungguh buat kerja, apakah wajar dibayar gaji? Di mana ketelusan dan integriti yang dilaungkan selama ini?

Tiga pilihan raya kecil PH telah berjaya mempertahankan kerusi mereka. Janganlah terlalu seronok sehingga mempersendakan amanah rakyat. Benar pilihan raya umum lima tahun sekali tetapi apakah perlu tunggu penghujung lima tahun itu baru mahu mula buat kerja?

Dalam waktu yang sama, Dr. Mahathir turut menzahirkan rasa tidak puas hati dengan segelintir pegawai kerajaan yang didakwa masih setia kepada bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak.

Hal ini tidak sepatutnya dispekulasikan. Persepsi negatif terhadap pegawai kerajaan memperlihatkan kelemahan barisan Kabinet kerajaan PH sendiri. Kebanyakan pegawai kerajaan adalah pegawai lama yang berpengalaman manakala barisan Kabinet adalah muka baharu.

Tambah pula kalau menteri membuat keputusan bersifat flip-flop (cacar marba). Hari ini kata boleh, hari esok tarik balik atau tunggu dulu ‘masih dalam kajian’. Bagaimana pegawai kerajaan hendak menjalankan tugas dengan sempurna?

Kesimpulannya, kekecewaan dan ketidakpuasan hati Dr. Mahathir ada kaitan dengan suasana dan situasi kerja yang berbeza. Dr. Mahathir sudah biasa dengan ‘roh’ UMNO selama 22 tahun.

Sekarang beliau dikelilingi oleh ‘roh’ baharu yang masih lagi belum pasti arah tuju. Apakah jawatan yang mereka pegang itu bertujuan untuk membela nasib anak bangsa dan negara, mendapat jawatan atas pentas politik secara tidak sengaja atau cuma bernasib baik?

Diharapkan Dr. Mahathir memberi perhatian kepada perkara ini. Kita tidak mahu kerana kuasa kelak habis anak bangsa binasa.

NAZRI SHAM

Chenor, Pahang