Baru-baru ini saya memandu di Lebuh Raya Duta - Ulu Klang Fasa 2 (Duke 2) dan melihat beberapa flat kos rendah sekitar Sentul dan Setapak seperti rumah terbiar, penuh dengan kulat dan warna cat pudar teruk.

Seringkali kedengaran kos untuk mengecat semula yang tinggi menjadi antara alasan perumahan tersebut dibiarkan kelihatan lusuh bertahun-tahun lamanya.

Mahu dikutip sedikit duit daripada penghuni juga tidak wajar memandangkan rata-rata mereka berpendapatan rendah sehinggakan RM10 juga satu nilai yang sangat besar untuk dikongsi.

Suka saya mencadangkan kos mengecat semula flat kos rendah, PPR mahupun mana-mana perumahan tinggi ini ditaja pihak swasta khususnya syarikat-syarikat besar.

DBKL boleh tawarkan penaja memasang logo atau nama syarikat mereka di atas bangunan yang ditaja kerja-kerja mengecat semula, umpama program anak angkat mahupun tanggungjawab sosial korporat (CSR) dengan pulangan iklan percuma.

Lebih menarik lagi jika flat perumahan itu dicat dengan warna-warna korporat penaja ataupun lukisan cantik untuk dikagumi pemandu yang melihatnya dari jauh.

DR. RAHMAN HASHIM

Gombak, Selangor