Apa yang cuba dikupas adalah peranan belia pada peringkat komuniti setempat mungkin dipandang ringan tetapi sumbangannya sangat besar dalam menterjemahkan aspek kemasyarakatan.

Terdapat pelbagai aktiviti kemasyarakatan disusun yang memerlukan penglibatan belia untuk terus bergiat aktif. Tanpa mengira aktiviti anjuran masyarakat setempat, melalui pertubuhan bukan kerajaan (NGO) mahupun kerajaan tempatan, belia harus turut serta menggembleng tenaga demi merealisasikan objektif penganjuran.

Belia harus menyambut baik dengan melibatkan diri melalui aktiviti yang direncanakan. Tenaga muda mampu memberikan impak berkesan melalui program yang dijalankan.

Belia harus bijak menempatkan diri dalam anggota masyarakat supaya kesepaduan idea, tenaga kerja dan keakraban komuniti dapat terjalin melalui aktiviti yang dianjurkan. Dengan mengambil contoh program berbentuk kerja-kerja amal dan kebajikan, belia harus menjadi tulang belakang melalui perkongsian idea, bantuan tenaga dan sumbangan kemahiran serta kebolehan yang dimiliki.

Keterlibatan belia dalam masyarakat dapat melahirkan suatu ikatan dan jalinan utuh antara anggota masyarakat. Segala bentuk permasalahan setempat yang mungkin timbul juga mampu untuk dicari jalan penyelesaian dengan golongan belia sebagai tenaga penggerak.

Penglibatan tersebut juga dapat mengelakkan diri belia daripada melakukan aktiviti yang tidak berfaedah. Jalinan silaturahim dan semangat kekitaan mampu mencegah belia daripada terjerumus dalam aktiviti yang tidak sepatutnya. Ikatan yang mantap dan persefahaman jitu mampu membawa segalanya ke arah kebaikan. Walaupun segala aktiviti kemasyarakatan ini menuntut pengorbanan yang tinggi dari segi masa, tenaga dan mungkin juga wang ringgit tetapi hasilnya sangat lumayan.

Teras yang kukuh antara anggota masyarakat terutamanya golongan belia mampu untuk menjamin kehidupan yang lebih sihat dan harmoni. Gunakanlah kesempatan dan waktu yang ada untuk bersama-sama menabur bakti dalam pembangunan komuniti setempat. Lakukan dengan bersungguh-sungguh nescaya segala yang dicita bakal diperoleh.

SHAHRIL ANUAR ABDUL GHALIM

Rembau, Negeri Sembilan