Jika dahulu caj berjumpa doktor antara RM10 dan RM35, kadar baharu menyaksikan kenaikan antara 3.5 hingga sembilan kali ganda iaitu antara RM35 dan RM125 bagi setiap kali lawatan.

Ini tidak menjadi masalah sekiranya klinik dan hospital kerajaan dapat menampung keperluan orang awam tetapi malangnya rakyat terpaksa bersaing dengan warga asing setiap kali mahu mendapatkan rawatan mahupun masuk ke wad.

Ditambah pula cadangan pengenalan sistem insurans baharu, yang untung adalah syarikat insurans dan pemilik klinik atau hospital swasta. Rakyat tidak untung apa-apa malah akan rugi dalam segenap aspek.

Saya faham caj ini tidak berubah sejak 2006 atau selama 12 tahun tetapi janganlah naik terlalu mendadak. Harga ubat juga naik sekitar 10 peratus setahun sedangkan rata-rata majikan tidak menyediakan perlindungan perubatan atau tahap perlindungan terhad.

Jika kerajaan dapat menangani masalah kebanjiran warga asing, lebih-lebih lagi implikasinya terhadap sistem kesihatan awam, maka tiada masalah untuk meletakkan kadar baharu seperti dicadangkan itu.

Selagi rakyat terpaksa bersaing untuk rawatan di klinik dan hospital awam, janganlah tambah beban kami sedangkan semua produk dan perkhidmatan pun berterusan naik harga.

PAK TUA

Sentul Pasar