Antara masalah yang serius dan sering kali berlaku adalah banjir, jangkitan penyakit, kehilangan sumber ekonomi dan banyak lagi. Kita dapat lihat apabila berlaku hujan masih terdapat sisa-sisa sampah yang mengalir bersama arus sungai.

Walaupun pelbagai tindakan telah dibuat, namun perkara ini masih lagi berulang. Baru-baru ini, Universiti Teknologi Mara (UiTM) Cawangan Johor Kampus Pasir Gudang telah berusaha untuk membantu kerajaan negeri untuk sama-sama mengambil langkah bagi memastikan sungai di negeri ini bebas daripada pencemaran. Bermula September 2017, Persatuan Penyayang kampus ini telah menjayakan program Clean Rivers for Recreation berkonsepkan kesedaran serta gotong-royong bersama penduduk kampung.

Program yang dijalankan selama tiga bulan di setiap hujung minggu ini dikendalikan oleh 10 ahli persatuan dan dibantu lebih 200 pelajar.

Antara pendedahan yang diberikan adalah memberi pengenalan tentang sungai serta aktiviti-aktiviti yang menarik boleh dijalankan di sekitarnya, memberi penerangan tentang jenis-jenis dan kesan pencemaran air serta cara-cara mengatasi. Program ini disusuli dengan gotong-royong yang dijalankan secara berperingkat di seluruh kawasan Kampung Belantik dan di sekitar pinggiran sungai berdekatan.

Adalah menjadi tanggungjawab semua pihak untuk sama-sama memastikan keadaan sungai sentiasa bersih dan selamat digunakan.

ZENO MICHAEL
Pensyarah UiTM Cawangan Johor Kampus Pasir Gudang