Pokok perbincangannya adalah berkaitan terdapatnya sebilangan pelajar yang tidak berusaha sendiri menyelesaikan tugasan diamanahkan.

Hal itu amat mendukacitakan. Gejala tersebut sememangnya mengganggu kemurnian proses pembelajaran.

Ini kerana sepanjang proses menuntut ilmu, penuntut harus belajar dengan pensyarah mengenai satu-satu disiplin ilmu dengan bersungguh-sungguh.

Menerusi bimbingan pensyarah dan usaha tekun daripada pelajar itu sendiri maka proses penyampaian ilmu akan berlangsung dengan jayanya.

Sebagai pelajar setiap ilmu yang diperoleh akan menjadikannya lebih mahir dan mampu berfikir serta bertindak dari segi teori dan amalan dalam konteks yang dipelajari.

Sudah pasti untuk mengetahui tahap pemahaman dan keberkesanan proses pembelajaran ilmu itu, akan hadir tugasan-tugasan yang berteraskan bidang ilmu yang dipelajari.

Hal itu merupakan sebahagian daripada teknik pembelajaran bagi mengukur sejauh mana keberkesanan proses pembelajaran tersebut .

Dan salah satunya adalah keterlibatan penuntut dalam melakukan sesuatu tugasan mengikut keperluan bidang ilmu tersebut.

Penuntut harus mempraktikkan segala yang dipelajari bersesuaian dengan tugasan yang diamanahkan.

Kebanyakan tugasan adalah diberikan untuk memastikan ilmu itu difahami dan dapat diterjemahkan penuntut melalui pelaksanaan tugasan.

Tanpa melakukan sendiri oleh pelajar, sudah pasti ilmu yang seharusnya diperoleh ketika menjalankan tugasan itu tidak akan dikecapi.

Sebaliknya yang memperoleh ilmu itu adalah pelaku yang menyiapkan tugasan bagi pihak pelajar tersebut.

Itulah yang merugikan penuntut kerana proses pendidikan tidak berlangsung dengan cara sepatutnya.

Perlakuan tidak jujur itu amat merugikan penuntut itu sendiri dan disinilah aspek akhlak menjadi penentu.

Jika seseorang itu mempunyai akhlak baik seperti jujur dan amanah, maka sudah pasti segala tugasan yang dilakukan adalah hasil usahanya sendiri.

Kita tidak hanya menuntut kecemerlangan akademik semata-mata, sebaliknya kesempurnaan akhlak juga perlu dititikberatkan.

Tiada ilmu yang dapat diperoleh dengan cara mudah.

Apa yang pasti tiada keberkatan sekiranya kita mendapat segunung pujian sekalipun andainya hasil yang dikecapi bukan usaha dan titik peluh sendiri.

SHAHRIL ANUAR 
ABDUL GHALIM

Rembau, Negeri Sembilan