Saya berpendapat kita tidak boleh melakukan langkah terburu-buru menutup pusat tahfiz swasta kerana semata-mata terdapat masalah melibatkan satu atau dua pusat tahfiz.

Ini kerana sekolah menengah aliran kebangsaan mahupun swasta juga berhadapan dengan masalah serupa misalnya isu pelajar ponteng, buli selain pelbagai masalah disiplin yang lain.

Adakah wajar kita menutup sekolah aliran kebangsaan hanya kerana terdapat masalah kecil yang mampu kita selesaikan bersama? Jangan kerana marahkan nyamuk, kelambu dibakar, malah sampaikan ‘rumah’ turut hangus dijilat api!

Saya berpendapat, kerajaan perlu membantu semua sekolah tahfiz persendirian melalui pejabat agama negeri, Jabatan Perdana Menteri dan juga Kementerian Pendidikan.

Bagi aliran agama lain, contohnya sekolah aliran Kristian, tidak pernah pula saya mendengar ahli politik Kristian menyarankan pemerintah menutup sekolah tersebut disebabkan terdapat sedikit masalah yang boleh diselesaikan, atau menteri Buddha menyokong sekiranya kerajaan bercadang menutup sekolah Buddha.

Ketika pentadbiran Barisan Nasional sebelum ini, Datuk Seri Idris Jusoh semasa memegang jawatan Pengerusi Mara telah memperkenalkan konsep MRSM Ulul Albab yang antara pengisiannya ialah hafazan al-Quran sebagai usaha melahirkan modal insan yang seimbang dengan keperluan duniawi dan akhirat.

Ini bermakna, idea melaksanakan hafazan al-Quran mulai dilakukan di sekolah elit tersebut sebagai usaha melahirkan generasi bijak ke arah pembangunan negara bertamadun tinggi.

Tindakan menutup sekolah tahfiz swasta bukan sahaja tidak wajar malah kita sendiri seolah-olah meletakkan sekolah terbabit tidak penting dalam melahirkan insan berketrampilan.

HABIBULLAH