Namun soal keselamatan pengunjung taman yang terletak di antara Taman Shamelin, Taman Maluri dan Taman Pertama ini kembali menjadi isu apabila beberapa kereta yang diletakkan di situ dipecah masuk oleh mereka yang disyaki pencuri, baru-baru ini.

Sebagai Pengerusi Persatuan Sahabat Taman Pudu Ulu, saya berasa bimbang dengan perkembangan terbaharu ini.

Saya difahamkan kejadian yang melibatkan cermin kereta dipecahkan semakin kerap berlaku apabila penguatkuasaan oleh Skuad Peronda Berbasikal Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) dihentikan baru-baru ini.

Skuad itu sebelum ini turut membuat pengawasan di Taman Pudu Ulu bagi menjaga keselamatan orang awam, kenderaan dan barang kepunyaan mereka yang lain ketika melakukan riadah di kawasan rekreasi dikelilingi antara kawasan penempatan paling padat di ibu kota itu.

Ketika mula diperkenalkan di Taman Pudu Ulu pada 2014, seramai lima anggota unit berbasikal melakukan rondaan antara pukul 6.30 pagi sehingga 1 petang.

Pelaksanaan kawalan keselamatan tersebut menjadikan kawasan taman itu selamat dikunjungi dan dijadikan lokasi pilihan beriadah oleh penduduk pelbagai peringkat umur sekitar Cheras serta Pandan.

Sebelum itu, kawasan berkenaan pernah menyaksikan kejadian ragut terutamanya melibatkan wanita yang beriadah pada waktu pagi.

Rondaan yang dibuat oleh unit berbasikal berjaya mengurangkan kes jenayah seperti vandalisme, halangan lalu lintas dan gejala sosial lain.

Pada 2017, saya bersama Ahli Jawatankuasa persatuan mengadakan kunjungan hormat ke pejabat Menteri Wilayah Persekutuan untuk membincangkan isu-isu berkaitan kemudahan asas di Taman Pudu Ulu ekoran pembukaan Fasa II taman tersebut.

Pihak persatuan turut menyerahkan memorandum permohonan penambahbaikan kemudahan asas di situ termasuk menambah bilangan tandas awam, cadangan pemasangan kamera litar tertutup (CCTV) di kawasan tempat letak kereta serta meningkatkan penguatkuasaan Skuad Peronda Berbasikal DBKL untuk menjaga keselamatan orang awam.

Pembukaan Fasa II itu memerlukan tandas tambahan memandangkan kemudahan sedia ada dalam Fasa I yang dirasmikan pada 2007 agak jauh dan tidak mencukupi untuk menampung keperluan pengunjung yang semakin bertambah.

Begitu juga kemudahan-kemudahan asas lain seperti CCTV dan kekerapan rondaan Skuad Peronda Berbasikal DBKL amat penting untuk memastikan keselamatan orang awam yang menggunakan taman ini sentiasa terpelihara.

Pengunjung di taman itu semakin bertambah khususnya pada cuti umum dan hujung minggu dan adalah menjadi tanggungjawab pihak DBKL untuk memastikan keselamatan mereka dijaga dengan baik.

Sementara menunggu peruntukan untuk pemasangan CCTV, saya amat berharap pihak DBKL meneruskan khidmat rondaan Skuad Peronda Berbasikal di situ. Langkah menghentikan khidmat itu sejak 1 April lalu dibuat tanpa berbincang dengan persatuan.

Pada masa sama, DBKL perlu meningkatkan aspek penyelenggaraan taman seluas 25.6 hektar tersebut. Antara yang menimbulkan pertanyaan dalam kalangan pengunjung adalah keadaan kolam permainan kanak-kanak yang masih ditutup hampir sembilan bulan lamanya.

Ini dipercayai akibat kerosakan jubin yang pecah dan tercabut serta boleh mengancam keselamatan pengunjung. Setakat ini, kontraktor belum dilantik untuk membaiki jubin tersebut.

Amat malang jika taman berkenaan tidak dijaga dengan baik kerana ia adalah antara kawasan rekreasi yang masih kekal di tengah ibu kota.

Para pengunjung harus menjaga kemudahan yang disediakan oleh DBKL di samping memelihara kebersihan taman itu.

DBKL membelanjakan jutaan ringgit untuk mewujudkan taman rekreasi berkenaan, namun masih ada pihak tidak bertanggungjawab yang merosakkan harta benda disediakan.

Ibu bapa yang membawa anak-anak perlu sentiasa mengawasi mereka bukan sahaja untuk menjaga keselamatan diri malah memelihara kebersihan taman.

TAN SRI LEE LAM THYE
Pengerusi Persatuan Sahabat Taman Pudu Ulu, Kuala Lumpur