Felda merupakan satu industri yang sangat besar dan lumayan. Malah, ia adalah antara produk Malaysia yang mendapat perhatian dunia khususnya Kesatuan Eropah (EU) dan kini China. Kedua, Felda adalah satu isu kemandirian dan survival masyarakat luar bandar yang besar dan sangat kritikal. Malah, Bank Dunia sendiri melihat Felda sebagai satu inovasi sosial dan program pembasmian kemiskinan antara yang paling berjaya di dunia.

Kedua-dua perkara ini mewajarkan isu Felda dilihat dan diuruskan sebagai satu isu nasional dan bukan sekadar masalah setempat. Pertama, ini kerana Felda memberi sumbangan ekonomi yang besar kepada negara dengan saiz kira-kira 15 peratus keluasan negara.

Ia bukan program tanaman sara diri secara kecil-kecilan yang boleh dibiarkan mati dengan sendiri. Kedua, Felda melibatkan ramai penduduk termasuk 317 rancangan, 112,000 peneroka, ratusan ribu ahli keluarga, generasi kedua, kampung dan pekan di sekitarnya serta pelbagai lagi pihak yang akan terkesan jika Felda sudah tidak makmur dan sejahtera.

Atas dasar ini, sudah pasti kita memahami emosi, kemarahan serta kekecewaan warga Felda serta masyarakat umum apabila kerajaan dilihat seperti memandang enteng isu Felda.

Cadangan-cadangan yang keluar setakat ini bukan sahaja tidak progresif dan inovatif, tetapi amat memeranjatkan. Misalnya, menggantikan tanaman sawit dengan buluh untuk dikomersialkan di Felda, pelancaran kempen Sayangi Sawitku dan saranan meminum sesudu minyak sawit setiap hari.

Bukankah kita sudah merupakan antara pengeluar minyak sawit utama dunia dan majoriti masyarakat Malaysia sememangnya memasak dan menggunakan minyak sawit? Jadi, apa hala tuju dan objektif yang ingin dicapai melalui kempen ini? Lebih penting, ia boleh menjadi satu jenaka dan penghinaan kepada masyarakat Felda apabila kelangsungan hidup serta pendapatan mereka seperti dimomok dan diperolok-olokkan.

Terdapat beberapa perkara yang boleh diberikan perhatian oleh kerajaan dalam menguruskan isu Felda. Pertama, jika belum ada, Felda harus menubuhkan satu pasukan penyelidikan dan pembangunan (R&D) dan business development team yang bertanggungjawab meneliti secara serius industri perladangan dan masa depannya.

Pasukan ini harus sentiasa memberikan input realistik dan praktikal agar Felda lebih untung dan berketahanan. Sekalipun sawit dan getah mahu digantikan, barangkali tebu merupakan alternatif lebih baik untuk dikaji memandangkan industri gula negara adalah besar dimonopoli oleh sekumpulan taikun kecil yang menguasai carta individu terkaya negara

Atau menggantikannya dengan apa-apa tanaman lain mesti diputuskan hanya selepas membuat kajian terperinci. Pada masa sama, Felda memerlukan satu model perniagaan yang baharu, inovatif dan lestari agar tidak terlalu bergantung kepada kerajaan. Kedua, Felda memerlukan pelan kelangsungan hidup serta kesejahteraan sosial. Ini adalah aspirasi asal dan asas Felda yang sering diketepikan.

Yang pasti, Yang Berhormat Teresa Kok mesti memahami bahawa Felda bukannya isu yang dapat diselesaikan dengan sekadar melancarkan kempen dan menggantikan tanaman. Beliau mesti turun padang dan menyantuni masyarakat Felda. Dengar luahan mereka, dalami ilmu industri dan sektor komoditi yang sensitif serta paculah sektor ini dengan kepimpinan dan pemikiran termaju. Jangan jadi kera dapat bunga. Hasil tidak nampak, yang ada pula habis rosak.

MOHD. DAUD MAT DIN
Bait Al Amanah, KL.