Berdasarkan laporan antarabangsa yang dikeluarkan pada 2015, Malaysia berada di kedudukan kelapan antara 10 negara yang menyumbang kepada pembuangan sisa plastik.

Sejak dari 2011, beberapa negeri telah mengambil langkah drastik untuk mengharamkan penggunaan beg plastik seperti Pulau Pinang, Melaka dan Wilayah Persekutuan. Terbaharu, Wilayah Persekutuan juga telah mengharamkan penggunaan straw plastik.

Di pihak Kerajaan Pusat pula, Kementerian Tenaga, Sains, Teknologi, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim telah melancarkan Pelan Tindakan Menuju Penggunaan Sifar Plastik Sekali Guna,

Ia menyasarkan pengurangan pencemaran sisa plastik secara holistik bermula dari 2018 sehingga 2030. Kemajuan dalam bidang bioteknologi yang semakin berkembang dilihat mampu menangani pencemaran sisa plastik.

Pada 2016, sekumpulan penyelidik Jepun telah menemui bakteria yang mampu menghasilkan enzim PETase yang mampu mencernakan plastik dari jenis polyethylene terephthalate (PET).

Manakala penyelidik dari Eropah pula telah menemui sejenis serangga yang mampu menguraikan beg plastik yang diperbuat daripada sumber petroleum.

Hasil penemuan bioteknologi ini berpotensi untuk digunakan bagi membersihkan sisa-sisa plastik dari petroleum yang telah tercemar dan tidak boleh dikitar semula.

Penggantian plastik yang berasaskan petroleum kepada plastik bio juga mampu mengurangkan kesan pencemaran.

Ini kerana plastik berasaskan petroleum mengambil masa beratus tahun untuk terurai sedangkan plastik bio hanya mengambil masa enam ke 12 bulan untuk terurai serta tidak mendatangkan mudarat kepada alam sekitar.

Selain kelestarian penghasilan plastik bio yang bahan asasnya boleh juga diperoleh dari sisa buangan pertanian, peluang untuk Malaysia menjadi hab industri plastik bio juga amat cerah kerana Malaysia sememangnya telah menjadi peneraju dalam industri plastik dunia.

Bagi memastikan aplikasi bioteknologi digunapakai secara menyeluruh dan menghasilkan impak maksimum dalam menangani isu pencemaran plastik, koordinasi dari pelbagai pihak termasuk kementerian serta agensi kerajaan yang berkaitan dan juga para penyelidik tempatan perlulah diperkemaskan dan diberi lebih perhatian oleh pihak kerajaan.

HERMADIANA MAT
Presiden Persatuan Biobahan dan Bioteknologi Malaysia