Jika dahulu, wanita hanya menjadi suri rumah yang berperanan menguruskan hal ehwal rumahtangga, kini tidak lagi. Ramai isteri yang mempunyai pendidikan tinggi, terpilih memegang jawatan di pelbagai sektor sama ada awam, swasta mahupun menjadi usahawan. Itulah kelebihan wanita zaman moden ini yang dilihat mempunyai kompetensi tinggi dan mampu bersama-sama membangunkan negara.

Malah wanita yang bekerja dan mempunyai kerjaya dilihat bijak membahagikan masa menguruskan rumahtangga dan hal kerjaya mereka. Justeru, kefahaman dan keprihatinan suami amatlah diperlukan supaya sifat tolak ansur dan saling menghormati terus kekal utuh dalam institusi rumahtangga.

Terdapat juga kes suami yang mempunyai isteri bekerjaya dengan mudah dan tanpa rasa bersalah menyerahkan tanggungjawab menyelesaikan kerja rumah kepada isteri. Inilah antara punca berlakunya penderaan fizikal, emosi dan mental isteri tersebut apatah lagi bagi yang mempunyai anak kecil dan anak ramai.

Bukanlah sesuatu yang mudah andai seorang isteri menjadi seorang ibu, pada masa sama memegang jawatan tertentu kerana kesemuanya memerlukan pengurusan masa yang baik. Isteri perlu bijak mengatur masa supaya semua urusan berjalan lancar. Ia memerlukan kekuatan yang tinggi untuk melaksanakan pelbagai tugasan dalam satu masa.

Sebagai seorang isteri yang bekerja, anda perlulah menyelesaikan semua urusan kerja di pejabat. Usah bawa pulang kerja anda ke rumah. Peruntukkan masa di rumah dengan melunaskan tanggungjawab sebagai isteri dan ibu. Lakukanlah kerja rumah yang memerlukan sentuhan sang ibu seperti memasak dan melipat baju. Ini kerana air tangan ibu melalui masakan dapat menenangkan jiwa anak-anak dan suami. Malah keluarga juga akan mendapat keberkatan kerana makan bersama yang juga merupakan sunah.

Sebagai seorang suami yang dilihat gagah perkasa dan prihatin, bantulah isteri anda. Ringankan tangan membantu isteri menguruskan kerja rumah. Tugas mudah seperti menyapu, membasuh baju dengan mesin basuh, menjemur baju adalah tugas anda juga. Kehidupan suami isteri lebih bermakna jika anda sentiasa berlumba-lumba memberikan yang terbaik untuk isteri, suami atau keluarga. Ruginya anda menjadi seorang yang hanya menerima. Di manakah peluang ladang pahala andai anda hanya tahu menerima jasa orang lain, rugi bukan?

Jika isteri sanggup berkorban masa untuk bersama-sama meringankan beban suami mencari rezeki, mengapa anda tidak meringankan beban mereka dengan menyelesaikan urusan di rumah? Usahlah mendambakan layanan seperti raja andai tanggungjawab mencari nafkah turut dipikul isteri. Belajarlah untuk saling bertoleransi dan tolong menolong. Sudah pasti impian anda untuk mempunyai keluarga yang bahagia dan sempurna akan tercapai andai adanya sikap saling memahami dan bekerjasama antara dua orang penting dalam keluarga iaitu suami dan isteri.

SUHAILA OSMAN

Universiti Teknologi Mara (UiTM)

Cawangan Johor