Dalam meraikan kejayaan pelajar yang beroleh keputusan cemerlang, kita tidak sepatutnya lupa kepada mereka yang mencatatkan prestasi kurang baik dalam peperiksaan itu.

Harus diingatkan, pelajar kurang cemerlang bukanlah bodoh. Walaupun ketinggalan dalam aspek akademik terdapat kemungkinan mereka mempunyai kemahiran dalam bidang lain.

Barangkali bukan semua golongan masyarakat memandang rendah, tetapi sebahagian besar orang ramai gemar melabelkan pelajar kurang cemerlang sebagai tidak mempunyai masa hadapan yang cerah.

Memang benar mereka yang lulus peperiksaan dengan cemerlang akan memenuhi syarat pekerjaan dalam bidang profesional seperti doktor dan peguam. Mana perginya pelajar yang tidak berjaya itu?

Mereka yang tidak berjaya kebanyakannya bekerja sendiri. Mereka bos dan juga pekerja. Ada yang berniaga, menjadi penternak, usahawan, pemborong, kontraktor, mekanik dan sebagainya.

Pendapatan makan gaji tidaklah seberapa. Namun, mereka yang bekerja sendiri mendapat hasil yang amat luar biasa lumayannya. Ada yang mampu menjana pendapatan lebih RM500 sehari. Bayangkan berapa jumlah pendapatan mereka dalam tempoh sebulan dan setahun.

Jumlah zakat pendapatan dan perniagaan yang dikeluarkan oleh individu yang bekerja sendiri ada yang melebihi RM10,000 sebulan. Sedangkan rata-rata golongan makan gaji hanya membayar zakat pendapatan sekitar RM200 hingga RM400 sebulan.

Mereka yang bekerja sendiri mampu membantu masyarakat dengan menyediakan peluang pekerjaan dan tidak mustahil ramai pelajar A akan bekerja untuk pelajar C yang kebanyakannya bekerja sendiri.

Berdasarkan hakikat itu, semua pihak haruslah menyedari bahawa pertama, SPM bukan segala-galanya.

Bagi mereka yang bukan pelajar cemerlang, tidak mestinya akan gagal dalam hidup. Pendek kata SPM tidak menjamin kecemerlangan hidup.

Kedua, tidak menyalahkan nasib dan orang lain jika berlaku sebarang masalah. Namun terus berusaha dan berazam tinggi untuk menggapai cita-cita yang diimpikan selama ini.

Ketiga, andai menerima kritikan jangan sesekali mengabaikannya. Ambil dan kaji setiap kritikan yang diterima, namun perlulah bijak dan tidak emosi dalam menentukan sesuatu keputusan yang dipilih.

Buat semua pelajar yang sudah mendapat keputusan SPM, bersyukurlah dengan apa hasil yang anda dapat dan teruskan perjuangan hidup.

ABDUL MUAID IRHAS

Universiti Sains Islam Malaysia (USIM)