Portal itu adalah satu platform kepada orang ramai untuk menyemak kesahihan berita yang tular di laman sosial.

Menerusi portal sehenti berkenaan, orang ramai boleh menyemak dan melaporkan berita-berita yang diterima menerusi kiriman mesej, blog atau media sosial.

Langkah itu saya yakin dapat membanteras budaya sesetengah pengguna internet untuk berkongsi apa sahaja maklumat diterima mereka tanpa mengesahkan terlebih dahulu kesahihannya.

Saya berharap pengendali portal berkenaan lebih kerap mengemas kini berita-berita selain dihebahkan di laman sosial yang berpengaruh seperti Facebook, Instagram dan Twitter.

Cadangan itu berdasarkan jumlah pengguna internet di Malaysia yang mencecah sebanyak 18 juta orang manakala 11 juta rakyat negara ini pula menggunakan Twitter.

Malah, dengan pilihan butang kongsi yang terdapat dalam Facebook dan Twitter ini akan memudahkan penyaluran berita daripada portal itu kepada masyarakat luar.

Penulis mendoakan agar inisiatif kerajaan melalui portal ini akan membuahkan hasil, sekali gus melahirkan masyarakat serba tahu.

ANIS

Puchong