Kita semua bimbang dengan nasib pasukan bola sepak kita di peringkat antarabangsa. Ranking dunia kita pada masa ini begitu teruk iaitu di kedudukan 171 dan semakin merosot setiap tahun.

Jika 40 tahun dahulu pasukan Korea, Jepun, China dan Arab Saudi setaraf pasukan kita tetapi kesemua mereka kini berada di kedudukan 100 teratas dan rata-ratanya sudah bermain dalam temasya Piala Dunia.

Lebih mendukacitakan, negara-negara jiran kita juga berada di ranking lebih baik. Lihat Vietnam di kedudukan 102, Filipina (115), Thailand (122), Myanmar (138), Kemboja (166) malah Maldives berada di kedudukan 150 
dan Nepal 161.

Kajian pendapat yang dilakukan oleh beberapa akhbar tempatan menunjukkan 69 hingga 75 peratus peminat bola sepak bersetuju Malaysia mengambil langkah membuka pintu pasukan kebangsaan kepada pemain naturalisasi.

Langkah mengambil pemain naturalisasi adalah salah satu langkah yang boleh diambil untuk meningkatkan ranking. Sebelum ini kita memang ada mengambil pemain kelahiran asing atau berdarah campuran seperti Matthew Davies, Brendan Gan dan Khair Jones. Kini, jangkauan lebih luas perlu diusahakan.

Lihat pasukan bola sepak Singapura, Hong Kong dan Filipina yang telah lama menggunakan pemain naturalisasi.

Kejayaan terbukti dicapai oleh negara jiran dengan menggunakan pemain naturalisasi. Contohnya Singapura menjuarai Kejohanan Persekutuan Bola Sepak ASEAN (AFF) 2012 dengan pemain seperti Aleksander Duric, Daniel Bennet dan Shi Jiayi manakala Filipina melonjak ke tangga 115 ranking dunia.

Dalam konteks luar negara, kita dapat lihat banyak pasukan Eropah telah berubah wajah dengan menggunakan pemain kelahiran asal Afrika atau keturunan Afrika. Perancis menggunakan Mbappe dan Pogba sementara Britain menggunakan Alli, Sterling, Rashford dan Rose.

Dalam isu ini, yang penting ialah memilih pemain yang diyakini lebih baik daripada pemain tempatan dan mampu memberi nilai tambah kepada pasukan kebangsaan. Kita boleh nampak jika kita teliti senarai pemain import Liga Malaysia.

Cadangan agar kita mengambil Mohamadou Sumareh, pemain tengah Pahang wajar disokong. Malah dia telah mendapat kewarganegaraan Malaysia dan telah menetap di sini sejak 10 tahun lalu. Beliau berasal dari Gambia dan sudah sebati dengan bola sepak kita setelah bermain dengan Polis, Perlis dan Pahang sejak 2013.

Yang nyata, Sumareh punya kebolehan untuk memantapkan pasukan kebangsaan. Dia berani, rajin, bertenaga dan serba boleh.

Maka, Jawatankuasa Pemilihan FAM perlu membuat kajian terhadap pemain import yang ada untuk dipertimbangkan mewakili pasukan kebangsaan. Pandangan daripada Tan Cheng Hoe dan Ong Kim Swee juga diperlukan ketika membuat penilaian.

Dengan ranking 171 sekarang, FAM tidak boleh hanya berpeluk tubuh. Kita ada kemudahan, panel jurulatih, sokongan peminat dan organisasi bola sepak yang boleh dianggap baik tetapi negara seperti India, Maldives, Fiji dan Nepal pula yang berada di ranking atas kita!

 

MUSTAFFA SIRAJ

Batu Pahat