ADALAH wajar saranan Ketua Polis Negara, Datuk Seri Abdul Hamid Bador supaya kerajaan memberikan perhatian utama kepada gaji, logistik dan keperluan anggota polis berpangkat rendah.

Syor tersebut perlu dipertimbangkan berikutan kos sara hidup semakin tinggi terutama anggota polis yang bertugas di bandar-bandar besar dan bergaji rendah. Ia sudah tentu menjadi suatu bebanan hidup untuk keluarga mereka menjalani rutin hidup seharian.

Dengan cadangan pemberian kenaikan gaji dan kemudahan yang lebih baik nanti, sudah pasti akan mampu mengekang segala gejala rasuah dalam Polis Diraja Malaysia seterusnya mempertingkatkan perkhidmatan serta keyakinan dalam kerjaya mereka.

Sememangnya diakui tugas polis adalah amat berat dan tidak menentu masa. Seperti juga askar, polis boleh diarah bertugas pada bila-bila masa demi memastikan keselamatan negara terjamin. Bayangkan jika tanpa pengawasan pihak polis, negara kita tidak akan tenang dan aman malahan boleh berlaku rusuhan dan sebagainya.

Sanjungan budi patut diberi kepada semua anggota polis kerana mampu mengekang kes-kes jenayah daripada terus berleluasa.

OUI SAL

Tanah Merah, Kelantan