Kemusykilan penduduk, kenapa nama Lingga digunakan untuk sekolah menengah baharu yang lokasi tapaknya hanya tujuh kilometer dari Sri Aman? Bukankah lebih sesuai dinamakan sebagai SMK Entulang atau SMK Sri Aman 2? Apakah ada kesilapan dari segi penamaan sekolah?

Jika benar sekolah itu untuk kemudahan anak-anak penduduk daerah Lingga, mengapa jaraknya terlalu jauh? Kenapa SMK Lingga dibina di tempat lain sedangkan banyak tanah kerajaan ada di daerah berkenaan?

Mungkin pihak terbabit boleh siasat dari segi kelulusan tapak dan pemilikan tanah yang menafikan hak penduduk Lingga mendapat sekolah menengah untuk membantu penduduk daerah itu serta kawasan sekitar seperti Banting, Seduku, Pulau Seduku dan Bakong yang berdepan kekangan ekonomi untuk menghantar anak-anak ke Sri Aman.

Atau mungkinkah ada pihak berkepentingan dalam penjualan tanah dan memberi kelulusan untuk projek rakyat yang sepatutnya diletakkan di tempat yang sesuai dan bukan sebaliknya? Harap masalah ini dapat dirungkai secara telus demi kebaikan semua.

NAK JAYTI LINGGA
Sri Aman