PROJEK kemasyara­katan melibatkan mahasiswa UiTM Cawangan Johor dan pelajar sekolah yang mendedahkan mereka kepada pengurusan sisa makanan dan organik. GAMBAR IHSAN PEMBACA

Seperti lokasi pembuangan sampah haram lain, walaupun dalam skala kecil, kebanyakan sampah yang dibuang adalah sisa makanan isi rumah atau organik.

Berdasarkan kepada kajian Perbadanan Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam (SWCorp), hampir separuh (44 hingga 47 peratus) adalah lambakan sisa makanan isi rumah.

Ironinya, ramai yang menyangka pembuangan sisa makanan atau organik ke pusat pelupusan sampah akan terurai sama seperti proses pengkomposan. Pendapat ini adalah salah.

Gas beracun seperti metana dan gas rumah hijau akan terhasil apabila sisa makanan atau organik bercampur dengan sisa pejal terutama plastik. Perlu ditekankan bahawa proses pengkomposan yang sebenar hanya akan berlaku dengan pengurusan kompos terancang.

Yang dimaksudkan dengan pengurusan pengkompasan terancang adalah kaedah penguraian biologi seperti kaedah aerob dan anaerob dilakukan ke atas sisa makanan atau organik.

Melalui proses ini, sisa bersifat organik seperti tumbuh-tumbuhan, sisa makanan dan keluaran kertas dapat dikitar semula dengan menggunakan proses pengkomposan dan pencernaan biologi untuk menguraikan jirim organik.

Tujuan pemprosesan biologi dalam pengurusan sisa pada dasarnya adalah untuk mengawal dan mempercepat proses semula jadi penguraian jirim organik. Bahan organik yang dihasilkan kemudian dikitar semula menjadi kompos bagi tujuan pertanian organik atau landskap.

Walau bagaimanapun, tidak ramai sedar bahawa gas sisa daripada proses itu seperti metana dapat dikumpul dan digunakan untuk menjanakan elektrik. Sesuailah dengan hasrat Kementerian Tenaga, Sains, Teknologi, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim yang menyasarkan 20 peratus tenaga boleh diperbaharui pada 2030.

Sebagai rekod, tenaga elektrik di Malaysia, 53 peratus dijana daripada arang batu, 42 peratus gas asli dan selebihnya bekalan hidro dan tenaga boleh diperbaharui.Sebanyak 100 peratus arang batu digunakan diimport dari negara luar.

Di Universiti Teknologi Mara (UiTM) Johor, kesedaran pengurusan sisa makanan dan organik menjadi salah satu projek kemasyarakatan melibatkan mahasiswa dan pelajar sekolah setempat.

Dengan pembiayaan serta sokongan daripada pihak berkuasa, projek yang galas oleh UiTM Johor ini diharap dapat berterusan dalam merintis potensi penghasilan tenaga boleh diperbaharui daripada kompos.

OSWALD TIMOTHY EDWARD

Fakulti Pengurusan dan Perniagaan, UiTM Johor